CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, 18 May 2013

UNGKAPAN SULALATUS SALATIN ATAU KANVAS PAK MAIL



ROSHILAWATI RAIEH
24 JUN 2012





Deretan lukisan Pak Mail berkisarkan Salalatus Salatin - Empayar Kesultanan Melayu Melaka


Apabila membaca Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, kebanyakan orang akan merujuk pada suatu peristiwa yang paling menarik di dalamnya. Antaranya, kisah perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Perjanjian ini berlaku apabila Seri Teri Buana, iaitu raja negeri Palembang, berduka lara kerana segan menyuarakan hasratnya mengambil anak Demang Lebar Daun, Raden Ratna Cendera Puri sebagai isteri. Sebelumnya, baginda beberapa kali beristeri tetapi wanita dikahwini telah diserang penyakit kulit sebaik sahaja beradu semalaman. Demang Lebar Daun yang merendahkan martabat dirinya sebagai rakyat biasa walaupun beliau bekas raja negeri Palembang, berasa susah hati apabila melihat baginda murung. Ditanyanya kepada Seri Teri Buana sebab musababnya, maka baginda pun menyuarakan perasaan yang telah terbuku sekian lama. Demang Lebar Daun bersetuju bermenantukan baginda tetapi bersyarat; Jika anak Demang Lebar Daun terkena penyakit kulit juga, sama seperti isteri-isterinya yang terdahulu, baginda dikehendaki jangan mengeluarkannya dari istana. Sebaliknya, diminta terus diberi kebenaran tinggal di istana walaupun sebagai hamba suruhan. Syarat kedua; baginda diminta tidak memalukan rakyat walaupun kesalahan yang dilakukan itu besar dan syarat ketiga; raja hanya boleh menjatuhkan hukuman bunuh jika memenuhi hukuman syarak. Diteliti petikan di atas, sejujurnya ia menceritakan perjanjian yang dilakukan itu menjadi dasar konsep daulat dan derhaka, yang melatari perhubungan antara raja dengan rakyat yang berterusan dari zaman ke zaman hinggalah ke hari ini.

Dalam perjanjian yang dibuat, sebenarnya mempunyai perkara tersirat. Golongan yang mewakili perjanjian ini ialah Demang Lebar Daun mewakili golongan rakyat dan Seri Teri Buana yang mewakili golongan raja. Apabila dikaji perjanjian ini dengan mendalam, jelas bahawa perjanjian ini tidak mengongkong atau menjatuhkan martabat raja! Malahan, golongan rakyat yang mengalami kerugian.Demikian nukilan perbincangan antara hubungan raja dengan rakyat dan harga kedaulatannya. Tidak syak lagi Sejarah Melayu adalah sebuah karya yang sangat besar, tergambar di dalamnya segala budaya dan kerajaan besar Melayu Melaka.Sehingga hari ini, Sejarah Melayu dianggap karya Melayu terpenting dan terbesar dalam deretan karya klasik Melayu lain, khasnya karya yang sejenis dengannya seperti Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Acheh, Hikayat Patani, Turunan Asal Raja-Raja Gowa dan Tuhfat Al- Nafis.

Hebat berkarya 

Baru-baru ini, penulis berkunjung ke Pameran Sulalatus Salatin Empayar Kesultanan Melayu Melaka di Balai Seni Visual Negara (BSVN).Sebanyak 49 lukisan karya Ismail Embong dipamerkan berdasarkan karya sastera berunsur sejarah yang meriwayatkan mengenai Empayar Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 (1400 hingga 1511).Dalam pameran ini, Ismail Embong atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Mail menggambarkan keadaan kehidupan bangsa Melayu yang terdiri daripada golongan raja Melayu yang memerintah, adat istiadat, kepahlawanan dan kesetiaan rakyat serta perhubungan diplomatik serumpun dan antarabangsa di atas kanvas berbentuk mural. Pak Mail adalah pelukis hebat yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ketika ditanya mengapa dia melukis karya sebegini, pantas jawapannya: "Saya melukis kerana terdesak, kerana saya lihat masyarakat kekurangan karya yang berunsurkan patriotik," katanya. Profesor Datuk Dr Zainal Kling pernah berkata, impian murni Ismail Embong ialah pengabdian sejarah bangsa Melayu sebagai teras kesejarahan Malaysia."Koleksi lukisan catatan sejarah ini memakan sekian banyak emosi dan akal budinya untuk meledak sanubari serta rohaninya yang sentiasa bergolak pada kedalaman jiwanya yang mahu keluar sebagai simbahan warna dan sentuhan jasmani seni."Kita akan menyaksikan lagi ledakan itu pada himpunan akan datang yang sedang diolah untuk menyempurnakan kandungan dan keluaran sanubari itu," katanya.

Dekati Masyarakat

Pameran Sulalatus Salatin dilihat mampu mendedahkan masyarakat mengenai sejarah dan kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka sepanjang abad ke-15.Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berkata, lukisan itu diyakini mampu menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam diri setiap pengunjung berdasarkan penceritaan serta mesejnya tersendiri. Menurutnya, kehidupan bangsa Melayu terdiri daripada golongan raja memerintah, adat istiadat, kepahlawanan, kesetiaan rakyat serta hubungan diplomatik serumpun dipapar dalam lukisan itu sedikit sebanyak memberi gambaran kepada masyarakat dalam memahami sejarah pembangunan negara."Kerjasama pelukis dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) berjaya mencetus fenomena baru dalam memartabatkan maruah dan kedaulatan Melayu, " kata Rais. Hadir sama Pengerusi Lembaga Amanah BSVN, Datuk Mohd Rozali Isohak. Bagi merasai perjuangan, rentetan sejarah dan zaman kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka, orang ramai boleh berkunjung ke pameran yang bertempat di Galeri 1A, BSVN bermula 10 Mei sehingga 30 Jun ini. Pameran tersebut bermula 10 pagi hingga 6 petang dan masuk adalah percuma.


Sumber : Berita Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment