RAJA ALI HAJI PUJANGGA
MELAYU TERMASYHUR
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
MENGENAI Raja Ali Haji sudah cukup banyak
ditulis. Tulisan ulama ini yang dimuatkan dalam artikel ini merupakan petikan
dan penambahan saja dari buku penulis yang berjudul Perkembangan Fiqh dan
Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1. Penulis memulakan kisah ulama ini
dengan kalimat berikut, Ulama yang bermazhab Syafie (pengikut
akidah Ahli Sunah wal Jamaah Imam Abul Hasan al-Asyari dan pengamal Tarekat Naqsyabandiyah dalam sufiah,
yang berasal dari Riau ini) lain pula kepopularannya.
Beliau lebih banyak
mengarang di bidang ilmiah-ilmiah lain dari pengetahuan fiqh dan hukum-hukum
keislaman, sehingga namanya sangat terkenal dalam bidang bahasa dan
kesusasteraan Indonesia dan Malaysia. Karangan mengenai
bahasa Melayu menyerlahkan namanya menjadi tersohor bagi dalam masyarakat
Melayu sendiri mahu pun pengkaji-pengkaji bahasa dari kalangan kaum penjajah
terutama sarjana yang berasal dari Belanda.
Nama lengkap beliau ialah Tengku Haji Ali
al-Haj bin Tengku Haji Ahmad bin Raja Haji Asy-Syahidu fi Sabillah bin Upu
Daeng Celak, yang lebih masyhur dengan sebutan Raja Ali Haji saja.
Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat
Indera Sakti yang ketika itu menjadi pusat pemerintahan Riau-Lingga-Johor dan
Pahang. Raja Ali Haji dilahirkan oleh ibunya, Hamidah binti Panglima Malik,
Selangor, tahun lahirnya tercatat pada 1809. Raja Ali Haji mempunyai beberapa
orang saudara, semuanya ada 16 orang. Mereka ialah:
* Raja Abdul Majid * Raja Abdul Wadud
* Raja Haji Umar/Tengku Endut * Raja Haji
Ali
* Raja Abdullah (Amir Karimun) * Raja
Usman
* Raja Abdul Hamid * Raja Muhammad Said
* Raja Kecik * Raja Shaliha
* Raja Fatimah * Raja Aisyah
* Raja Shafiyah * Raja Maimunah
* Raja Hawi * Raja Maryam
Beberapa orang adik-beradik Raja Ali Haji
yang tersebut di atas, mahupun keturunan-keturunan mereka yang berperanan dalam
masyarakat Melayu akan diceritakan lebih lanjut dalam siri-siri yang
berikutnya.
Sambungan petikan daripada karangan
penulis sendiri dalam buku, Perkembangan Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia
Tenggara, jilid 1, Kira-kira tahun 1822 sewaktu ia masih
kecil, ia pernah dibawa oleh orang tuanya ke Betawi/Jakarta. Ketika itu orang
tuanya, Raja Haji Ahmad, menjadi utusan Riau untuk menjumpai Gabenor Jeneral
Baron van der Capellen. Berulang-ulang kali Raja Haji Ahmad menjadi utusan
(kerajaan Riau) ke Jawa itu, waktu yang berguna itu telah dimanfaatkan oleh
puteranya Raja Ali untuk menemui banyak ulama, untuk memperdalam pengetahuan
Islamnya, terutama ilmu fiqh. (Di antara ulama Betawi yang sering dikunjunginya
ialah Saiyid Abdur Rahman al-Mashri. Kepada ulama ini Raja Ali Haji sempat
belajar Ilmu Falak).
Selain dapat memperdalam ilmu keislaman,
Raja Ali Haji juga banyak mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil pergaulan
dengan sarjana-sarjana kebudayaan Belanda seperti T. Roode dan Van Der Waal
yang kemudian menjadi sahabatnya. Kira-kira tahun 1827/1243H Raja Ahmad pergi
ke Mekah al-Musyarrafah, puteranya Raja Ali Haji ikut serta.
Raja Ahmad dan Raja Ali Hajilah di antara
anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji itu. Raja Ali Haji tinggal
dan belajar di Mekah untuk suatu masa yang agak lama. Semasa di Mekah Raja Ali
Haji sempat bergaul dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam beberapa
bidang keislaman dan ilmu bahasa Arab Raja Ali Haji sempat belajar dengan
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang ketika itu adalah sebagai seorang
besar (sebagai Ketua Syeikh Haji dan sangat berpengaruh) di kalangan masyarakat
Melayu di Mekah.
Ia bersahabat dengan salah seorang anak
Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari iaitu Syeikh Syihabuddin bin
Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Barangkali ketika itu pulalah
Raja Ali Haji sempat mempelawa ulama yang berasal dari Banjar itu supaya
bersedia pergi ke Riau, menurut rencananya jika mendapat persetujuan akan
dijadikan Mufti di kerajaan Riau. Dalam perjalanannya ke Mekah itu, Raja Haji
Ahmad dan puteranya Raja Ali Haji pula mengambil kesempatan berkunjung ke
Kaherah (Mesir), setelah itu kembali ke negerinya Pulau Penyengat, Riau.
Di kerajaan Riau-Johor pada zaman dulu
memang ramai ulama pendatang di antaranya Habib Syaikh keturuan as-Saqaf,
Syeikh Ahmad Jabarti, Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minkabawi, Syeikh Abdul
Ghafur bin Abbas al-Manduri dan ramai lagi. Apatah lagi saudara sepupu Raja Ali
Haji yang bernama Raja Ali bin Raja Jafar menjadi Yamtuan Muda
Kerajaan Riau VIII (tahun 1845-1857) menggantikan saudaranya Raja Abdur Rahman
bin Raja Haji Yamtuan Muda Kerajaan Riau VII (taun 1833-1845). Apabila Raja Ali
Haji pulang dari Mekah beliau disuruh oleh saudara sepupunya itu mengajar agama
Islam, (Raja Ali bin Raja Jafar juga ikut belajar
kepada Raja Ali Haji).
Agak lama juga Raja Ali Haji terjun ke
dunia pendidikan. Dikatakan bahawa beliau telah mengajar Ilmu Nahu, Ilmu
Sharaf, Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqh, Ilmu Tasauf dan lain-lain. Raja Ali Haji
memang berkemampuan tentang berbagai-bagai ilmu pengetahuan Islam, bahkan
beliau memang seorang ulama besar pada zamannya.
Ramai murid Raja Ali Haji yang menjadi
tokoh terkemuka sesudahnya, di antaranya Raja Haji Abdullah yang kemudian menjadi
Yamtuan Muda Riau IX, tahun 1857-1858, Saiyid Syaikh bin Ahmad al-Hadi.
Dalam ilmu syariat, Raja Ali Haji
berpegang teguh dengan Mazhab Syafie, dalam iktikad berpegang akan faham Syeikh
Abul Hasan al-Asyari dan Abu Manshur al-Maturidi, sedang
dalam amalan tasauf beliau adalah seorang penganut Tarekat Naqsyabandiyah dan
mengamalkan Selawat Dalail al-Khairat yang dibangsakan kepada Saiyid Sulaiman
al-Jazuli, yang diamalkan secara beruntun sejak datuk-datuknya terutama Raja
Haji as-Syahidu fi Sabilillah yang ketika akan meninggalnya masih tetap
memegang kitab selawat tersebut di tangannya, sementara pedang terhunus di
tangannya yang satu lagi.
Sambungan petikan Perkembangan Fiqh dan
Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1, Nama kerajaan
Riau-Lingga-Johor dan Pahang bertambah masyhur dengan kemunculan Raja Ali Haji
dengan pelbagai karangannya yang bercorak sejarah yang banyak dibicarakan oleh
ahli bahasa dan sastera di Nusantara (Indonesia dan Malaysia), bahkan menjadi
perhatian yang serius oleh orientalis Barat.
Riau dikatakan sebagai pusat kebudayaan
Melayu dan pusat perkembangan ilmu pengetahuan keislaman yang tiada tolok
bandingnya di kala itu. Raja Ali Haji sebagai tokoh sejarah, ahli
bahasa/sastera Melayu dan yang terkenal dengan Gurindam Dua Belasnya banyak dibicarakan orang. Akan tetapi belum begitu
popular bahawa beliau adalah seorang ulama besar Islam (dunia Melayu). Tentang
penulisan Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasauf Raja Ali Haji bukanlah seorang penulis
yang produktif seperti gurunya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Walau bagaimanapun diakui ada karya Raja
Ali Haji ke arah itu di antaranya Jauharatul Maknunah.
Syair Sultan Abdul Muluk pernah
diterbitkan oleh Roorda van Eysinga dalam Tijdshrift voor Nederlandsch-India,
IX, 4, 1847M, dan diterbitkan di Batavia 1958 M.
Sambungan petikan Perkembangan Fiqh dan
Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1, Tentang karya-karya Raja
Ali Haji yang tersebut di atas, penjelasan satu persatu adalah sebagai yang
berikut, Gurindam Dua Belas banyak dibicarakan dalam pelajaran sastera. Drs.
Zuber Usman dalam bukunya, Kesusasteraan Lama Indonesia, beliau menyalin
beberapa untaian gurindam itu. Di antara gurindam fasal kesebelasnya.
Dinamakan Gurindam Dua Belas ialah kerana
terdiri dari dua belas fasal. Yang terkandung dalam Gurindam Dua Belas ialah
perkara yang menyangkut ibadat individu, kewajipan-kewajipan para raja dan
sifat-sifat masyarakat, kewajipan orang tua kepada anak dan sebaliknya
kewajipan anak kepada orang tua, dan lain-lain.
Sutan Takdir Ali Syahbana memuat Gurindam
Dua Belas dalam bukunya Puisi Lama, tahun 1969 diterbitkan lagi dengan suatu
pembicaraan Drs.Shaleh Saidi tentang gurindam itu. Penerbitannya diusahakan
oleh Direktorat Bahasa dan Kesusasteraan, Singaraja. Gurindam Dua Belas pernah
dikumpulkan oleh Elisa Netscher dan diajarkan dalam Tijdshrift voor Indische
Taal, Land en Volkenkunde No. 2, tahun 1853 dengan judul De Twaalf
Spreukgedichten.
Bustanul Katibin, ditulis tahun
1267H/1850M, diterbitkan dengan huruf batu (litografi) di Pulau Penyengat Riau.
Kandungannya membicarakan penulisan bahasa Melayu, tatabahasa Melayu yang
disesuaikan dengan tatabahasa (nahu dan sharaf) dalam bahasa Arab. Bustanul
Katibin terdiri dari 31 pasal, tebalnya hanya 70 halaman.
Kitab Pengetahuan Bahasa, ditulis tahun 1275
H/1858M, menggunakan nama pengarang pada halaman depan cetakan Al-Alim Al-Fadhil Al-Marhum Raja Ali Haji ibni Al-Marhum
Raja Haji Ahmad ibni Al-Marhum Yang Di Pertuan Muda Raja Haji Asy-Syahid fi
Sabilillah Taala ... , terbitan pertama, penggal yang pertama
Matbaah Al-Ahmadiah, 82, Jalan Sultan,
Singapura, 10 Rejab 1348 H/11 Disember 1929.
Terbitan kedua telah penulis atau Khazanah
Fathaniyah, Kuala Lumpur, usahakan tahun 1417 H/1996 dengan lampiran Sejarah
Ringkas Matbaah Al-Ahmadiah Singapura dan Raja Haji
Umar bin Raja Hasan (Cucu Raja Ali Haji)]. Kitab tersebut adalah kamus bahasa
Melayu yang lebih menekankan loghat Melayu Johor, Pahang dan Riau-Lingga.
Cetakan pertama setebal 466 halaman, cetakan kedua 483 halaman dengan
pendahuluan setebal 32 halaman.
Kitab ini tidak sempat selesai, hanya
sampai pada huruf (Ca) saja.
Tsamratul Muhimmah, judul lengkap
Tsamratul Muhimmah Dhiyafatu lil Umara wal Kubara li Ahlil Mahkamah. Diselesaikan pada hari Selasa,
pukul 2, pada 10 Syaaban 1275H/1858M. Tempat diterbitkan ada dinyatakan pada
halaman depan Office Cap Gubernement Lingga, 1304 H. Di halaman belakang
dinyatakan Tercap di Lingga An Street Printing
Office, Muharam 1304H/1886M. Diterbitkan lagi oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala
Lumpur, 1420H/1999M (cetakan yang kedua), nombor siri 28 dengan ukuran 20.4 x
13.5 cm, setebal 79 halaman. Kitab tersebut adalah pedoman untuk raja-raja,
hakim, menteri serta pembesar-pembesar lain dalam sesuatu kerajaan atau
pemerintahan.
Salasilah Melayu dan Bugis (No. 6),
ditulis pada 15 Rabiulakhir 1282H/1865M. Naskhah asalnya adalah dari Saiyid
Syarif Abdur Rahman bin Saiyid Qasim, Sultan Pontianak, bin Syarif Abdur Rahman
al-Qadri, bahawa naskhah itu telah ditulis oleh Haji Abdullah anak Khairuddin
peranakan Juanah pada tahun 1282H atau 1865M.
Diterbitkan buat pertama kalinya (Matbaah Al-Imam), Singapura, tahun 1329H/1911 M, kemudian
diterjemahkan ke bahasa Inggeris tahun 1926 dan dimuat dalam JMBRAS. Pada 1956
diterbitkan di Johor atas perintah Mayor Jenderal Sir Sultan Ibrahim, Sultan
Johor ketika itu, dicetak di Pejabat Cetak Kerajaan Johor oleh Markum bin Haji
Muhammad Said. Kitab Salasilah Melayu dan Bugis yang
ditulis dengan huruf Melayu/Jawi atau huruf Arab dalam bahasa Melayu/Indonesia
itu pernah dirumi/latinkan oleh Sasterawan Negara, Arena Wati tahun 1972,
diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur (Malaysia) dalam tahun 1973.
Kandungan Salasilah Melayu dan Bugis ialah
menceritakan asal usul keturunan Bugis di Luwu Sulawesi, kemudian
kejayaan di dalam pengembaraannya di bahagian Barat Nusantara setelah
menghadapi pelbagai tentangan dan peperangan yang sangat hebat dan secara
berentetan. Mereka dapat berkuasa di Riau, Selangor, Mempawah, dan
tempat-tempat lainnya. Salasilah Melayu dan Bugis adalah sangat penting untuk
menyusun sejarah Riau, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan dan Malaysia.
Menyusul kitab Tuhfatun Nafis ditulis pada
3 Syaaban 1282H/1865M. Kitab Tuhfatun Nafis dapat dikatakan sebagai kelanjutan
dari Salasilah Melayu dan Bugis. Kitab Tuhfatun Nafis adalah yang paling
terkenal daripada semua karangan Raja Ali Haji. Kandungannya dimulakan dengan
menjelaskan sejarah Singapura, Melaka dan Johor yang kemudian dilanjutkan
tentang Riau dikalahkan oleh Belanda. Secara terperinci menguraikan kejadian-kejadian
bersejarah mulai tahun 1677M hingga ke tahun disusunnya kitab itu
(1282H/1865M).
Dipaparkan dengan hebat kisah datuknya
Raja Haji putera Upu Daeng Celak sehingga beliau mangkat menemui syahidnya di
Teluk Ketapan, Melaka. Kitab Tuhfatun Nafis pernah diterbitkan oleh R. O.
Winstedt dalam tahun 1932, dimuat dalam JMBRAS, dalam tahun 1965 oleh Malaysia
Publication di Singapura dengan edisi tulisan Rumi/Latin, dan Tuhfat Al-Nafis
Sejarah Melayu-Islam merupakan transliterasi oleh Virginia Matheson Hooker
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1991.
Bagaimanapun, ada sarjana yang berpendapat
kitab Tuhfatun Nafis bukan karangan Raja Ali Haji tetapi karangan ayahnya Raja
Haji Ahmad yang terkenal itu.
Muqaddimah fi Intizham, judul lengkapnya
ialah Muqaddimah fi Intizhamil Wazhaifil Muluki Khushusan ila Maulana wa
Shahibina wa Akhina Yang Di Pertuan Muda Raja Ali al-Mudabbir lil Biladir
Riyauwiyah wa Sairi Dairatihi, menurut Hasan Junus, ialah sebuah risalah tipis
berisikan tiga buah wazifah untuk dijadikan pegangan oleh seorang pemegang
kendali dan kemudi negeri ketika mengangkat rencana hukum sebelum menjatuhkan
hukuman.
Seterusnya Syair Hukum Nikah atau Syair
Kitab an-Nikah atau Syair Suluh Pegawai. Mengenai judulnya, Abu Hassan Sham
menyebut, Nama syair ini tidak pernah tercatat
sebelum ini, tetapi ini bukan bermakna syair ini tidak disedari oleh
sarjana-sarjana Barat. Mereka mengetahui syair ini dengan nama yang lain iaitu
Syair Hukum Nikah atau Syair Kitab an-Nikah.
Syair Sinar Gemala Mustika Alam, syair ini
pernah diterbitkan oleh Matbaah ar-Riyauwiyah Pulau
Penyengat, tahun 1311H/1893M].
Jauharatul Maknunah, dinamakan juga Siti
Shiyanah Shahibul Futuwah wal Amanah ditulis dalam bentuk syair. Kandungannya
mengenai pelajaran fiqh, atau pelajaran agama Islam, yang digubah dalam bentuk
puisi.
Jauharatul Maknunah diterbitkan oleh Matbaah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, pada 7
Muharam 1342H. Jauharatul Maknunah ditashih oleh Raja Haji Abdullah bin Raja
Haji Hasan Riau, diterbitkan atas usaha Raja Haji Ali bin Raja Haji Muhammad
Riau, Mudir Matbaah Al-Ahmadiah yang ada hubungan keturunan
kekeluargaan dekat dengan pengarangnya, Raja Ali Haji.
KETURUNAN
Putera/puteri Raja Ali Haji ada 17 orang
iaitu:
1. Raja Haji Hasan, 2. Raja Mala, 3. Raja Abdur Rahman, 4. Raja Abdul Majid, 5. Raja
Salamah, 6. Raja Kaltsum, 7. Raja Ibrahim Kerumung, 8. Raja Hamidah, 9. Raja
Engku Awan ibu Raja Kaluk, 10. Raja Khadijah, 11. Raja Mai, 12. Raja Cik, 13.
Raja Muhammad Daeng Menambon, 14. Raja Aminah, 15. Raja Haji Salman Engku Bih,
16. Raja Siah dan 17. Raja Engku Amdah.
Raja Haji Hasan (No. 1) memperoleh 12
orang anak yang terkenal sebagai ulama dan tokoh ialah; 1. Raja Haji Abdullah
Hakim, 2. Raja Khalid Hitam, meninggal dunia di Jepun, 3. Raja Haji Abdul
Muthallib, 4. Raja Mariyah, 5. Raja Manshur, 6. Raja Qamariyah, 7. Raja Haji
Umar, 8. Raja Haji Andi, 9. Raja Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah
dan 12. Raja Amimah.
Senarai karangan Raja Ali Haji yang telah
diketahui adalah seperti yang berikut
* Syair Sultan Abdul Muluk, hari Rabu, 8 Rejab 1262H/1846M
* Gurindam Dua Belas, tahun 1846M
* (Bustanul Katibin lis Shibyanil
Muta'allim), tahun 1267 H/1850M
* Kitab Pengetahuan Bahasa, tahun 1275
H/1858M
* (Tsamaratul Muhimmah), diselesaikan hari
Selasa, pukul 2, pada 10 Syaaban 1275H/1858M
* Salasilah Melayu dan Bugis, 15
Rabiulakhir 1282H/1865M
* (Tuhfatun Nafis), 3 Syaaban 1282 H/1865M
* (Muqaddimah fi Intizham)
* Syair Hukum Nikah atau Syair Kitab
an-Nikah atau Syair Suluh Pegawai
* Syair Sinar Gemala Mustika Alam
* (Jauharatul Maknunah), dinamakan juga
Siti Shiyanah Shahibul Futuwah wal Amanah
- Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd.
Shaghir Abdullah
Artikel Penuh:
0 comments:
Post a Comment