CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday 27 May 2013

ULASAN KARYA AGUNG BUSTAN AL-SALATIN


Bultan Al-Salatin 

Berdasarkan karya agung Bustan al-Katibin pula, menurut Dr Jelani Harun dalam bukunya Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu, kitab Bustan Al-Salatin ini tergolong sebagai sebuah karya saduran kerana banyak pengaruh Arab dan Parsi yang sama ada dicedok atau diambil oleh Sheikh Nuruddin menjadi kandungan kitab ini.
         Manakala RO Winstedt mengkelaskan kitab ini sebagai sastera sejarah kerana pengkisahan sejarah yang terdapat di dalam kitab ini boleh dikatakan lengkap terutama dari segi sejarah kesultanan Melayu khususnya kerajaan Melayu Melaka dan Acheh tetapi sarjana tempatan memikirkan kitab ini lebih sesuai dikategorikan sebagai sastera ketatanegaraan atau sastera adab, yakni hasil penulisan yang boleh dijadikan petunjuk kepada raja-raja dan pemerintah dalam mentadbir negeri.
         Daripada sudut karya pula Kitab Bustan Al-Salatin ini terdiri daripada 7 bab tetapi bilangan fasalnya mempunyai pelbagai versi. Winstedt menyatakan ada 40 fasal manakala Raffles pula menyatakan hanya 60 fasal. Hal ini demikian berlaku kerana kitab yang lengkap tidak pernah ditemui sebaliknya cebisan kitab yang telah tercerai-cerai. Namun begitu isi kandungannya tidak jauh berbeza. Semua versinya membicarakan perkara pokok yang sama.
          Mengikut Winstedt dalam bab satu terdiri daripada 10 fasal yang menerangkan mengenai  tujuh petala langit dan bumi, Nur Muhammad, Luh Mahfuz, kalam arsy dan sebagainya. Berdasarkan bab ini, Sheikh Nuruddin membuat huraian tentang penciptaan alam yang bermula daripada fasal kejadian nur Muhammad, Lohmahfuz, Fasal Arasy, Fasal Qalam, Fasal Kejadian-Kejadian Malaikat, Sidratul Muntaha, Syurga dan Neraka, Kaabah, Matahari, Bintang dan sebagainya . Kandungannya banyak persamaan dengan kisah penciptaan alam yang terkandung dalam Qisas al-Anbiya yang bersumber daripada Ibnu Abbas, Kaab Ahbar, Wahb ibn Munabbih dan Abdullah ibnu Salam.

ULASAN KARYA AGUNG SULALATUS SALATIN



Sulalatus Salatin

Menurut kamus dewan ‘karya’ merupakan kerja, buatan atau ciptaan, manakala ‘agung’ pula merupakan besar, terutama, teristimewa. Oleh yang demikian, karya agung merupakan karya yang istimewa yang mana memaparkan pemikiran bangsa Melayu zaman dahulu. secara umumnya karya agung bersifat karya sastera sejarah. Hal ini demikian kerana sifat karya agung tersebut yang terdiri daripada kisah zaman pemerintahan raja-raja yang sememangnya tercatat dalam sejarah disamping turut terselit unsur mitos, lagenda mahupun humor dalam karya agung tersebut.

       Berdasarkan karya Sulalatus Salatin yang juga turut dikenali sebagai Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Karya ini bersifat sastera sejarah kerana terdapat unsur mitos, lagenda, tiada tarikh dan sebagainya. Selain itu, secara keseluruhannya, karya Sulalatus Salatin ini menceritakan mengenai tampuk pemerintahan zaman kesultanan Melaka, pembukaan negeri, kepahlawanan pendekar Melayu serta turut menceritakan mengenai ketatanegaraan. Konsep waad dalam karya ini juga menjadikan teras dalam pemerintahan kesultanan Melayu ketika itu, yang mana rakyat wajib mentaati raja, manakala raja harus adil dan saksama. Hal ini kerana, berdasarkan waad tersebut yang telah di perkenalkan oleh demang lebar daun, rakyat yang tidak patuh akan raja akan mendapat tulah misalnya atap rumah ke bawah, tiang ke atas. Manakala bagai raja yang zalim pula turut akan mendapat musibah misalnya keruntuhan kerajaan yang dimilikinya. Hal ini dapat di lihat dalam petikan yang berikut:

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Baiklah tuanku,tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku.” Maka titah Seri Teri Buana, “baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu.” Maka baginda pun bersumpah-sumpahanlah dengan  Demang Lebar Daun. Titah Baginda “barang siapa hamba Melayu derhaka mengubah perjanjiannya, di balikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas.” Maka sembah Demang Lebar daun, “Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, binasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya.”
(Sulalatus Salatin: 26)

Manakala antara contoh mitos yang terdapat dalam karya agung Sulalatus Salatin seperti penceritaan asal usul Puteri Tanjung Buih yang di ceritakan dalam petikan :
Sebermula pada suatu hari, hanyut buih dari hulu terlalu besar, maka di lihat orang dalam buih itu ada seorang budak perempuan, terlalu baik rupanya. Maka di persembahkan oranglah kepada Seri Teri Buana, maka di suruh baginda ambil; maka di namai baginda akan budak itu Puteri Tanjung Buih, di angkat baginda anak terlalulah baginda dua laki isteri akan Puteri Tanjung Buih itu.
(Sulalatus salatin:27)

CIRI-CIRI KARYA AGUNG MELAYU


Antara ciri yang lazimnya dapat dilihat dalam karya agung  ialah penggunaan perbendaharaan kata yang sangat menarik.  hal ini dapat dilihat apabila penulis atau penghasil karya zaman dahulu amat kaya dengan perbendaharaan kata yang hebat dan tinggi maksudnya.  Walaupun sesebuah karya tersebut telah diubah atau versi barunya telah ditulis oleh orang lain, namun penulis masih mengekalkan perbendaharaan kata yang terkandung dalam teks terawal.  Sebagai contohdalam karya agung Sulaltus Salatin, perkataan Melayu asli kuno masih dapat dilihat berdasarkan perkataan nyiahlasasemakukbubung dan sebagainya.   Bukan itu sahaja,, karya Sulalatus Salatin juga ditulis dengan memasukkan beberapa perkataan bahasa Arab yang tidak melibatkan sebarang proses asimilasi.  Antara perkataan bahasa Arab yang terdapat dalam Sulalatus Salatin ialah kadhifikir dan khoja
            Selain itu, sesebuah karya agung lazimnya  mengandungi cerita yang sarat dengan unsur agama, moral dan pedagogi.  Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat zaman dahulu menyampaikan nasihat dan pengajaran kepada orang lain melalui pelbagai medium seperti nyanyian, syair, pantun serta secara bertulis melalui karya agung.  Melalui karya Sulalatus Salatin juga penulis dapat menyampaikan banyak pengajaran dan nasihat kepada masyarakat terutamanya kepada anak muda masa ini.  Antara kisah yang terkandung dalam karya Sulalatus Salatin ialah kisah kezaliman raja serta cara hidup masyarakat Melayu terdahulu.  Pengajaran yang dapat disampaikan melalui kisah ini ialah seseorang yang ingin menjadi pemimpin hendaklah adil dan tidak menganiaya golongan bawahan.  Selain itu, rakyat atau golongan bawahan juga hendaklah akur dengan perintah raja.  Hal ini demikian kerana sekiranya rakyat taat kepada pemerintah iaitu raja, negara kediaman mereka berada dalam keadaan aman damai.
             
           

KONSEP KARYA AGUNG MELAYU

Karya agung merupakan karya yang cukup unik berbanding karya moden.  Karya agung banyak mengandungi kisah benar daripada peristiwa pemimpin atau orang besar pada zaman silam.  Selain itu, karya agung juga merupakan himpunan cerita tentang kehebatan pahlawan, asal usul nama sesebuah tempat dan banyak lagi.  Karya agung yang sedia ada lazimnya meninggalkan pelbagai impak positif dalam kalangan pembaca seperti kesan seni, ilmu, falsafah, budaya dan sosial yang boleh dijadikan panduan dan nasihat kepada pembaca yang terdiri dalam kalangan generasi muda kini.  Setiap karya yang ditulis terutamanya karya agung memiliki ciri atau sifat yang tersendiri yang membezakan ia dengan karya moden yang makin banyak masa ini.

FALSAFAH MELAYU DALAM BUSTAN AL-KATIBIN

Bustan Al-Katibin : 


Bustan al-Satibin ialah sebuah karya paling awal tentang Bahasa Melayu yang disusun oleh seorang ilmuwan dan budayawan Melayu yang ulung iaitu Raja Ali Haji. Karya agung Bustan Al-Salatin merupakan satu-satunya kitab yang menceritakan mengenai sejarah kesultanan Acheh dan Melayu secara terperinci. Kitab ini di tulis mengikut arahan Sultan Iskandar Thani yang merupakan pemerintah Acheh yang mahukan sebuah kitab yang dapat mendaulatkan diri baginda sebagai pemerintah yang berdaulat. Apabila menulis atas perintah raja, hasil penulisannya memenuhi keperluan pemerintah demi menjaga martabat dan seterusnya memaparkan aspek-aspek positif terhadap pemerintah. Kitab ini sama ada secara langsung atau tidak langsung turut mengagung-agungkan Sultan Iskandar Thani sebagai pemerintah Acheh.

FALSAFAH MELAYU DALAM TUHFAT AL-NAFIS


Tuhfat Al-Nafis

Tuhfat Al-Nafis : menceritakan sejarah kerajaan Riau-Lingga, sebuah kerajaan Melayu yang paling kompleks dan canggih. Dari segi kronologi, latar peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-19.  Dari segi geografi, Tuhfat Al-Nafis meliputi peristiwa di kalangan semua kerajaan Melayu di Semenjung Melayu dan Kepulauan Riau-Lingga (termasuk Singapura), di Siak (Sumatera Timur), di Kalimantan Barat, di Sulawesi Selatan, dan di Betawi.

FALSAFAH MELAYU DALAM HIKAYAT HANG TUAH


Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah : Dikarang pada sekitar tahun 1641 hingga 1736 ini adalah satu-satunya epik Melayu yang mewakili bangsa itu sendiri tentang cita-citanya, kebolehannya, dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini: ”Takkan Melayu Hilang di Dunia’.

FALSAFAH MELAYU DALAM SULALTUS -SALATIN


Falsafah Melayu dalam Sulalatus- Salatin

Sulalat al-Saltin : Juga dikenali sebagai Sejarah Melayu.  Naskhah tertua pernah ditemui ini dikarang di Johor pada tahun 1612, atas titah raja oleh Bendahara Paduka raja (Tun Seri Lanang)  Episod-episod yang dipaparkan dalam karya ini memberi maklumat penting tentang keturunan raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, dan peristiwa-peristiwa bersejarah dalam perjalanan kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya. hal ini jelas menunjukkan bahawa karya Agung Sulaltus Salatin kaya dengan falsafah Melayu.

KONSEP FALSAFAH MELAYU


Falsafah Melayu dalam karya agung




Secara umumnya Karya Agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini. lazimnya, berdasarkan karya agung kita dapat melihat pelbagai nilai-nilai mahupun falsafah melayu yang begitu ketara sekali. sebagai contoh adat istiadat, kebudayaan dan sebagainya.


Friday 24 May 2013

ILMU JAMPI


Pengenalan Ilmu Jampi
Ilmu perkataan ilmu membawa maksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain dan perkataan jampi pula bermakna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian seperti boleh menyembuhkan penyakit (Kamus Dewan Edisi Keempat). Mana Sikana dalam bukunya sastera Melayu klasik menghuraikan jampi serapah bukan sekadar penglahiran perasaan seperti puisi tetapi mempunyai hubungan dengan kejiwaan dan sistemkepercayaan.
Pembaca jampi atau dikenali sebagai pawang  merupakan manusia luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantara mahkluk dengan khaliq atau supernatural. Oleh itu, mereka tidak begitu mudah memberikan jampi serapahnya kepada orang lain. Hal ini demikian kerana kebimbangan jampi serapah yang diketahui itu tidak mujarab lagi. W.W Skeat dalam Mana Sikana menjelaskan bahawa masayarakat tradisional Melayu amat akrab dengan unsur mistik dan jampi lahir interaksi antara alam luaran dengan dalaman. Di dalam sesebuah jampi terdapat unsur-unsur pemujaan, perubatan, kasih-sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia. Jampi biasanya disampaikan dalam bahasa Banjar.

Sinopsis Hikayat  Malim Deman
Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri Tuan Puteri Lindungan Bulan memerintah negeri Bandar Muar. Mereka mempunyai seorang putera, Tuaku Malim Deman. Pada suatu malam, Tuaku Malim Deman bermimpi didatangani seorang wali Allah menyuruh baginda pergi ke hulu negeri berjumpa dengan Nenek Kebayan untuk beristerikan Puteri Bongsu daripada tujuh beradik dari kayangan yang akan turun ke taman Nenek Kebayan memetik bunga mengarang kuntum pada setiap malam purnama.

Sedar dari beradu, Tuaku Malim Deman berubah menjadi seorang yang gila bayang. Seisi istana menjadi hairan terutama pengasuhnya, Si Kembang Cina. Baginda memohon pekenan ayah dan bondanya untuk pergi berburu ke hulu negeri. Pada mulanya Tuaku Malim Deman diiringi sekalian ramai hulubalang dan rakyat jelata. Namun mereka tewas; akibat kebuluran, penyakit, sesat dan berpatah balik. Akhirnya tinggallah Tuaku Malim Deman, Awang Selamat dan anjingnya Si Kumbang. Awang Selamat jatuh sakit dan meninggal dunia dalam perjalanan, Si Kumbang pula mati lemas. Tinggallah Tuaku Malim Deman sendirian menempuhi berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan sehingga menemui sebiji batil emas hanyut berisi sebentuk cincin dan sehelai rambut. Semua ini milik Puteri Bongsu dari kayangan yang berkata barang sesiapa yang menemui batil tersebut ialah jodohnya.

Tuaku Malim Deman menemui Nenek Kebayan dan dengan membuat helah baju layang Puteri Bongsu diambil oleh Tuaku Malim Deman. Akhirnya Tuaku Malim Deman membuka rahsia batil emas dan apa tujuan sebenar kedatangannya. Mereka dikahwinkan oleh Betara Guru di rumah Nenek Kebayan. Kepulangan Tuanku Malim Deman membawa isteri disambut penuh meriah dan kebesaran oleh kedua orang tuanya, lalu diadakan kenduri kahwin secara besar-besaran. Rakyat negeri Bandar Muar mengadakan pesta selama tiga bulan sebagai tanda kesyukuran dan Tuanku Gombang Malim Dewa sendiri berkenduri membayar nazarnya.

Tuanku Gombang Malim Dewa  dan permaisuri mangkat selang seminggu, tahta kerajaan diserahkan kepada Tuaku Malim Deman. Malangnya, Tuaku Malim Deman tidak cekap memerintah negeri. Baginda asyik dengan persabungan dan berfoya-foya dengan wanita sehingga melupakan urusan negeri dan permaisurinya. Sehinggalah Puteri Bongsu berputerakan Tuanku Malim Dewana pun, baginda tidak sudi pulang menjenguk bayinya itu. Setelah Tuanku Malim Dewana boleh berjalan, jatuh bangun, Puteri Bongsu terpandang baju layangnya dahulu. Lantas diambil, sambil mendukung putera kecilnya, Puteri Bongsu terbang melayang pulang ke kayangan dan disambut oleh kedua-dua orang tuanya dengan rasa curiga. Setelah mengakui perkara sebenar, Puteri Bongsu ditunangkan dengan Mambang Molek seorang raja kayangan juga. 

Setelah kehilangan isteri dan anak barulah Tuaku Malim Deman insaf dan menyesal akan perbuatannya selama ini. Baginda mengembara semula sehingga sampai ke rumah Nenek Kebayan. Baginda meminta bantuan nenek itu untuk berjumpa dengan keluarganya kembali. Nenek memberitahu baginda bahawa hanya burung borak sahaja yang mampu membawa baginda ke kayangan tetapi Nenek Kebayan sendiri  tidak mengetahui di mana burung tersebut berada.

Tuaku Malim Deman meneruskan perjalanan dan pada suatu malam, sewaktu terlena di banir pokok, baginda bermimpikan kemunculan seorang wali Allah menyuruh baginda mengikut hulu sungai sehingga bertemu dengan Puteri Terus Mata anak Raja Jin Islam. Baginda sempat bertaubat di hadapan wali tersebut. Tejaga dari beradu, baginda menuruti pesanan wali Allah dalam mimpinya. Tuaku Malim Deman meminjam burung borak milik Puteri Terus Mata untuk berlepas ke kayangan setelah menerima syarat daripada ayahanda Puteri Terus Mata, iaitu Raja Jin Islam supaya mengahwini puteri  apabila pulang ke dunia semula. Baginda juga sempat berguru kepada dengan Raja Jin Islam tentang segala ilmu dan hikmat bekalan cabaran di kayangan kelak.

Baginda tiba di rumah Nenek Kebayan di kayangan dan dilayan dengan penuh mesra. Baginda perkenalkan diri sebagai Malim Permainan kerana berkebolehan luar biasa bermain muzik. Malim Permainan hadir ke balai perkarangan istana lalu bermain muzik untuk menghiburkan Puteranya Malim Dewana. Walaupun putera itu tidak mengenalinya, namun naluri  hubungan (anak bapa) menyebabkan putera sering berada di atas ribaan sambil berhibur dengan permainan muzik oleh baginda. Dari bau minyak silompat pagar yang melekat pada tubuh puteranya, tahulah Puteri Bongsu bahawa Malim Permainan itu suaminya kerana minyak itu ditinggalkan sewaktu ke kayangan. Malim Permainan menyuruh Nenek Kebayan menjual cincinnya kepada Puteri Bongsu kerana memerlukan wang belanja. Puteri Bongsu membuka rahsia kepada Nenek Kebayan dan meminta Malim Permainan merebutnya semula daripada tangan Mambang Molek.

Tengku Malim Deman akhirnya dapat membunuh Mambang Molek di gelanggang sabung ayam. Dua orang saudaranya yang cuba menuntut bela juga terbunuh dan negeri menjadi huru-hara kerana rakyat Mambang Molek bertempur sesama sendiri kerana hikmat wali Allah. Tengku Malim Deman dikahwinkan sekali lagi dengan Puteri Bongsu di atas kayangan.

Setahun kemudian tengku malim membawa Puteri Bongsu dan puteranya pulang ke Bandar Muar. Berkahwin dengan Puteri Terus Mata, puteri Raja Jin Islam sebagai menunaikan janji dan Tengku Malim Deman menjadi raja yang arif bijaksana serta gagah berani terlalu saktinya tiadalah berbanding zaman itu. 

Bentuk Jampi

Mana Sikana berpendapat bahawa jampi mempunyai hubungan dengan estetika, iaitu unsur-unsur keindahan. Jadi tidak hairanlah terdapat pendapat yang beranggapan jampi serapah sebagai puisi kerana ikatan-ikatan yang pelbagai ragam dalam pemakaian bahasa puisi. Secara kesimpulannya, jampi menunjukkan kepercayaan yang masih sebati terhadap kuasa ghaib. Justeru, hanya orang tertentu sahaja yang boleh mewarisi jampi-jampi tersebut.
Jampi mempunyai dua bentuk yang dominan, seperti bentuk pantun dan bentuk pantun bebas. Bentuk pantun kebiasaannya mempunyai pembayang dan maksud. Oleh itu, untuk menunjukkan bahawa jampi ini mempunyai keghaiban, jampi tersebut digubah berkerat-kerat bagi menimbulkan keharmonian dan kuasa bahasa. Hal ini dapat dilihat dalam jampi tawar bisa;

Bisak mendatang tawarnya mendatang
Bisak menghilang tawarnya mendatang
Yang bisak terus menghilang
Yang tawar terus mendatang

                        (Sastera Melayu Klasik:33)

Jika dikaji bentuk jampi di atas, ia lebih menjurus kepada bentuk syair kerana rima akhir bagi jampi tersebut ialah a/a/a/a dan hal ini bertepatan dengan bentuk sebuah syair, iaitu mempunyai rima akhir a/a/a/a. Namun ciri-ciri bentuk syair tidak cukup untuk mengklasifikasikan jampi tersebut sebagai syair kerana sesebuah jampi itu mementingkan irama. Terdapat tenaga yang kuat disebalik bahasa yang berirama.
Jampi-jampi sebenarnya tidak menyerupai bentuk puisi-puisi lama kerana bentuknya kelihatan bebas tetapi terikat kepada beberapa syarat puisi. Terdapat baris-baris tertentu di dalam jampi yang terikat dengan bentuk puisi tetapi terdapat juga baris-baris yang bebas lepas, contohnya;
Jampi Pengasih
Kun sarik panjik-panjik
Bagurung bagirang
Taulas takani kasih
Taulas takini ngidan,
Kasih sayang (anu) melihat akuk.
Dengan berkat
Lailaha il-Lallah
Muhammad ar-Rasulullah.

(Sastera Melayu klasik:29 )

Jika dilihat jampi pengasih di atas rima akhir bagi bagi jampi ini  ialah a/b/c/d/a/e/f/f. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa tidak semua jampi berbentuk puisi atau terikat dengan syarat puisi. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Mantera merupakan puisi tradisional yang tertua sekali dan dikatakan sebagai puisi magis. Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa bahasa berirama sama tua dengan jampi. Hal ini demikian kerana mentera juga termasuk dalam puisi Melayu klasik

Jenis Jampi

Terdapat beberapa jenis jampi yang dikemukakan oleh Mana Sikana. Setiap satu mempunyai fungsinya yang tertentu. Antaranya jampi larangan, jampi pengasih dan jampi perubatan.

Jampi Larangan

Jampi larangan dicipta sebagai pendinding supaya pengamalnya tidak dikacau oleh syaitan. Jampi menolak syaitan boleh dibaca dan digunakan pada bila-bila masa yang perlu. Misalnya ketika berjalan di sesuatu tempat yang sunyi atau apabila berasa takut dan diganggu sesuatu. Cara menjampinya ialah dengan memandang tegak ke hadapan. Selepas sekali dibaca, hendaklah ditiup ke kiri dan ke kanan sebanyak tiga kali. Jampi ini haruslah dibaca sebanyak tiga kali.

Contoh Jampi Larangan:

Jampi Menolak Syaitan

Bismillahi’r-Rahmani’Rahim
Lam yakun Allahal-Samad
Berlari engkau setan paraun
Ke gunung tujuh lapis
Lo ren
La ren
Ji hin
Yaounima izin
Lo yam
Lo din
Dengan berkat
Lailaha il-Lallah
Muhammad ar-Rasulullah

(Mana Sikana: 28)
Jampi Perubatan

Jampi kedua ialah jampi tawar bisa. Jampi ini tergolong dalam perubatan bagi menghilangkan atau mengurangkan bisa, khususnya bisa yang kecil. Misalnya digigit kala jengking, ular, terkena api atau apa juga bentuk gigitan yang meninggalkan bisa atau racun. Sesuatu benda yang keras seperti ranting kayu dibacakan jampi. Kemudian ranting tersebut diludah ranting tersebut sebanyak tiga kali kemudian dipusing-pusingkan ranting tersebut dari kanan ke kiri tetapi tidak boleh sekeliling bahagian yang sakit.

Contoh Jampi Perubatan

1. Jampi Tawar Bisa
Bismillahi’r-Rahmani’r-Rahim
Tawar datang
Wisak turun
Berkat Lailaha il-Lallah
Muhammad ar-Rasulullah

2. Jampi Tawar Bisa

Bismillahi’rRahmanirRahhim
Bisak mendatang tawarnya mendatang
Bisak menghilang tawarnya mendatang
Yang bisak terus menghilang.
Yang tawar terus mendatang.
Kerana yang dating dua berading
Yang satu puakan dari gunung lading
Yang satu keramat dari laut bersanding
Lalunya bisak menjadi mengaling
Lalu tawarnya menjadi kuning poh bisak, asal-asal
Pak racun
Poh tawar, asal-asalnya paair.
Keduanya bertamu di guhak singgari mawa dun
Yang kalah hilang
Yang manang manang ‘am.
Dengan berkat
Lailahaifl-Lallah
Muhammad ar-Rasulullah



Jampi Pengasih
Seterusnya jampi pengasih. Menurut Simongkir dalam Mana Sikana, jampi pengasih adalah untuk mendapatkan pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain. Misalnya seorang lelaki jatuh cinta kepada seorang gadis yang dikenalinya tetapi gadis tersebut menolak cintanya atau bertindak ‘jual mahal’. Oleh itu, si lelaki boleh memakai jampi ini supaya dirinya dipuja oleh gadis tersebut.
Terdapat dua cara pemakaiannya, pertama sedikit bedak diletakkan di perut tangan kanan sambil jari kelingking kiri memicit-micit atau memusing-musing bedak itu sambil membaca jampi tersebut. Cara kedua pemakaiannya ketika mandi tetapi tidak boleh digunakannya ketika berhadas besar.

Contoh Jampi Pengasih
Jampi pengasih
Kun sarik panjik-panjik
Bagurung-bagirang
Taulas takani kasih
Taulas takani ngidan,
Kasih sayang (anu) memandang
Akuk
Cinta sayang(anu) melihat akuk.
Dengan berkat
Lailaha il-Lallah
Muhammad ar-Rasulullah

(Mana Sikana: 29)

Jampi dalam Islam
Terdapat riwayat yang menjelaskan bahawa penggunaan jampi ini sudah wujud sejak zaman nabi Muhammad s.a.w lagi;
Dari jabir dia berkata: “rasulullah saw telah melarang kami berjampi-jampi, lalu datanglah keluarga Amru bin Hazm kepada rasulullah saw, mereka berkata, kami mempunyai jampi yang digunakan untuk penyembuhan sengatan kala jengking, sementara engkau telah melarang untuk berjampi-jampi. Jabir berkata, merekapun memperlihatkannya kepada baginda  ”. lalu rasulullah saw bersabda : tidak apa-apa. Barangsiapa diantara kamu boleh memberikan suatu kemanfaatan kepada saudaranya, maka lakukanlah.
                                                            (http://kamusutama.wordpress.com/tag/pengertian-ruqyah/)
Berdasarkan hadis tersebut, pengamalan atau pembacaan jampi mantera ini boleh dilakukan selagi tidak bercanggah dengan syarak dan tidak pula syirik kepada Allah. Jenis jampi yang dikatakan dalam petikan riwayat di atas adalah berkaitan jampi dalam bidang perubatan, iaitu untuk merawat sengatan binatang berbisa seperti kala-jengking. Maka, apa yang dikatakan oleh Rasulullah dalam menjawab persoalan berkaitan hukum mengamalkan ilmu jampi dalam Islam ialah dibolehkan selagi cara tersebut boleh mendatangkan kebaikan.  
Selain itu, terdapat pendapat yang mengatakan tidak salah mengamalkan sesuatu jampi itu selagi jampi itu tidak mengandungi perkatan atau perkara-perkara yang syirik walaupun jampi atau mentera itu dalam tulisan Arab, Inggeris, Latin dan sebagainya. Jika isi atau kandungan jampi itu difahami dan makna yang  digunakan masih berlandaskan agama Islam, maka jampi tersebut boleh digunakan. Rasulullah saw sendiri tidak melarang sebarang aktiviti ilmu jampi atau serapah asalkan perkara ini tidak menjadi kemurkaan kepada Allah s.w.t.
Hal ini juga dapat dilihat dalam Hikayat  Malim Deman di mana kebanyakkan jampi atau mantera yang dibaca terkandung nama Allah dan Rasulullah. Jampi dan mantera dalam karya tersebut juga dimulakan dengan kalimah bismillah. Pelbagai jenis jampi dan mantera yang terdapat dalam karya agung ini. Di samping itu, karya ini juga memperlihatkan betapa masyarakat melayu klasik bergantung kepada amalan pemujaan dan ilmu jampi serapah.

Ilmu Jampi dalam Karya Malim Deman

Terdapat pelbagai ilmu jampi yang diterapkan oleh pengarang dalam karya ini. Dalam karya ini ilmu jampi disebut sebagai beryang-yang dan berseru-seru. Namun jelas kelihatan pengaruh Islam sudah mula menyerap dalam karya klasik Melayu apabila jampi serapah yang dibaca menggunakan nama Allah sebagai permulaan jampi tersebut. Bukti pengaruh Islam dalam jampi tersebut boleh dilihat dalam jampi ini;
‘’Ya, Allah, ya Saidi, ya Maulai, ya Tuhanku. Jikalau sah beta raja yang berasal berturun-temurun, ayah beta yang bernama Tuanku Gombang Malim Dewa, datuk yang bernama Tuanku Malim Perman, mohonlah dengan berkat sah kesaktian segeralah turun tuan Puteri Bongsu daripada kayangan. 
(Hikayat  Malim Deman:23)

 Jampi Pengasih Memuja Puteri Bongsu Turun Dari Kayangan

Jampi ini digunakan oleh Tuanku Malim Deman bertujuan memuja Puteri Bongsu supaya turun dari kayangan. Tuanku Malim Deman mempelajari jampi ini daripada Nenek Kebayan di mana Si Puteri Bongsu selalu turun bermain tujuh bersaudara. Kemudian, Nenek Kebayan telah mengajar tuanku beberapa perkara dan jampi tersebut dimulakan dengan membakar kemenyan mandung jati kesaktian serta mengasapkan cincin dan rambut tuan Puteri Bongsu.
               Hatta, seketika lagi hari pun malamlah. Maka Nenek Kebayan pun segeralah membentang tikar putih dengan permaidani yang indah-indah. Maka kata Nenek Kebayan , ‘Aduhai cucuku Tuanku Malim Deman, kepada mala mini hendaklah tuanku bakar kemenyan mandung jati kesaktian serta pula tuanku asapkan cincin dan rambut tuan Puteri Bongsu itu. Maka apabila diperbuat sepeti yang demikian itu, nescaya ampailah asapnya itu ke atas kayangan; maka bergerak-geraklah sekalian wuju anggotanya;tentulah ia ketujuh berangkat turun. ’

         Melalalui petikan di atas dapatlah disimpulkan bahawa segala ilmu jampi dipelajari oleh Tuanku Malim Deman diajar oleh Nenek Kebayan. Disebabkan tuanku terlalu gila-gilakn Puteri Bongsu, banginda sanggup bersusah-payah menghadapi rintangan untuk ke rumah Nenek Kebayan dengan satu harapan, iaitu memperisterikan Puteri Bongsu.

         Kesan daripada jampi serapah tersebut, hati puteri gundah gelana ingin segera turun ke dunia kerana mendapat alamat yang Nenek Kebayan sedang gering. Walaupun tunangnya, Tangggal Ali sedang gering hati Puteri Bongsu tetap ingin turun ke bumi. Hal ini dapat dilihat melalui pantun ini:

‘Cenderawasih Si Rajawali,
Turun melayang ke tengah halaman;
Adinda tidak kasih Si Tangkal Ali,
Hatinya sayang ke Malim Deman.

Turun melayang ke tengah halaman,
Lalu dipanah Dewa Syahdan;
Hatinya sayang ke Malim Deman,
Itulah patut dengan padan.’

(Hikayat  Malim Deman:32)

Pantun di atas menunjukkan bahawa hati Puteri Bongsu sudah terpaut kepada Tuanku Malim Deman walaupun belum pernah berjumpa lagi. Hal ini menunjukkan betapa berkesannya ilmu jampi yang digunakan.

 Jampi Penyeri Wajah
Jampi ini digunakan semasa Tuanku Malim Deman menyamar sebagai si pengail semasa bertemu Si Puteri Bongsu. Oleh itu, untuk kembali menjadi seperti sedia kala. Dalam proses kembali itu, Nenek Kebayan menyuruh tuanku bersiram kemudian membaca jampi supaya berubah semula. Hal ini dapat dilihat melalui petikan berikut;
Maka Nenek Kebayan pun turunlah ke tanah mendapatkan malim deman, menyuruh bersiram membalikkan rupa sediakala itu. Maka Tuanku Malim Deman pun berangkatlah bersiram ke dalam taman itu beryang-yang mengamalkan sekalian ilmu hikmat. Setelah sudah, kembalilah rupanya seperti sediakala, terlalu elok mejelisnya, lalu kembali ke rumah Nenek Kebayan,
                                                              (Hikayat  Malim Deman:31)

Perkataan beryang-yang dalam petikan di atas membawa makna  berjampi dan menyeru supaya wajahnya kembali seperti sediakala. Akhirnya Tuanku Malim Deman berjaya memiliki Si Puteri Bongsu.

Jampi Meminta Pertolongan daripada Bentara Guru

Jampi ini digunakan oleh Tuanku Malim Deman untuk memohon bantuan daripada Betara Guru. Hal ini merupakan cadangan daripada Puteri Bongsu. Antara pertolongan yang diminta ialah 44 tukang untuk membina sebuah balai gambang dan minta dihantarkan ke Bandar Muar.
Pada fikiran adinda baiklah kakanda beryang-yang memohonkan kepada bentara guru di atas kayangan empat puluh empat puluh empat tukang, minta buatkan sebuah balai gambang dengan secukup alatnya serta kita minta hantarkan ke Bandar Muar.
(Hikayat  Malim Deman:31)

            Setelah medengar permintaan Puteri Bongsu, maka Tuanku Malim Deman pun segera membaca jampi seperti berikut;
‘Ya Allah, ya Rabbi, ya Saidi, ya Maulai Tuhan yang sebenarnya, jikalau sah beta lagi anak raja yang berasal turun-temurun saka-baka tuah daulat kesaktian, mohonkanlah minta turunkan tukang empat puluh empat , minta buatkan sebuah rakitbbalai gambangitu dengan segeranya.’

           Setelah jampi tersebut dibaca maka turunlah tukang empat puluh empat tersebut menjalankan perintah seperti yang diminta. Tiga hari tiga malam diperlukan untuk membuat gambang yang besar, lengkap dengan perkakas seperti kenderaan raja yang besar-besar dan sebagainya seperti yang diseru-seru dalam jampi tersebut. Jadi secara kesimpulannya memang wujud jampi jenis ini dalam karya ini.

Tuanku Malim Deman Menjadi Pinang Muda

Jampi ini digunakan oleh Tuan Puteri Terus Mata untuk mengubah Tuanku Malim Deman semula menjadi manusia. Hal ini demikian kerana, puteri tersebut telah menukar tuanku menjadi sebiji pinang muda. Tuan Puteri Terus Mata bertindak demikian kerana bimbang jika Tuanku Malim Deman dimakan oleh ayahanda dan bondanya yang merupakan jin.
‘jikalau begitu, orang muda, marilah segera naik ke mahligai ini, boleh beta hulurkan tangga;jikalau tidak orang muda naik, nescaya orang muda dimakan oleh bonda beta kerana ayahanda bonda beta jin’

                                                                                           (Hikayat  Malim Deman:48)

              Kemudian Tuan Puteri Terus Mata menukar Tuanku Malim Deman menjadi sebiji buah pinang muda lalu dimasukkan ke dalam sanggulnya. Namun kehadiran Tuanku Malim Deman tadi dapat dikesan oleh ayahanda tuanku puteri. Oleh itu, Si Raja Jin menyoal puteri siapakah orang muda yang ada di situ, adakah anak jin atau anak manusia. Namun tuan puteri sekeras-kerasnya mengatakan bahawa tiada orang yang sampai di situ. Setelah Si Raja Jin berjanji tidak akan mengapa-apakan sesiapa sahaja yang datang ke situ. Oleh itu, tuan puteri pun mengeluarkan tuan putera malim deman dan menukarkannya menjadi manusia semula.
Serta diambil cembul gading dari dalam sanggulnya, dikeluarkan pinang muda itu lalu merawat pula, kembalilah rupa Tuanku Malim Deman seperti sediakala.

                                                                                          (Hikayat  Malim Deman: 49)

Petikan di atas jelas menunjukkan bahawa masyarakat jin juga menggunakan ilmu jampi dalam kehidupan mereka seharian. Perkataan merawat di atas membawa makna dijampi. Walaupun tidak dinyatakan jampi yang dibaca tetapi jelas penggunaan jampi atau serapah wujud melalui perkataan merawat.

Jampi Pendinding Sireh Tujuh Kapur
Dalam jampi ini tuan puteri menggunakan sirih, pinang, kapur dan air mawar. Setelah dikapurkan, bahan-bahan ini diberikan kepada Tuanku Malim Deman. Hal ini bertujuan melindungi Tuanku Malim Deman daripada menghadapi rintangan dan kesusahan semasa perjalanan ke kayangan.
Jika kekanda menempuh lautan gelap, kakanda santaplah sekapur, nescaya teranglah lautan itu, dan jika kakanda menempuh lautan api, kakanda santaplah sekapur, nescaya padamlah api itu, dan apabila kakanda menempuhi lautan sejuk, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah sejuk itu, dan apabila kakanda menempuhi lautan kuning, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah kuning itu, dan apabila kakanda menempuhi lautan hijau, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah hijau itu dan apabila kakanda menempuh lautan masin, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah masin itu, dan apabila kakanda menempuh lautan bisa, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah bisa itu.

                                                                                              (Hikayat  Malim Deman:53)
Sireh tujuh kapur yang diberikan Puteri Terus Mata kepada Tuanku Malim Deman berfungsi sebagai pelindung atau pendinding agar tuanku selamat walau dalam apa keadaan sekalipun. Hal ini demikian kerana perjalanan ke kayangan sangat mencabar. Puteri Terus Mata melakukan perkara demikian supaya tuanku selamat pergi dan pulang mengotakan janji kepadanya. Tuanku Malim Deman telah bersetuju untuk mengahwini Tuan Puteri Terus Mata setelas Berjaya membawa pulang isterinya, puteri bongsu serta anak lelaki mereka.

Kesimpulan
Secara tuntasnya pemilihan karya agung, iaitu Hikayat Malim Deman merupakan satu pilihan yang tepat dengan tajuk artikel ini. Hal ini demikian kerana  elemen-elemen seperti ilmu jampi dan serapah terdapat di dalam karya ini. Seperti yang diperkatakan sebelum ini, jampi terdiri daripada pelbagai jenis dan cara mempraktikkannya. Tidak semua yang boleh mengamalkan ilmu ini. Hanya orang tertentu dengan kemahiran tertentu sahaja dapat mengamalkan kegiatan jampi atau serapah. Selain itu, dapatlah dikatakan masyarakat Melayu klasik amnya masih dipengaruhi dengan masyarakat Melayu kuno dari segi jenis jampi atau manteranya. Nemun begitu, perkembangan dan penyebaran agama Islam di Nusantara sedikit sebanyak mempengaruhi dan mengubah bentuk jampi tersebut.