CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, 20 May 2013

FALSAFAH BERSUMBERKAN ISLAM


FALSAFAH BERSUMBERKAN ISLAM

Khazanah persuratan Melayu kaya dengan karya ilmu dalam pelbagai bidang. Dalam zaman klasik, ilmu yang paling menonjol ialah ilmu agama Islam. Hal ini dapat difahami kerana apabila permulaan Islam diperkenalkan kepada umat Melayu, diperlukan pengembangan ajaran Islam dalam segala sudut yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat bangsa Melayu, selaras dengan kesepaduan yang ditekankan oleh Islam, iaitu hubungan dengan Tuhan (hablum min Allah) dan hubungan dengan sesama manusia dan bahkan makhluk lain (hablum min al-nas). Oleh itu, terhasillah beberapa banyak karya persuratan dalam bidang ilmu keagamaan.

Secara kasar, ilmu keagamaan yang dikembangkan dalam penulisan para ulama’ terbahagi kepada:

1. Ilmu kalam atau tauhid atau akidah.
2. Ilmu feqah atau ibadat seperti solat, puasa, zakat, haji.
3. Ilmu kekeluargaan (munakahat).
4. Ilmu hubungan ekonomi dan sosial (muamalat).
5. Ilmu undang-undang dan pengadilan (jinayat).
6. Ilmu tasawuf atau akhlak.

Ilmu lain yang turut digarap ialah sirah atau sejarah, qiraat atau pembacaan al-Quran dan hadith.

Sebagai contoh penerapan falsafah dan logika Melayu yang berteraskan Islam, dalam bab ini dibincangkan sebuah karya ilmu agama Islam yang mewakili karya persuratan ilmu dalam tamadun Melayu. Karya itu ialah Al-`Aqaid al-Nasafi, iaitu terjemahan kitab yang menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Atta ditulis oleh seorang ulama’ di Aceh Darussalam ketika pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah IV (1589-1604M.).

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang mengkaji kitab tersebut menegaskan bahawa karya itu merupakan manuskrip tertua yang terhasil dalam tamadun Melayu. Kitab itu bertarikh 1590 dan lebih tua daripada manuskrip lain yang tidak bersifat karya keagamaan, seperti Hikayat Seri Rama (1633). Beliau menyusun teks tersebut kepada 23 perenggan.

Prof. Dr. Wan Muhammad Nor Wan Daud (2005) meringkaskan kandungan karya yang dikupas oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib itu sebagai yang berikut:

Perenggan 2-4 membicarakan kemungkinan atau keupayaan manusia mencapai ilmu tentang hakikat segala perkara dan penolakan akan golongan peragu dan penisbi (golongan Sufastai`yyah/Sofis). Salah satu asas epistemoloi (teori ilmu) Islam yang penting, iaitu sumber ilmu yang bersepadu turut dibincangkan. Sumber ilmu menurut perspektif Islam bersepadu antara sumber pancaindera, akal dan khabar yang benar turut dibincangkan.

Perenggan 5 menghuraikan sifat segala alam makhluk yang senantiasa baharu, berlawanan dengan sifat Tuhan yang tidak baharu. Perenggan 6-9 membicarakan keesaan Tuhan dan sifat-sifat-Nya, iaitu aspek yang menjadi teras pandangan sarwa atau pandangan hidup bangsa Melayu Islam.

Perenggan 10 membicarakan kemungkinan “melihat Tuhan” di akhirat kelak, dengan paduan antara hujah naqal (nas al-Qur`an dan hadith) dengan hujah akal. Perenggan 11-12 membicarakan peranan Tuhan yang maha meliputi segala tindak-tanduk manusia dan juga kebebasan manusia untuk berikhtiar.

Perenggan 13 menghuraikan eskatalogi, iaitu hakikat alam kubur, balasan di akhirat, syurga dan neraka. Selanjutnya perenggan 14 menghuraikan rahmat Tuhan yang sedia mengampuni makhluknya asalkan mereka tidak menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Perenggan 15 menegaskan hakikat iman, Islam dan kebahagiaan. Ditekankan pentingnya kesepaduan antara iman dengan Islam. Perenggan 16 pula menghuraikan aspek kenabian dan mukjizat serta peranan para nabi. Seterusnya, perenggan 17 menghuraikan perihal malaikat, sementara perenggan 18 menghuraikan peristiwa Isra` dan Mikraj serta karamah dalam kalangan para wali Allah.

Perenggan 19 membicarakan para sahabat Nabi dan khilafat atau pemerintah. Sementara itu, perenggan 20 menjelaskan keharusan solat di belakang orang yang salih dan fasiq, kewajiban bersangka baik kepada sahabat Nabi dan perihal sepuluh orang sahabat Nabi yang dijamin masuk ke syurga.

Perenggan 21 menegaskan maqam para wali yang tidak sampai ke peringkat nabi, penolakan ajaran batiniah dan perkara yang mengkufurkan seseorang seperti mempersendakan syariat. Perenggan 22 pula menghuraikan tanda-tanda kiamat. Akhirnya, perenggan 23 menegaskan keterbukaan dalam bermazhab dengan penekanan bahawa imam mujtahid (Syafii, Hanafi, Malik dan Hanbal) berkemungkinan silap dalam hal tertentu. Dalam perenggan akhir ini ditegaskan juga bahawa taraf manusia yang mukmin lebih tinggi daripada taraf malaikat.




UNSUR-UNSUR ISLAM DALAM SULALATUS-SALATIN

Dalam hikayat Sulalatus Salatin terdapat banyak unsur-unsur yang dimasukkan oleh pengarang. Hal inilah termasuklah gaya penulisan yang digunakan, kedatangan Islam, iaitu di Samudera dan Melaka, penonjolan tokoh-tokoh dan ulama-ulama Islam, adat istiadat dan perundangan, karya-karya kesusasteraan Islam dan corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Penjelasan lanjut mengenai unsur-unsur Islam dalam Sulalatus Salatin dijelaskan di bawah.

Teknik Penulisan

Antara unsur Islam yang terdapat dalam Sulalatus-Salatin ialah teknik penulisannya. Mukadimah Sulalatus Salatin dimulai dengan Bismillahirrahmanirrahim. Dalam mukadimah ini disertakan ayat-ayat al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu. 
           Struktur penulisan seperti ini adalah teknik yang biasa dalam karya-karya Arab-Parsi. Pada tiap-tiap akhir cerita, pengarang menutupnya dengan ayat “Wa’llahu a’lamu bi’s-sawab, wa illaihi’Imarji’u wa’ I-ma’ab.

         Selain itu, kalimat-kalimat Arab-Parsi digunakan dalam ayat, antaranya Syahbandar, alam, bahari, sahibul hikayat dan lain-lain. Jelaslah, gaya penulisan dalam hikayat ini banyak mengandungi unsur-unsur Islam seperti yang telah ditunjukkan di atas.

Kedatangan Islam
Dalam Sulalatus Salatin ada menceritakan mengenai kedatangan Islam di Samudera dan Melaka. Hal ini memperlihat unsur-unsur Islam dalam Sulalatus Salatin.

   Kedatangan Islam di Samudera
Negeri Samudera telah disebut-sebut oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam (S.A.W) kepada sahabat-sahabat baginda kerana akan lahir ramai wali dalam negeri tersebut.

Kedatangan Islam di Melaka

Peristiwa kedatangan Islam di Melaka digambarkan oleh pengarang melalui peristiwa Raja Tengah telah diislamkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui mimpi. Dalam mimpi tersebut dikatakan bahawa Raja Tengah telah diajar mengucap dua kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. 

Penonjolan Tokoh-tokoh dan Ulama-ulama Islam
Antara tokoh Islam yang ditonjolkan dalam Sulalatus Salatin ialah Iskandar Zulkarnian yang merupakan tokoh pahlawan Islam yang terkenal gagah dan berani dalam menaikkan martabat Islam di dunia. Kehebatan Raja Iskandar Zulkarnain dilukis melalui kegagahan dan keberanian baginda menakluk negeri Kida Hindi lalu baginda mengislamkan pemerintah dan rakyat di negeri tersebut. 
        
Adat Istiadat dan Perundangan

Peraturan dan protokal sangat penting dalam kehidupan di istana terutama dalam majlis penghadapan di Balairung Seri, dalam acara nobat dan menjunjung duli dan semasa menyambut kedatangan utusan dari Negara luar dan semasa raja mahu berangkat ke mana-mana. Hal ini termasuklah ketika raja mahu ke masjid pada hari Jumaat, pada bulan Ramadan untuk bertarawih di masjid dan juga sembahyang hari raya. Semua peraturan ini adalah untuk menjaga keselamatan raja dan mengagungkan raja berkenaan. Dalam Sulalatus Salatin juga ada digarapkan unsur-unsur Islam dalam adat istiadat dan perundangan yang diamalkan  kerajaan Melaka. 

Karya-karya Kesusasteraan Islam

Unsur Islam dalam Sulalatus Salatin juga ketara melalui penyebutan tentang kewujudan karya-karya Kesusasteraan Islam di Melaka, contohnya Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah. Hikayat-hikayat ini dibaca oleh panglima-panglima Melaka untuk menaikkan semangat keperwiraan menentang musuh seperti Feringgi.

Corak Pendidikan dan Perkembangan Ilmu Keislaman

Sulalatus Salatin juga menyentuh tentang corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Istana digambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Pasai pula dikatakan menjadi pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah mengikut mazhab Shafie. Istana juga dijadikan pusat pengajaran Islam dengan sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut ilmu. Ulama-ulama, guru-guru agama dan pendakwah semuanya berkumpul di istana. Sebagai contoh, Maulana Sadar Jahan dari Jeddah mengajar di Melaka dan Maulana Yusuf mengajar tasawuf. Kitab-kitab agama seperti Kitab Duri’l-Mazlum dibawa ke Melaka oleh Maulana Abu Bakar dan diajar di istana Melaka. Sultan Mansur Syah turut belajar kitab ini. Diceritakan juga tentang utusan dari Melaka ke Pasai untuk menyelesaikan masalah-masalah berkaitan ilmu Islam kerana di Pasai ramai ulama-ulama berkumpul bermuzakarah tentang ilmu-ilmu keislaman. 
                

0 comments:

Post a Comment