CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday 18 May 2013

KONSEP RETORIK MELAYU KLASIK


Perkataan retorik berasal daripada bahasa Yunani iaitu ‘Rethor’ yang bermaksud pidato. Hal ini merujuk kepada seni penggunaan bahasa dalam pertuturan atau penulisan, iaitu dengan tujuan memujuk, mempengaruhi dan meyakinkan orang. Kebiasaannya, kegunaan seni retorik berkisar dalam karya prosa seperti teks pidato. Retorik juga dikatakan merangkumi seni pemilihan perkataan, susunan ayat dan penggunaan bunga-bunga bahasa (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, 2010:30).

            Menurut Gorys Keraf dalam Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris (2010:1), perkataan retorik diertikan sebagai istilah yang secara tradisional diberikan pada cara pemakaian bahasa sebagai seni didasarkan pada pengetahuan yang tersusun baik. Tokoh retorik klasik seperti Plato pula dalam bukunya, Pheadrus berpendapat, retorik merupakan wacana yang rasional dan diletakkan sebagai seni yang digunakan secara meluas dalam aktiviti pidato yang merupakan satu-satunya saluran penyampaian idea, fikiran dan maklumat. Aristotle pula melihat retorik sebagai seni pemujukan dan merupakan disiplin yang lengkap tentang teknik, keadah dan amalan menghasilkan pengucapan yang benar dan berkesan (Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris, 2010:2).

            Berbalik kepada penumpuan pengkajian iaitu retorik dalam karya Melayu terutama karya agung memperlihatkan orang Melayu lebih cenderung untuk menggunakan pelbagai retorik dalam penulisan sebagai daya penarik berbanding isi yang ingin disampaikan. Hal ini dibuktikan dengan pendapat yang dinyatakan oleh Mohd Affandi Hassan dalam Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris, (2010:23) bahawa apa juga usaha untuk menarik minat penonton contohnya penglipur lara, Tok Selampit dan Awang Batil memilih retorik seperti cerita-cerita tambahan, penggunaan suara dan sebagainya sebagai elemen retorik. Beliau juga menyatakan bahawa orang Melayu lebih mementingkan retorik daripada genre untuk mencapai sesuatu maksud.

            Dalam konteks moden, retorik dikenali sebagai seni penggunaan bahasa persuratan atau lisan yang melibatkan penyampaian fakta dan idea dengan menggunakan bahasa yang tersusun, menarik dan mampu memberikan impak kepada khalayak pendengar mahu pun pembaca. Oleh itu, retorik sewajarnya dikuasai oleh setiap pengguna bahasa bagi mencapai tujuan berbahasa. (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, 2010:30).

            Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa retorik sebenarnya bertujuan mempengaruhi, memujuk dan meyakinkan khalayak pendengar ataupun pembaca. Keutamaan diberikan kepada susunan idea dan penggunaan bahasa yang baik dan tersusun. Hal ini kerana sekiranya ungkapan yang dilontarkan tidak mempunyai sebarang idea maka timbullah ungkapan retorik kosong. (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, 2010:30). Bahkan, Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, (2010:30) menyebut retorik dapat diketahui melalui dua aspek penting iaitu pengatahuan tentang bahasa dan penggunaannya yang baik. Kedua, penggunaan tentang objek tertentu yang akan disampaikan dengan menggunakan bahasa. 

0 comments:

Post a Comment