CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, 30 April 2013

BUSTAN AL-SALATIN



JELANI HARUN
BUSTAN AL-SALATIN
Mutiara Kesufian Untuk Raja-Raja
Daripada Nuruddin al-Raniri



Kedudukan Bustan al-Salatin sebagai sumber ketatanegaraan raja-raja Melayu telah menjadi bahan kajian ramai sarjana. Teks tersebut lahir dalam wawasan pengarang memberi panduan dan nasihat tentang adab pemerintahan kepada raja-raja Aceh berteraskan kerangka keislaman. Pada tahap yang lebih sakral, teks nukilan Nuruddin al-Raniri ini turut memancarkan cahaya mutiara kesufian kepada raja-raja, suatu dimensi pemikiran yang selaras dengan kebangunan Aceh sebagai Darussalam pada abad ke-17 yang lalu. Pengarang Bustan al-Salatin dengan itu berkecenderungan untuk memberi panduan dan nasihat kepada para pemerintah tentang aspek-aspek kerohanian dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, bukan melalui doktrin, falsafah atau susun-atur ajaran Sufi, sebaliknya tercerna dalam nada amalan kerohanian yang praktikal sifatnya. Kupasan terhadap persoalan-persoalan di atas akan menjadi inti pati
tulisan ini sehingga akhirnya akan menjurus ke arah kemanfaatan segala cahaya mutiara kesufian tersebut kepada para pemerintah kerajaan Melayu keseluruhannya.

Nuruddin al-Raniri merupakan seorang ulama, pengarang, ahli Sufi dan ahli sejarah yang berasal dari Rander, Gujarat, India. Beliau tiba di Aceh sekitar tahun 1637 dan seterusnya berkhidmat di bawah naungan Sultan Iskandar Thani (1636-1641). Keilmuan Nuruddin al-Raniri dapat dikesan melalui sejumlah kira-kira 30 buah kitab yang telah dihasilkannya meliputi bidang fekah, sejarah dan perbincangan tentang persoalan tasawuf, sama ada ditulis dalam bahasa Arab ataupun bahasa Melayu. Antara kitab yang utama ialah Sirat al-Mustaqim (1634-1644), Durrat al-Fara'id bi Sharh al- `Aqa'id (1635), Hidayat al-Habib fi al-Targhib wa al-Tarhib (1635), Bustan al-Salatin (1638), Asrar al-Insan fi Ma'rifat al-Ruh wa al-Rahman (1640-1644), Tibyan fi Ma'rifat al-Adyan (1642-1644), Jawahir al-`Ulum ft Kasyf al-Ma'lum (1642-1644), Hujjat al-Shiddiq li Daf'i al-Zindiq (1638-1641) dan Al-Fath al-Mubin `ala al-Mulhidin (1657). Kajian-kajian yang telah dilakukan oleh para sarjana mendapati Nuruddin al-Raniri adalah pengamal tarekat Rifa'iyya dan Qadiriyya.' Sementara itu, kajian oleh A.H. 1 Rujuk Syed Muhammad Naguib (1966) dan Azyumardi Azra (1992).26 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005 Johns (1955: 70-77) pula merumuskan, sebelum kedatangan Nuruddin al-Raniri ke Aceh, beliau telah kuat terpengaruh dengan perjuangan Syeikh Ahmad Sirhindi (1563-1624) di India. Di India ketika itu, telah berlaku polemik yang hebat terhadap fahamanWandat al-Wujud yang ditentang keras oleh Syeikh Ahmad Sirhindi yang berpegang kepada Wandat al-Shuhud. Polemik tersebut berterusan hingga zaman pemerintahan Shah Jahan (1627-1658), yakni, dalam tempoh masa yang hampir sama dengan tarikh kedatangan Nuruddin al-Raniri ke Aceh. Besar kemungkinan polemik kesufian dan keintelektualan yang berlaku di India telah memberi pengaruh kepada tindakan keras Nuruddin al-Raniri menentang ajaran Wujudiyyah pegangan Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumaterani semasa beliau berada di Aceh.2

Dalam tulisan ini, penulis tidak berhasrat untuk membicarakan polemik pemikiran yang telah berlaku antara Nuruddin al-Raniri dengan pegangan Wujudiyyah Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumaterani. Walau bagaimanapun, perlu disebut bahawa Nuruddin al-Raniri merupakan ulama yang pertama kali menekankan peri pentingnya masyarakat Aceh/Melayu bersikap dan berfikiran kritis terhadap amalan kerohanian, suatu bentuk pemikiran yang baru dalam masyarakat Melayu masa itu. Malahan, kritikan Nuruddin al-Raniri terhadap Wujudiyyah sudah pun disuarakan dalam karyanya yang pertama, Sirat al-Mustakim, yakni, sebuah kitab khusus yang membicarakan persoalan ilmu fikah.3 Nuruddin al-Raniri dipercayai telah pulang ke India pada tahun 1644 sewaktu perbahasan tentang Wujudiyyah semakin memuncak di Aceh ketika itu .'Menurut Syed Muhammad Naguib al-Attas (1986: 12), Nuruddin al-Raniri meninggal
dunia di India pada 22 Zulhijjah 1068 / 21 September 1658.

Tajuk lengkap Bustan al-Salatin sebagaimana tercatat dalam manuskrip Raffles Malay 8 (halaman 4) ialah: 5 "Wa sammaituhu Bustan al-Salatin fi Dhikr al-Awwalin wa al-Akhirin. Dan dinamai fakir kitab ini Bustan al-salatin, ertinya, kebun segala raja-raja, dan menyatakan permulaan segala kejadian dan kesudahannya." Penulisan teks tersebut adalah atas titah perintah Sultan Iskandar Thani dan merupakan hasil kompilasi Nuruddin al-Raniri daripada beberapa sumber rujukan kitab-kitab Arab dan beberapa buah teks Melayu seperti Taj al-Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Iskandar Zulkarnain dan Sejarah Melayu.6 Isi kandungan teks, khususnya berdasarkan manuskrip Raffles Malay 8, terdiri daripada tujuh bab dan terbahagi kepada enam puluh fasal seperti berikut:
·      
Keterangan lanjut tentang asal-usul Nuruddin al-Raniri, sejarah kedatangannya ke Tanah Melayu dan peranannya di Aceh,serta senarai lebih kurang tiga puluh buah kitab tulisannya dalam bahasa Melayu dan Arab dapat dirujuk dalam Syed Muhammad Naguib al-Attas (1986: 25-28).Dalam Sirat al-Mustaqim, terdapat kritikan Nuruddin al-Raniri terhadap pengikut Wujudiyyah yang dikatakannya sebagai mulhid dan melarang masyarakat mengamalkannya (rujuk Sirat al-Mustaqim di bahagian sisi Sabil al-Muhtadin, halaman 212).
·         
Maklumat tentang perkara ini diperolehi melalui kajian seorang sarjana Jepun bernama Ito (1978: 489-491) yang telah menemui sebuah catatan diari seorang pegawai Belanda yang berada di Aceh ketika itu bernama Peter Sourij. Di dalam diarinya, Peter Sourij mencatatkan akan kehadiran seorang ulama baru yang berasal dari Minangkabau bernama Saifulrijal,yang telah berjaya mengumpulkan pengikut-pengikut Wujudiyyah dan seterusnya melancarkan serangan balas terhadap hujah-hujah Nuruddin al-Raniri dalam beberapa siri perdebatan di istana. Nuruddin al-Raniri akhirnya terpaksa meninggalkan Aceh untuk pulang ke tanahaimya.
·        
 Manuskrip Raffles Malay 8 kini tersimpan di Royal Asiatic Society, London.(Raffles Malay 8: halaman 3): "Dan kemudian dari itu pada tujuh haribulan Syawal, maka dititahkanyang maha mulia fakir dengan titah yang tiada dapat tiada menjunjung dia sultan mu'azzam yang hafan lagi murah, yang pertama besar martabat izzatnya, iaitu Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Syah Johan berdaulat zillullah fil alam..."

BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 27

Bab I Pada menyatakan kejadian bumi tujuh petala dan tujuh petala
langit (30 fasal)
Bab II Pada menyatakan segala anbia dan raja-raja (13 fasal)
Bab III Pada menyatakan raja-raja yang adil, kadi, wazir, utusan dan katib
(6 fasal)
Bab IV : Pada menyatakan raja-raja yang pertapa dan segala anbia yang
salih (2 fasal)
Bab V : Pada menyatakan kelakuan raja yang zalim dan wazir yang aniaya
(2 fasal).
Bab VI • Pada menyatakan orang yang sakhi (pemurah) dan orang yang
berani (2 fasal)
Bab VII : Pada menyatakan akal dan ilmu, firasat, penyakit dan ilmu tabib,
sifat perempuan dan cerita-cerita ajaib (5 fasal).
Sebagai sebuah karya adab ketatanegaraan, isi kandungan Bustan al-Salatin
dipenuhi dengan pelbagai panduan dan nasihat tentang tatacara pentadbiran negara,
menyamai karya-karya seperti Taj al-Salatin oleh Bukhari Jauhari atau pun Nasihat al-
Muluk oleh Imam al-Ghazzali. Walau bagaimanapun, dalam memberi panduan dan
nasihat pemerintahan kepada raja-raja, Nuruddin al-Raniri tidak hanya mementingkan
aspek-aspek kehidupan keduniaan, tetapi turut menekankan aspek kehidupan
kerohanian para pemerintah. Seorang raja tidak hanya dinasihati supaya adil, bijaksana,
pemurah, gagah dan perkasa, tetapi juga harus memiliki kekuatan jiwa kerohanian.
Dalam konteks ini, Bustan al-Salatin kaya dengan pelbagai panduan dan nasihat
bernada kesufian yang tinggi nilainya, yang dapat diringkaskan dalam tiga tema
perbincangan seperti berikut:
(i). daripada Bertakhta kepada Bertapa
Daripada tujuh bab yang membina Bustan al-Salatin, Bab IV agak tersendiri sifatnya,
kerana khusus membicarakan hal yang berkaitan dengan cerita-cerita raja yang bertapa,
yakni, melakukan riadah dalam amalan kerohanian. Bab ini terdiri daripada dua
bahagian (fasal) meliputi kisah raja-raja yang bertapa dan peri kehidupan anbia dan
aulia pada masa silam. Judul khusus bagi Bab IV tersebut adalah seperti berikut (MS
UM 41, halaman 577)' :
Bab yang keempat pada [menyatakan] kelakuan segala raja-raja yang bertapa dan
menyatakan kelakuan segala aulia Allah yang salih. Dalamnya dua fasal.
Fasal yang pertama pada menyatakan kelakuan segala raja-raja yang bertapa yang
meninggalkan dunia pada zaman yang terdahulu kala kerana mengikut keredaan
Allah Taala.
Fasal yang kedua pada menyatakan kelakuan segala aulia Allah yang dahulu kala.
7 Perbincangan tentang Bab IV Bustan al-Salatin dalam tulisan ini adalah merujuk kepada salinan manuskrip UM 41 yang
kini tersimpan di Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
28 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005
Daripada judul di atas, memperlihatkan penekanan Nuruddin al-Raniri agar rajaraja
mengamalkan hidup bertapa, dalam erti kata membersihkan diri daripada cara
hidup keduniaan yang penuh kemewahan dan kekuasaan demi menurut jalan keredaan
Ilahi. Seorang yang bertapa akan berusaha membersihkan jiwa dengan amalan-amalan
kerohanian yang tertentu, berzikir dan bermujahadah nafsu, justeru akan mendekatkan
diri ke arah kehidupan yang zahid. Perbuatan ini adalah amalan yang sebati dengan cara
hidup para aulia dan orang salih yang banyak diceritakan dalam kitab-kitab agama.
Pandangan Nuruddin al-Raniri disokong dengan petikan kata-kata orang salih seperti
berikut:
Kata Syeikh Zi al-Nun al-Misri radiallahu anhu, bahawa segala yang bertapa dalam
dunia itu raja pada hari kiamat (Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 578)
Kata Syeikh Abi Madain radiallahu anhu, yang raja itu dua bahagi, suatu raja yang
mengimpunkan segala hati segala hamba Allah dan yang sebenar-benar raja itu iaitu
segala raja yang bertapa dalam dunia. (Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 578)
Nasihat Nuruddin al-Raniri kepada raja-raja agar mengamalkan hidup bertapa
kemudian diperhalusinya dengan 'memetik beberapa buah cerita yang berkaitan dengan
kisah raja-raja yang bertapa pada masa silam. Dalam cerita-cerita tersebut, banyak
dipaparkan bagaimana kisah raja yang mendapat hidayat kerohanian melalui peristiwaperistiwa
yang mereka alami. Raja-raja tersebut akhirnya turun dari takhta dan
mengembara menjalani kehidupan selaku seorang fakir yang mencari kebenaran.
Berikut diperturunkan sebuah daripada cerita yang dimaksudkan:
Kata sahibul hikayat, sekali persetua, ada seorang raja pada zaman yang dahulukala
menitahkan berbuat sebuah mahligai amat indah perbuatannya dan perhiasannya.
Apabila sudahlah mahligai itu, maka raja pun menitahkan memanggil segala isi
negeri berjamu mereka itu. Maka segala isi negeri itu pun datanglah ke mahligai itu
makan minum bersuka-suka.
Syahadan raja pun menitahkan yang menunggu pintu, "Barangsiapa keluar daripada
pintu mahligai ini, hendaklah kamu tanyai akan dia, adakah kamu melihat suatu aib
pada mahligai ini atau tiada?" Maka segala mereka itu pun masing-masing keluar.
Maka orang yang menunggu pintu itu pun menanyai tiap-tiap keluar seorang
daripada mereka itu. Maka sahut mereka itu, "Suatu pun tiada aib pada mahligai ini."
Maka kesudahan mereka itu keluar beberapa orang memakai kain kasar. Maka
ditanyai orang yang menunggu pintu itu kepada mereka, "Adakah lihat suatu aib
pada mahligai ini?" Maka sahut mereka itu, "Bahkan, ada dua aib pada mahligai
ini." Maka demi orang menunggu pintu menengar kata mereka itu demikian, maka
orang itu pun menahan mereka itu lalu dipersembahkan kepada raja, "Ya tuanku
Syah Alam, adalah diperhamba beroleh beberapa orang yang mengatakan pada
mahligai ini dua aib."

BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 29

Demi raja menengar sembah yang demikian itu, maka sabda raja, "Aku menghendakkan suatu aib jua, sekarang kudengar dua aib pula." Lagi raja menitahkan memanggil mereka itu. Maka datang mereka itu. Maka sabda raja akan
orang itu, "Apo dua aib yang kamu melihat pada mahligai ini?" Maka sembah
mereka itu, "Ya tuanku Syah Alam, pertama-tama aib mahligai ini akan binasa jua
adanya, kedua mati jua segala isinya."Maka sabda raja, "Adakah kamu mengetahui mahligai yang tiada binasa dan yang tiada mati isinya?" Maka sembah mereka itu, "Ya tuanku Syah Alam, ada mahligai yang tiada binasa dan tiada mati isinya iaitu Syurga..." Demi didengar raja itu sembah mereka itu, lalu ia masuk insaf pada hatinya serta taubat, lalu keluarlah ia daripada mahligai serta meninggalkan kerajaannya. Maka berjalanlah ia kepada jalan Allah.
(Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 602-604).

Secara tersurat, petikan cerita di atas seolah-olah mendorong raja-raja agar turun
takhta dan meninggalkan tanggungjawab pemerintahan demi mencari kemuliaan hidup kerohanian. Walau bagaimanapun, membaca Bustan al-Salatin secara lebih tuntas akan membawa kepada beberapa kemungkinan makna yang lain. Seandainya diteliti keseluruhan isi kandungan teks tersebut, amat ketara sekali sanjungan Nuruddin al-Raniri terhadap institusi raja-raja yang wujud di Aceh ketika itu. Malahan sebahagian besar daripada isi kandungan Bustan al-Salatin adalah membicarakan peraturan,panduan dan nasihat tentang adab pemerintahan kepada raja-raja. Secara tersirat, kehadiran Bab IV yang bernada kesufian lebih berbentuk "perbandingan" kepada raja-raja tentang kuasa dan takhta pemerintahan yang sebenarnya tidak sebesar mana berbanding dengan kepentingan bagi manusia mengamalkan ajaran agama dengan sebenar-benarnya. Kuasa dan kedudukan sebagai raja tidaklah begitu utama seandainya dibandingkan dengan tuntutan bagi manusia mencari kebenaran dan keredaan Allah SWT. Nuruddin al-Raniri lebih bermatlamat menasihati raja-raja supaya menjadi pemerintah yang salih agar mendapat kerahmatan Allah semasa hidup di dunia dan di alam akhirat kelak. Penekanan terhadap hal ini terdapat dalam petikan cerita berikut:

Sekali persetua, pada suatu hari Iskandar Zulkarnain tiada semayam pada percintaannya, dan tiada ia keluar dari istana. Tatkala itu Jalinus Hakim pun masuk
mengadap, maka dilihatnya Sultan Iskandar Zulkarnain dalam percintaannya, dan
sembahnya, "Ya tuanku Syah Alam, apa yang dipercintakan, maka tiada Syah Alam keluar dari istana?" Maka sabda Sultan Iskandar Zulkarnain, "Bahawa percintaanku ini kerana kerajaan dunia ini tiada berapa lamanya dan tiada kekal lagi akan hilang jua dia, tiada dapat tiada memberi susah segala manusia jua adanya. Maka daripada pekerjaan yang sia-sia inilah yang kupercintakan."Maka sembah Jalinus Hakim, "Sebenarnyalah seperti bicara Syah Alam itu, bahawasanya dunia ini tiada berapa kerajaannya lagi tiada kekal, menyusah besar,lagi tiada kesudahan kerajaannya. Maka adalah kerajaan akhirat itu mengikut 30 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005 kerajaan dunia jua. Jikalau dikerjakan kerajaan dunia itu dengan sebenarnya, nescaya diperolehilah kerajaan akhirat yang kekal lagi tiada terkira-kira kemuliaannya." Demi didengar Zulkarnain sembah Jalinus Hakim demikian itu, maka ia pun sukacita. Nasihat: Sayugianya bagi segala hamba Allah yang mengerjakan segala pekerjaan
dalam dunia kerana akhirat.
(Bustanus Salatin, MS UM41, halaman 617-618)

Salah seorang raja yang masyhur dalam cerita-cerita kerohanian Islam ialah Ibrahim ibn Adham, iaitu seorang legenda Sufi yang dikaitkan sebagai pemerintah kerajaan di Balkh (m.d. 778 M) yang turun takhta dan mengembara secara fakir. Kisah Ibrahim ibn Adham tersebar luas dalam kesusasteraan Islam melalui sebuah cerita berjudul Hikayat Sultan Ibrahim ibn Adham. 8 Di samping hikayat yang panjang tersebut, kisah perjalanan kerohanian Ibrahim ibn Adham turut muncul dalam pelbagai versi anekdot yang lebih pendek. Salah sebuah anekdot yang terkenal tentangnya telah dipetik oleh Nuruddin al-Raniri seperti berikut:
Sekali persetua, pada suatu hari, ada hamba serta Ibrahim ibn Adham berjalan, maka sampai kami kepada kubur. Maka Ibrahim ibn Adham pun berhenti di sisi kubur itu. Maka katanya, "Rahmat Allah taala atas isi kubur ini," lalu menangis. Maka kata hamba akan dia, "Ya tuan hamba, kubur siapa ini?" Maka sahut Ibrahim ibn Adham akan hamba, "Inilah kubur raja yang empunya negeri ini. Adalah ia sangat mengaramkan dirinya dalam laut dunia ini umpama ombak mengalun ia atas segala rakyatnya, dan cenderung kepada dunia. Maka datang kepadanya nugerah Allah taala serta diluputkan-Nya ia daripada laut yang maha dalam kepada anak yang sejahtera.Maka pada suatu hari ada ia bersekalian dengan permain serta dengan segala hulubalangnya, maka ia pun tidurlah, lalu ia bermimpi datang kepada seorang laki-laki pada sisi kepalanya. Maka diucapkannya suatu sahifah tersurat dalamnya dengan air emas demikian bunyinya: Jangan kaupilih yang fana daripada yang baqa, dan jangan engkau maghrur dengan kerajaanmu dan kebesaranmu dan kemuliaanmu, bahawasanya yang ada dalam kerajaanmu itu terlalu baik jikalau tiada akan berpindah dan lenyap dan binasa, dan terlalu baik sentosamu dan sukacitamu jika tiada ia seperti bermain-main jua adanya. Maka segeralah engkau mengerjakan segala yang dititahkan Allah taala...Maka tatkala sudah dibacakan sahifah itu, terlalu terkejutlah ia daripada tidurnya dan sangatlah percintaannya serta katanya, tanbih dan pengajar daripada Allah taala' . Maka ditinggalkannyalah kerajaan lalu ia berjalan pada segala bukit berbuat ibadat akan Allah taala. 8 Rujuk kajian terhadap Hikayat Sultan Ibrahim ibn Adham oleh Jones (1983).

BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 31

[Nasihat]: Sayugianya bagi segala ghafil [ghaflah/lupa] yang tidur lalai, hendaklah
ia jaga daripada tidurnya dan daripada lalainya itu.(Bustan al-Salatin, MS UM41, halaman 593-594)Cerita-cerita yang berkaitan dengan alam kerohanian seringkali dipenuhi dengan unsur-unsur yang luar biasa dan bernada perlambangan. Pemahaman terhadap cerita tersebut memerlukan daya taakulan yang lebih mendalam daripada para pembaca, memikir bukan hanya dengan deria akal, sebaliknya melalui mutiara hati nurani yang suci. Dapat diandaikan, melalui cerita-cerita kerohanian ini, Nuruddin al-Raniri berhasrat untuk mendorong raja-raja berfikir/bertafakur secara mendalam tentang kebesaran Allah SWT, meninggalkan sejenak takhta kebesaran kerajaan, sebaliknya turun memencilkan diri, bertapa dan mengamalkan riadah kerohanian. Sebagai contoh dapat dilihat dalam cerita Ibrahim ibn Adham yang bertemu dengan seorang syeikh yang boleh menghadirkan hidangan makanan secara memohon doa. Petikan ceritanya adalah seperti berikut (Bustan al-Salatin, MS UM 41: halaman 581-582):

Maka ia (syeikh) pun sembahyang dua rakaat dengan segeranya serta kata ia akan
hamba, "Berdiri sembahyanglah tuan hamba seperti sembahyang hamba ini." Maka
hamba pun sembahyanglah. Maka tatkala hamba memberi salam, maka hamba lihat
pada pihak kanan hamba terhantar makanan dan air yang sejuk. Maka kata syeikh
itu akan hamba, "Hai anak Adham, makanlah oleh tuan hamba daripada anugerah
Allah dan mengucap syukurlah tuan hamba akan Dia pada anugerah-Nya ini." Maka hamba pun makanlah makanan itu sekenyang-kenyang hamba lagi ada jua makanan itu seperti halnya tiada berkurang. Dan hamba minum air itu serta hamba mengucap syukur akan Allah taala. Maka kata syeikh akan hamba, "Hai Ibrahim, bicarakanlah oleh tuan hamba dengan bicara yang sempurna dan jangan tuan hamba bersegera pada barang pekerjaan tuan hamba kerana bersegera itu daripada perbuatan syaitan jua. Ketahui oleh tuan hamba bahawa Allah taala apabila dikehendaeki-Nya akan hamba-Nya dengan kebajikan maka dipilih-Nya akan dia berbuat ibadat akan Dia, dijadikan-Nya dalam hati hamba-Nya itu suatu pelita daripada cahaya kesucian..." (ii). Daripada Taman Ghairah kepada Taman Jannah
Antara keseluruhan bab dan fasal yang terdapat dalam Bustan al-Salatin, Fasal ke-12 dan Fasal ke-13 daripada Bab II memperlihatkan perbezaan yang ketara daripada segi isi dan penggunaan bahasanya. Kedua-dua fasal ini khusus membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan kerajaan Melayu. Fasal ke-12 menceritakan sejarah asal-usul dan jurai keturunan raja-raja Melaka yang dipetik oleh Nuruddin al-Raniri daripada Sulalatus Salatin. Fasal ke-13 pula menceritakan sejarah awal raja-raja Aceh yang tiada dinyatakan sumber rujukannya termasuk beberapa peristiwa semasa yang berlaku dalam zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani dan Sultanah Safiatuddin Tajul Alam. Penceritaan dalam Fasal ke-13 diwarnai pula dengan perlukisan sebuah taman yang indah dikenali sebagai "Taman Ghairah".32 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005 Menurut Nuruddin al-Raniri, dalam masa pemerintahan Sultan Iskandar Thani, telah dibina sebuah taman yang sangat indah bernama "Taman Ghairah". Dalam menggambarkan keindahan taman tersebut, pengarang tidak menukilkannya secara mudah, sebaliknya mengolah dalam gaya bahasa yang tinggi nilai estetiknya. Bahagian perlukisan taman itu dengan ketara sekali memperlihatkan kemahiran pengarangnya dalam menggunakan bahasa Melayu yang indah berseni dan kaya perbendaharaan
katanya. Unsur-unsur "keghairahan" yang terdapat di dalam taman itu diperhalusi pula dengan gambaran suasana dan lambang-lambang kesufian yang asyik pada penghayatan para pembaca. Keunikan olahan bahasa dan perlambangan "Taman Ghairah" telah menimbulkan pelbagai tanggapan daripada para sarjana sehingga ada yang mendakwa bahawa bahagian tersebut bukan hasil penulisan Nuruddin al-Raniri. 9 Walau bagaimanapun, penulis berpandangan bahawa perlukisan "Taman Ghairah" dalam Bustan al-Salatin adalah lahir daripada pena Nuruddin al-Raniri yang asal. Pandangan ini adalah berasaskan dapatan penulis tentang sumber rujukan yang besar kemungkinan telah digunakan oleh Nuruddin al-Raniri dalam mengarang keindahan taman tersebut, yakni, daripada Hikayat Indraputra.' Sebagaimana sedia diketahui, pada masa Nuruddin al- Raniri menulis Bustan al-Salatin, Hikayat Indraputra sudah pun popular di Aceh. Malahan, kita juga sedia mengetahui bahawa Nuruddin al-Raniri ada membaca Hikayat Indraputra seperti yang tercatat dalam Sirat al-Mustaqim." Penelitian penulis mendapati sekurang-kurangnya sepuluh keterangan tentang keadaan taman dapat ditemui dalam Hikayat Indraputra.' Malahan, nama "Taman Ghairah" itu sendiri turut tertulis dalam Hikayat Indraputra (Rujiati Mulyadi, 1983: 79 & 89) seperti berikut:

Maka Indraputra pun heran mendengar nama taman Ghairat itu. Seraya tersenyum maka Indraputra pun lalulah berjalan ke taman Ghairat diiringkan oleh bidadari itu. Maka dilihat oleh Indraputra taman Ghairat itu pagar jala-jalanya daripada tembaga suasa dan pintunya daripada emas sepuluh mutu bertatahkan ratna mutu manikam. Maka Indraputra pun lalulah masuk ke dalam taman itu. Maka Raja Dewa Lela Mengerna dan Indraputra dengan Nabat Rum Syah duduk di taman Ghairat berjaga-jaga, makan minum dengan segala bunyi-bunyian terlalu ramai. Daripada keterangan di atas, dapat dibuat kesimpulan bahawa Nuruddin al-Raniri bukanlah orang pertama yang telah menggunakan nama "Taman Ghairah", sebaliknya nama tersebut mungkin bersumber daripada pembacaannya terhadap Taman Ghairat
dalam Hikayat Indraputra. Andaian ini disokong pula dengan perbandingan corak atau 9 Lihat perbincangan tentang hal ini dalam Grinter (1979). 10 Hikayat Indraputra merupakan salah sebuah romans Melayu pengaruh Hindu. (Lih: Rujiati Mulyadi, 1983) 11 Dalam Sirat al-Mustaqim, Nuruddin al-Raniri ada mencatatkan seperti berikut: "...harus istinja dengan kitab Taurat dan Injil yang sudah berubah daripada asalnya, dan demikian lagi harus istinja dengan kitab yang tiada berguna pada syarak seperti Hikayat Seri Rama dan Indraputra dan barang sebagainya, jika tiada di dalamnya nama Allah." (rujuk Sirat al- Mustaqim di pinggir kitab Sabil al-Muhtadin karangan Muhammad Arsyad al-Banjari, halaman 39). Catatan inimenunjukkan bahawa Nuruddin al-Raniri pernah membaca Hikayat Indraputra.
12 Lihat Rujiati Mulyadi (1983: 79, 81, 89, 98, 148, 150,160, 176, 180, 186).

BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 33

Gaya penulisan bagi kedua-dua buah teks tersebut yang tidak jauh berbeza. Banyak
nama tempat yang dinyatakan dalam Bustan al-Salatin turut dapat ditemui dalam
Hikayat Indraputra. Suatu contoh yang baik terdapat dalam petikan berikut:
Maka pada sama tengah lancang itu diperbuatnya suatu taman dan kolam, diikat
dengan yakkub yang merah dan pasirnya daripada emas urai dan batunya daripada
permata dan tanahnya daripada kesturi dan rumputnya daripada kumkum, dan di
hulu air itu airnya manis dan kerang-kerangannya daripada mutia dan permata.
Syandan di hilir air itu airnya manis, kerang-kerangannya tiram dan sinting siput
dan ganggang dan kerang dan ketam. Lain daripada itu beberapa bagai pula kerangkerangan.Maka taman itu dibubuhnya pagar jala-jala daripada perak dan pintunya daripada emas terlalu indah-indah perbuatannya.

Syandan pada tepi kolam itu diaturnya jambangan, ada jambangan emas, ada
jambangan perak, ada jambangan tembaga suasa. Maka pada jambangan emas itu
ditanaminya cempaka hijau, dan pada jambangan perak itu ditanaminya bunga air
mawar, dan pada jambangan tembaga suasa itu ditanaminya bunga melur susun
dan bunga seroja dan bunga seganda.Syandan bagai-bagai bunga yang pada tanamnya ada bunga pekan, ada bunga gambir, ada bunga anggrek, sekalian dengan jambangan bagai-bagai dan beberapa pula kolam dalam tamanitu. Ada yang dengan kaca merah, ada yang diikat dengan kaca ungu, ada yang diikat dengan kaca hijau. Syandan bau airnya seperti air mawar.

Maka pada sama tengah kolam itu diperbuatnya suatu balai gading bersendi-sendi
dengan emas, terlalu indah-indah perbuatannya balai itu. Syandan di hadapan balai
itu ditanamnya sepohon kayu, batangnya daripada emas, daunnya daripada zamrut
dan buahnya daripa manikam yang merah, dan di atas pucuk kayu itu ditaruhnya
seekor burung pungguk, dan di bawah kayu itu ada seekor merak terlalu indah-indah rupanya.(Hikayat Indraputra: Rujiati Mulyadi, 1983: 176-177)

Dan adalah sama tengah Sungai Darul Isyki itu sebuah pulau bergelar Pulau Marman. Di kepala pulau itu sebuah batu mengampar, perusahaannya seperti tembus, bergelar Banar Nila warna.dan adalah keliling pulau itu karang berbagai- bagai warna, bergelar Pancalogam. Di atas pulau itu suatu pasu, iaitu permandian,
bergelar Sangga Mamaq. Dan adalah isinya air mawar yang amat merbak baunya
Dan ada di sisi kolam terlalu luasnya bergelar Cindur Hati. Maka adalah dalam
kolam itu pelbagai bunga-bungaan, daripada bunga telepok, dan jengkeleni, dan
teratai, dan seroja, dan bunga iram-iram, dan bunga tunjung. Dan ada dalam kolam itu beberapa ikan, warnanya seperti emas. Dan pada sama tengah kolam itu sebuah pulau, diturapinya dengan batu putih, bergelar Pulau Sangga Sembega. Dan di atasnya suatu batu mengampar seperti singgahsana rupanya Dan di hadapan gedung itu sebuah balai gading, tempat kenduri baginda. Dan disisi balai itu beberapa pohon pisang, daripada pisang emas dan pisang suasa. Dan 34 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005 ada di sisi gunung tepi sungai itu suatu peterana batu berukir, bergelar Kembang Lela Mashadi, dan arch ke hulunya suatu peterana batu warna nilam, bergelar Kembang Seroja Berkerawang. Dan di halaman gunung itu pasirnya daripada batu nilam dan ada sebuah balai keemasan perbuatan orang atas angin, dan di sisinya ada sebuah rumah merpati. Syandan adalah segala merpati itu pandai menari, bergelar Pedikiran Leka.
(Bustan al-Salatin MS Raffles Malay 8: 248-250)

Berasaskan perbandingan di atas, penulis merumuskan bahawa perlukisan "Taman
Ghairah" dalam Bustan al-Salatin adalah suatu olahan semula oleh Nuruddin al-Raniri tentang gambaran taman yang terdapat dalam Hikayat Indraputra. Tujuan penulisannya adalah ketara ditujukan untuk mempermuliakan Sultan Iskandar Thani. Barangkali dengan perlukisan taman yang indah tersebut akan dapat mengangkat martabat sultan yang sedang memerintah kerajaan Aceh ketika itu. Kebesaran Sultan Iskandar Thani diangkat melalui sifat ketakwaan, kesalihan dan amalan kerohaniannya. Dalam konteks ini, hal yang cukup penting diberi perhatian tentang bagaimana sebuah taman "ghairah" yang bernafas kehinduan dalam Hikayat Indraputra telah disucikan dalam nada kesufian oleh Nuruddin al-Raniri hingga mendekati perlukisan taman di syurga. Secara tersiratnya, perkara ini dapat dimaknakan seolah-olah Nuruddin al-Raniri menasihati raja-raja agar menjadikan kawasan istana sebagai taman syurga. Sebagai taman syurga, perlukisan kawasan istana ditiupi dengan udara persekitaran yang sakral, suci dan rohaniah. Digambarkan bahawa taman tersebut luasnya seribu depa yang dilingkungi dengan tembok batu. Di tengah-tengah taman mengalir sungai Dar al-Ishqi (Daerah Cinta) yang berpunca daripada gunung Jabal al-A'la. Kedua-dua tebing Dar al-Ishqi itu diturap pula dengan batu pancawarna bergelar Tebing Tangga Saffa. Pada bahagian kanan sungai itu terdapat sebuah medan yang luas bergelar Medan Khairani. Pada sama tengah medan itu dibina pula sebuah gunungan tempat raja bersemayam bernama Gegunungan Menara Permata yang diperbuat daripada batu. Didalam gunungan tersebut terdapat sebuah gua yang pintunya daripada perak.Di sisi bahagian gunungan itu terdapat kandang (makam) diraja. Kawasan taman diperindahkan lagi dengan sebuah kolam besar bernama Kolam Jentera Hati. Di
kawasan itu juga dibina balai-balai istirahat dan sebuah masjid yang indah bernama
Ishqi Mushahadah. Kalau dalam Bab IV raja-raja disarankan supaya mengamalkan
hidup bertapa, maka dalam perlukisan "Taman Ghairah" ada disebutkan Gegunungan Menara Permata tempat raja semayam, gegunungan yang tidak begitu besar, yang sebenarnya menjadi tempat raja berkhalwat dan bertapa. Ada kemungkinan sebuah "taman" yang indah pernah wujud di persekitaran istana
Aceh masa silam. Kesan kewujudan taman tersebut masih dapat disaksikan lagi hingga ke hari ini. Apakah taman tersebut benar-benar dinamakan sebagai "Taman Ghairah"merupakan satu persoalan yang sukar diberikan jawapan yang tepat. Dalam Hikayat Aceh atau Adat Aceh tidak pernah tercatat nama "Taman Ghairah"." Ada kemungkinan,13 Kunjungan penulis ke Banda Aceh mendapati beberapa kesan peninggalan taman diraja Aceh masa silam masih terpelihara
dengan baik. Walau bagaimanapun, bagi masyarakat Aceh, taman-taman yang masih wujud itu lebih dikenali sebagai "Taman Sari".

BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 35

Nuruddin al-Raniri, melalui daya imaginasinya dan keperluan untuk menyanjung
penaungnya yang salih, telah memperindahkan gambaran sebuah taman di persekitaran istana Aceh dengan unsur-unsur alam kerohanian, dan diberi nama sebagai "Taman Ghairah" berdasarkan ilham nama taman yang terdapat dalam Hikayat Indraputra. Suasana keindahan taman dibungai dan diharumi pula dengan pelbagai jenis bunga dan pokok buah-buahan yang masak ranum, menambahkan ketenangan dan kekusyukan hati para penghuninya, semakin menghampiri suasana gambaran di Taman Jannah. (iii). Daripada Zillullah fil Alam kepada Zikrullah al-A/la Bustan al-Salatin ditulis khusus oleh Nuruddin al-Raniri atas permintaan penaungnya, Sultan Iskandar Thani, yang digelarnya sebagai Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Syah Johan Berdaulat zillullah fil alam (bayangan Tuhan di bumi). Idea tentang raja sebagai "bayangan Tuhan di dunia" telah tersebar ke Alam Melayu melalui beberapa buah karya ketatanegaraan Melayu menerusi kata-kata zillullah fil alam ataupun zillullah fil ardh. Di dalam Taj al-Salatin terdapat ayat seperti berikut (Khalid M.Hussain, 1992: 57): "Bermula segala raja-raja itu daripada perinya ini dikatakan zillullah fil ardh bahawa bayangan Allah di bumi". Hal ini menunjukkan bagaimana idea tentang keagungan dan ketinggian martabat raja-raja sebagai bayangan Tuhan didunia yang hidup dalam tradisi Parsi telah diamalkan secara terus oleh Nuruddin al-Raniri terhadap raja-raja Aceh.Penyebaran kata-kata zillullah fil alam yang terdapat dalam Bustan al-Salatin telah menyebabkan ungkapan tersebut begitu popular dalam pengetahuan khalayak pembaca. Malahan, sehingga kini, ungkapan tersebut begitu sinonim dengan raja-raja Melayu,menjadi suatu keistimewaan kepada keagungan dan kedaulatan raja-raja Melayu.Ungkapan tersebut merupakan salah satu faktor utama yang mendorong rakyat jelata mematuhi perintah dan memuliakan kedudukan serta kebesaran golongan raja. Gelaran Sultan Iskandar Thani selaku zillullah fil alam itu telah pun diungkapkan oleh Nuruddin al-Raniri seawal bahagian "mukadimah" Bustan al-Salatin sebagai menunjukkan martabat tinggi sultan yang sedang memerintah Aceh ketika itu.Walau bagaimanapun, membaca Bustan al-Salatin seterusnya, kita akan dapati bahawa Nuruddin al-Raniri telah memberi pelbagai syarat kepada raja-raja yang bergelar zillullah fil alam. Antara syarat yang utama ialah keperluan raja-raja memerintah dengan adil, bersikap pemurah, berakal dan berilmu pengetahuan. Menurut Nuruddin al-Raniri, semua perkara ini hanya akan dapat dicapai oleh seorang raja yang beriman dan beramal salih, sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT, mengamalkan syariat Nabi dan mengerjakan perbuatan kebaikan dalam pemerintahan. Sebahagian daripada nasihat Nuruddin al-Raniri terdapat dalam petikan-petikan berikut: "Nasihat: Hai segala raja-raja yang adil, dengarlah hal Amirulmukminin Umar radiallahuanhu, betapa is merendahkan dirinya daripada melihat kebesaran Allah taala dan melelahkan dirinya kerana memelihara segala hamba Allah dan meneguhkan syariat Nabi sallallahu alaihi wassalam" (Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 315).36 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005 Nasihat: Sayugianya bagi segala raja-raja, jangan ia membesarkan dirinya kerana melihat kekayaan, dan jangan ia maghrur dengan kekayaannya dunia yang fana ini, lagi jangan ia mentakburkan dirinya (Bustan al-Salatin, MS Klinkert 14, halaman83).Bagi Nuruddin al-Raniri, salah satu cara bagaimana raja-raja dapat meningkatkan iman dan amal salih adalah melalui perdampingan dengan para ulama. Dalam Bustan at-Salatin, terdapat banyak cerita nasihat yang menunjukkan kisah raja-raja atau pemerintah yang sentiasa mendapatkan nasihat daripada para ulama, termasuk cerita-cerita yang berkaitan dengan Khalifah Umar al-Khattab dan Harun al-Rasyid. Salah satu nasihat Nuruddin al-Raniri kepada raja-raja adalah seperti berikut:

Nasihat: Sayugianya bagi segala raja-raja yang berjinak-jinakan dengan segala
ulama yang menunjuk jalan akhirat (Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 369).
Lebih utama daripada menghampiri para ulama, Nuruddin al-Raniri turut menasihati raja-raja agar sentiasa berkhalwat dan berzikir mengingati Allah Yang Maha Tinggi, zikrullah al-a'la. Raja yang berzikir menghubungkan hati dengan Allah akan sentiasa berada dalam rahmat dan hidayat-Nya. Melalui amalan zikir akan merapuhkan kebanggaan raja selaku zillullah fi alam hingga ke tahap seorang hamba yang penuh harap. Hanya dengan cara ini akan membawa seorang raja itu benar-benar mengamalkan ciri-ciri seorang pemerintah yang salih dan seterusnya mengamalkan prinsip adil dalam segala urusan kerajaannya. Dalam mengukuhkan nasihatnya, Nuruddin al-Raniri memetik sebuah cerita daripada Imam al-Ghazzali seperti berikut:

Kata Imam al-Ghazzali radiallahu anhu, bahawa ada seorang raja, pada suatu hari
pergi ia mengunjung seorang syeikh. Maka sabda raja itu, "Ya tuan syeikh, barang
jangan kiranya tuan hamba lupakan hamba pada ketika tuan hamba khalwat, tuan
sebutkan kiranya hamba kepada Allah taala." Maka sahut syeikh. "Tuanku, diri
hamba lagi tiada hamba sebutkan pada Allah taala, maka betapa menyebutkan tuan
hamba kepada Allah taala?"Maka sabda raja itu, "Ya tuan syeikh, apa sebabnya berkata tuan hamba yang demikian?" Maka sahut syeikh, "Tuanku, apabila hamba menyebut nama Allah taala,maka lupalah hamba akan diri hamba." Maka berkata pula syeikh, "Jikalau berkehendak tuanku akan hal yang demikian itu, bahawa janganlah tuanku menyebut nama lain daripada nama Allah taala."Nasihat: Sayugia bagi segala hamba Allah, hendaklah diperbuat banyak-banyak
menyebut nama Allah supaya jadi ia daripada orang yang berjinak-jinakan dengan
Dia.(Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 611)

BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 37

Kesimpulan, penulisan Bustan al-Salatin dapat dilihat sebagai salah sebuah sumbangan besar Nuruddin al-Raniri kepada dunia Melayu dalam usaha menghasilkan sebuah dokumen yang berkaitan dengan sejarah dan tatacara pemerintahan raja-raja di Alam Melayu.Dalam karya tersebut tergambar pengetahuan luas Nuruddin al-Raniri tentang tatacara pemerintahan raja-raja yang hidup dalam tradisi Islam dan juga ciri kesasterawanannya dalam menampilkan cerita-cerita nasihat kepada raja-raja. Lebih utama daripada itu,karya tersebut turut memperlihatkan persepsi Nuruddin al-Raniri terhadap ajaran kerohanian kepada raja-raja, yang dicernakan dalam bentuk amalan yang praktikal untuk dihayati oleh para pemerintah. Mutiara kesufian dalam karya tersebut tidak ditampilkan dalam bentuk falsafah yang rumit difahami sebaliknya muncul dalam bentuk nasihat dan cerita tauladan yang boleh menimbulkan kesan keinsafan dalam penghayatan pembaca. Kisah hidup para anbia dan aulia pada masa lalu merupakan mutiara kesufian yang abadi dalam sejarah manusia. Usaha Nuruddin al-Raniri merakam semula kisah-kisah tersebut dalam Bustan al-Salatin sedikit sebanyak telah memberi petunjuk kepada raja-raja Aceh tentang pembentukan peribadi raja yang salih dan beriman selaras dengan kedudukan Aceh sebagai Darussalam. Usaha tersebut seharusnya turut memberi manfaat kepada raja-raja Melayu secara keseluruhannya dan kekal berterusan hingga ke hari ini. Bagi raja yang beriman, mendekatkan diri dengan jalan kesufian, secara langsung akan mendorong rakyat jelata mengikuti jalan yang sama. Walau bagaimanapun, jalan kesufian bukanlah satu jalan yang mudah, sebaliknya menuntut tahap kefahaman, kesabaran dan ketakwaan yang tinggi, apatah lagi kepada golongan raja yang hidup penuh dengan kekuasaan dan kemewahan. Rumusan akan hal ini dapat diperhatikan melalui petikan cerita Ibrahim ibn Adham seperti berikut:

Sekali persetua, pada suatu hari bertemu Ibrahim ibn Adham dengan seorang laki-laki dalam tempat tawaf. Maka kata Ibrahim ibn Adham, "Hai laki-laki, tiada engkau sampai kepada darjat segala salihin melainkan dengan engkau perbuat enam
perkara. Pertama-tama menutupkan pintu nikmat dan membukakan pintu kesukaran. Kedua, menutupkan pintu kemuliaan dan membukakan pintu kehinaan.
Ketiga, menutupkan pintu kesentosaan dan membukakan pintu kedukaan. Keempat, menutupkan pintu kekayaan dan membukakan pintu kepapaan. Kelima, menutupkan pintu tidur dan membukakan pintu jaga. Keenam, menutupkan pintu
berlanjut-lanjutan bicara dan membukakan pintu daripada segeranya maut."
(Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 584-585)38 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005

0 comments:

Post a Comment