SYEIKH HAMZAH AL-FANSURI
Sasterawan Sufi Agung
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
SYEIKH Hamzah al-Fansuri telah banyak dibicarakan orang, namun tidak dapat
dinafikan perkara-perkara baru sentiasa ditemui oleh para peneliti. Pada
mukadimah ini saya nyatakan bahawa tanpa diketahui siapakah yang pertama
mengkhayal rupa tokoh agung sufi Nusantara itu, sehingga ditemui gambar
imaginasi beliau.
Gambar Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat dipastikan sebagai gambar imaginasi,
kerana pada zaman beliau memang belum ada kamera. Sebenarnya ia berlaku bukan
pada Syeikh Hamzah al-Fansuri saja, tetapi juga terjadi pada ulama-ulama
lainnya, termasuk Imam al-Ghazali, Syeikh 'Abdul Qadir al-Jilani, Syeikh
Nuruddin ar-Raniri, Wali Sembilan dan lain-lain. Sungguh pun dipastikan gambar
Syeikh Hamzah al-Fansuri adalah gambar imaginasi, namun dalam artikel ini
disiarkan juga, dan ia merupakan pertama kali disiarkan dalam media cetak
secara meluas.
Hampir semua pengkaji yang mem bicarakan tokoh ulama ini pada zaman moden,
selalu merujuk kepada karya-karya Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas. Barangkali
dunia memang mengakui bahawa beliaulah orang yang paling banyak memperkenalkan
Syeikh Hamzah al-Fansuri ke peringkat antarabangsa. Walau bagaimanapun apabila
kita membaca keseluruhan karya Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas yang
membicarakan Syeikh Hamzah al-Fansuri, bukanlah bererti kita tidak perlu
mentelaah karya-karya lain lagi, kerana apabila kita mentelaah karya-karya
selainnya, terutama sekali yang masih berupa manuskrip, tentu sedikit sebanyak
kita akan menemukan perkara-perkara baru yang belum dibicarakan. Karya terkini
tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri ialah buku yang diberi judul Tasawuf Yang
Tertindas Kajian Hermeneutik Terhadap Karya-Karya Hamzah Fansuri. Buku setebal
444 halaman itu dikarang oleh Dr. Abdul Hadi W.M. dan terbitan pertama oleh
Penerbit Paramadina, Jakarta, 2001. Sama ada karya-karya Prof. Dr. Syed M.
Naquib al-Attas mahupun karya Dr. Abdul Hadi W.M., sedikit pun tiada menyentuh
gambar Syeikh Hamzah al-Fansuri seperti yang tersebut di atas.
Asal-usul dan pendidikan
Prof. A. Hasymi pada penyelidikannya yang lebih awal bertentangan dengan hasil
penyelidikannya yang terakhir. Penyelidikan awal, ayah Syeikh Hamzah al-Fansuri
nampaknya tidak ada hubungan adik beradik dengan ayah Syeikh Abdur Rauf
al-Fansuri. Penyelidikan terakhir beliau mengatakan bahawa Syeikh Hamzah
al-Fansuri itu adalah adik beradik dengan Syeikh Ali al-Fansuri. Syeikh Ali
al-Fansuri adalah ayah kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri. Penyelidikan awal
yang saya maksudkan ialah yang ditulis oleh Prof. A. Hasymi dalam Ruba'i Hamzah
Fansuri yang dapat diambil pengertian daripada kalimatnya, "Ayah Hamzah
pindah dari Fansur (Singkel) ke Barus untuk mengajar, kerana beliau juga seorang
ulama besar, seperti halnya ayah Syeikh Abdur Rauf Fansuri yang juga ulama,
sama-sama berasal dari Fansur (Singkel)" (terbitan DBP, 1976, hlm. 11).
Mengenai penyelidikan Prof. A. Hasymi yang menyebut Syeikh Hamzah al-Fansuri
saudara Syeikh Ali al-Fansuri atau Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri adalah
anak saudara kepada Syeikh Hamzah al-Fansuri, dapat dirujuk kepada kata
pengantar buku Hamzah Fansuri Penyair Sufi Aceh karya Abdul Hadi W.M. Dan L. K.
Ara, diterbitkan oleh Penerbit Lotkala, tanpa menyebut tempat dan tarikh.
Walaupun Prof. A. Hasymi belum memberikan suatu pernyataan tegas bahawa beliau
memansukhkan tulisannya yang disebut dalam Ruba'i Hamzah Fansuri, namun kita
terpaksa memakai penyelidikan terakhir seperti yang telah dijelaskan di atas.
Dr. Azyumardi Azra dalam bukunya, Jaringan Ulama mengatakan bahawa beliau tidak
yakin bahawa Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu benar-benar keponakan
(anak saudara) Syeikh Hamzah al-Fansuri. "Sebab, menurutnya, tidak ada
sumber lain yang mendukung hal itu." Bagi saya ia masih boleh dibicarakan
dan perlu penelitian yang lebih sempurna dan berkesinambungan. Sebab yang
dinamakan sumber pendukung sesuatu pendapat, bukan hanya berdasarkan tulisan
tetapi termasuklah cerita yang mutawatir. Kemungkinan Prof. A. Hasymi yang
berasal dari Aceh itu lebih banyak mendapatkan cerita yang mutawatir berbanding
penelitian barat yang banyak disebut oleh Azra. Diterima atau tidak oleh
pengkaji selain beliau, terpulanglah ijtihad masing-masing orang yang
berkenaan.
Dalam buku Hamzah Fansuri Penyair Aceh, Prof. A. Hasymi menyebut bahawa Syeikh
Hamzah Fansuri hidup sampai akhir pemerintahan Sultan Iskandar Muda ternyata
juga ada perubahan daripada tulisan beliau yang termaktub dalam Ruba'i Hamzah
Fansuri‚ selengkapnya, "Hanya yang sudah pasti, bahawa beliau hidup dalam
masa pemerintahan Sultan Alaidin Riayat Syah IV Saiyidil Mukammil (997-1011
H-1589-1604 M) sampai ke permulaan pemerintahan Sultan Iskandar Muda Darma
Wangsa Mahkota Alam (1016-1045 H-1607-1636 M)." Yang dimaksudkan dengan
"ternyata juga ada perubahan", ialah pada kalimat, " sampai ke
permulaan pemerintahan Sultan Iskandar Muda," menjadi kalimat "akhir
pemerintahan Sultan Iskandar Muda."
Tarikh lahir Syeikh Hamzah al-Fansuri secara tepat belum dapat dipastikan,
adapun tempat kelahirannya ada yang menyebut Barus atau Fansur. Disebut lebih
terperinci oleh Prof. A.
Hasymi bahawa Fansur itu satu kampung yang terletak antara Kota Singkel dengan
Gosong Telaga (Aceh Selatan). Dalam zaman Kerajaan Aceh Darussalam, kampung
Fansur itu terkenal sebagai pusat pendidikan Islam di bahagian Aceh Selatan.
Pendapat lain menyebut bahawa beliau dilahirkan di Syahrun Nawi atau Ayuthia di
Siam dan berhijrah serta menetap di Barus.
Drs. Abdur Rahman al-Ahmadi dalam kertas kerjanya menyebut bahawa ayah Syeikh
Hamzah al-Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh bersama Wan Ismail dan Po Rome
atau Po Ibrahim (1637- 1687 M) meninggal dunia dalam pertempuran melawan orang
Yuwun (Annam) di Phanrang. Bahawa Syeikh Ismail Aceh itu pernah menjadi gabenor
di Kota Sri Banoi menggantikan Gabenor Wan Ismail asal Patani yang melepaskan
jabatan itu kerana usianya yang lanjut. Drs. Abdur Rahman Al-Ahmadi berpendapat
baru, dengan menambah Syahrun Nawi itu di Sri Banoi Sri Vini, selain yang telah
disebutkan oleh ramai penulis bahawa Syahrun Nawi adalah di Siam atau Aceh.
Dalam Patani, iaitu antara perjalanan dari Patani ke Senggora memang terdapat
satu kampung yang dinamakan Nawi, berkemungkinan dari kampung itulah yang
dimaksudkan seperti yang termaktub dalam syair Syeikh Hamzah al-Fansuri yang
menyebut nama Syahrun Nawi itu. Kampung Nawi di Patani itu barangkali nama
asalnya memang Syahrun Nawi, lalu telah diubah oleh Siam hingga bernama Nawi
saja. Syahrun Nawi adalah di Patani masih boleh diambil kira, kerana pada zaman
dulu Patani dan sekitarnya adalah suatu kawasan yang memang ramai ulamanya.
Saya telah sampai ke kampung tersebut (1992), berkali-kali kerana mencari
manuskrip lama. Beberapa buah manuskrip memang saya peroleh di kampung itu.
Lagi pula antara Aceh dan Patani sejak lama memang ada hubungan yang erat
sekali. Walau bagaimanapun Prof. A. Hasymi menyebut bahawa Syahrun Nawi itu
adalah nama dari Aceh sebagai peringatan bagi seorang Pangeran dari Siam yang
datang ke Aceh pada masa silam yang bernama Syahir Nuwi, yang membangun Aceh
pada zaman sebelum Islam.
Daripada berbagai-bagai sumber disebutkan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri telah
belajar berbagai-bagai ilmu yang memakan masa lama. Selain belajar di Aceh
sendiri beliau telah mengembara ke pelbagai tempat, di antaranya ke Banten
(Jawa Barat), bahkan sumber yang lain menyebut bahawa beliau pernah mengembara
keseluruh tanah Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi dan Arab.
Dikatakan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat mahir dalam ilmu-ilmu fikah,
tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan lain-lain. Dalam
bidang bahasa pula beliau menguasai dengan kemas seluruh sektor ilmu Arabiyah,
fasih dalam ucapan bahasa itu, berkebolehan berbahasa Urdu, Parsi, Melayu dan
Jawa.
Karya-keryanya
Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat digolongkan kepada peringkat awal dalam
menghasilkan karya puisi/sastera dalam bahasa Melayu, sangat menonjol terutama
sekali dalam sektor sufi. Lebih terserlah lagi kemasyhurannya kerana terjadi
kontroversi yang dilemparkan oleh orang-orang yang tidak sependapat dengannya
yang dimulai dengan karya-karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, berlanjutan terus
hingga sampai ke hari ini karya-karya Syeikh Hamzah al-Fansuri selalu
dibicarakan dalam forum-forum ilmiah. Di bawah ini saya cuba menyenaraikan
karya beliau yang telah diketahui, iaitu: 1). Syarb al- 'Asyiqin atau Zinatul
Muwahhidin. 2). Asrar al-'Arifin fi Bayan 'Ilm as-Suluk wa at-Tauhid. 3).
Al-Muntahi. 4). Ruba'i Hamzah Fansuri. 5). Kasyf Sirri Tajalli ash-Shibyan. 6).
Kitab fi Bayani Ma'rifah. 7). Syair Si Burung Pingai. 8). Syair Si Burung
Pungguk. 9). Syair Sidang Faqir. 10). Syair Dagang. 11). Syair Perahu. 12).
Syair Ikan Tongkol. Keterangan lengkap mengenai data karya Syeikh Hamzah
al-Fansuri dapat dirujuk dalam buku yang saya susun berjudul Al-Ma'rifah
Pelbagai Aspek Tasawuf Nusantara, jilid 1. Senarai yang tersebut di atas
merupakan maklumat yang terlengkap buat sementara dan akan ditambah lagi jika
terdapat maklumat baru yang belum termuat dalam senarai di atas.
Mengakhiri artikel ini di sini perlu dijelaskan bahawa makam Syeikh Hamzah
al-Fansuri telah ditemui sebagaimana ditulis oleh Dada Meuraxa: "Di satu
kampung yang bernama Obor terletak di hulu Sungai Singkil, terdapat makam ulama
dan pujangga Hamzah Fansuri. Makam itu bertulis: Inilah makam Hamzah Fansuri
mursit Syeikh Abdurrauf = Hamzah Fansuri guru Syeikh Abdur Rauf."
Mengenai tahun wafat Syeikh Hamzah al-Fansuri secara tepat selama ini tidak
pernah disebut. Tetapi Azra dalam Jaringan Ulama menyebut bahawa ulama sufi itu
wafat pada tahun 1016 H/1607 M. Disebutkan tahunnya itu disekalikannya
membantah bahawa Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri (Al-Sinkili, menurut istilahnya)
"tidak mungkin bertemu dengan ulama sufi itu", menurutnya
"Al-Sinkili bahkan belum lahir".
Seolah-olah Azra menolak mentah-mentah tahun kelahiran Syeikh Abdur Rauf
al-Fansuri yang disebut oleh A. Hasymi tahun 1001 H/1592 M itu, kemungkinan dia
berpegang pada tahun kelahiran 1024 H/1615 M, atau pendapat lain 1620 M,
sedangkan tahun kewafatan Syeikh Hamzah al-Fansuri yang disebutnya 1016 H/1607
M itu belum juga tentu betul. Wallahu a'lam.
Penutup
Gambar imaginasi Syeikh Hamzah al-Fansuri yang saya sebut pada mukadimah, walau
pun saya sendiri lebih mengutamakan sesuatu yang asli, namun terpaksa disiarkan
juga. Pada zaman kita selain orang yang suka kepada keaslian, sebaliknya sangat
ramai yang suka kepada sesuatu yang bercorak tiruan.
Bunga tiruan lebih mendapat pasaran daripada bunga yang asli. Ramai yang
menyanggah ilmu yang bercorak rohani, kerana terpengaruh dengan persekitaran
yang bercorak fantasi. Pembangunan fizikal lebih meluas dibicarakan berbanding
pembinaan iman dan makrifat.
1 comments:
apa yang saudari faham tentang hamzah fansuri. apakah saudari dapat memahami tujuan dan pencarian hamzah fansuri disebalik syair perahu ... si ikan tonggol dan sebagainya.
Post a Comment