CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday 4 May 2013

RAJA ALI HAJI



Nama penuh pengarang buku Tuhfat Al-Nafis ialah Raja Ali al-Hajj ibni Raja Ahmad al-Hajj ibni Raja Haji Fisabilillah bin Opu Daeng Celak Alias Engku Haji Ali ibni Engku Haji Ahmad Riau atau lebih dikenali sebagai Raja Ali Haji. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1809M dan dikatakan telah meninggal dunia pada tahun 1870M. Raja Ali Haji berasal dari Pusat Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat iaitu pada masa kini termasuk dalam wilayah Kepulauan Riau, Indonesia.
            Ketika hayatnya, Raja Ali Haji telah dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang memiliki latar belakang pendidikan keagamaan dan keilmuan yang kuat. Maka tidak hairanlah beliau telah diasuh oleh ayahnya sejak kecil untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama dengan baik. Selain itu, beliau juga pernah menuntut ilmu sehingga ke Mesir dan Mekah.
            Oleh kerana mempunyai pelbagai kemahiran terutama dalam bidang agama, Raja Ali Haji pernah menjawat beberapa jawatan penting diantaranya ialah memegang jawatan penting dalam kerajaan Riau-Johor, menjadi guru agama yang mengajar tatabahasa, fiqah dan tasawuf serta mengajar bahasa Arab.
            Sepanjang hayatnya, beliau juga banyak memberikan sumbangan kepada kemajuan dan keilmuan terhadap masyarakat sezamannya. Hal ini kerana Raja Ali Haji sememangnya seorang penulis yang berbakat pada zamannya. Oleh itu kebanyakan sumbangan beliau meliputi dalam bidang bahasa, kesusasteraan, sejarah dan agama. Maka tidak hairanlah kebanyakan bahan penulisan beliau telah menjadi bahan kajian para sarjana sehingga kini.
            Diantara hasil karya beliau dalam bidang bahasa ialah Bustanul Katibin pada tahun 1850M dan Kitab Pengetahuan Bahasa pada tahun 1858M. Bidang sastera pula menampilkan karya seperti Gurindam Dua Belas, Syair Siti Sianah, Syair Abdul Muluk dan Syair Taman Permata. Karya dalam bidang sejarah pula ialah Kitab Salasilah Melayu dan Bugis pada tahun 1860M dan Tuhfat Al-Nafis pada tahun 1865M. Manakala yang seterusnya karya beliau dalam bidang undang-undang pula ialah Thamarat al Muhamed dan Mukaddimah fi Intizam al-Wazir al-Malik. 

0 comments:

Post a Comment