CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday 29 April 2013

STRATA SOSIAL DAN MASYARAKAT


MAKLUMAT TENTANG STRATA SOSIAL DAN MASYARAKAT
Stratifikasi sosial masyarakat Melayu yang berperingkat jelas telah diperincikan dalam Sejarah Melayu. Dalam karya tersebut, masyarakat Melayu tradisional dibahagikan kepada dua golongan atau kumpulan iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah dan diperintah masing - masing terbahagi pula kepada beberapa kelompok yang lebih kecil bercirikan taraf, kedudukan, dan peranan yang dapat dimainkan dalam masyarakat. Namun begitu, kecenderungan terhadap pemerintah boleh dilihat dalam segi poltik, undang – undang, ketenteraan, ekonomi, dan adat – istiadat.
            Stratifikasi sosial bererti perbezaan individu dalam masyarakat yang menyebabkan kemunculan satu hierarki yang terdiri daripada lapisan orang yang berlainan kedudukan. Pada kebiasaannya, kelas masyarakat di Negara ini dibahagikan mengikut kriteria tahap pendidikan dan umur.

Herarki merupakan susunan sesebuah masyarakat yang bakal membentuk pentadbiran. Herarki ini menggambarkan kedudukan sesuatu golongan atau kelompok dalam masyarakat. Bagi masyarakat Melayu tradisional, sistem sosial atau herarkinya bersifat feudal. Raja atau Sultan berkuasa dan menduduki tempat tertinggi dalam sistem sosial masyarakat Melayu tradisional. Herarki masyarakat Melayu tradisional dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu keturunan, hubungan kekeluargaan, pangkat dan kedudukan yang disandang, tugas dan sebagainya. Dari aspek demografi pula, kedudukan masyarakat dapat dikategorikan mengikut jumlah pemilikan harta, reka bentuk rumah, gaya pakaian dan penggunaan istilah dalam pertuturan.

GOLONGAN PEMERINTAH

Raja/Sultan

Pada zaman Melayu tradisional, raja dianggap sebagai pemerintah yang berdaulat dan amat mulia. Daulat ini dikaitkan dengan spiritual dan kepercayaan tradisi. Melalui pengagungan Raja ini maka timbullah konsep Daulat dan Derhaka. Sesiapa yang ingkar kepada perintah Raja akan dihukum bunuh akibat tulah yang mereka hadapi. Contohnya, Tun Hussien yang merupakan seorang pembesar Sultan telah dibunuh kerana didapati ingin menderhakai sultan, walhal, beliau bertindak atas dasar kemanusiaan yang cuba untuk menegakkan keadilan untuk menuntut bela ke atas kematian ayahnya.
Secara umumnya, Sultan berperanan penting dalam tiga aspek utama iaitu politik, sosial dan ekonomi. Dari segi politik, Sultan berperanan sebagai ketua kerajaan yang memerintah secara mutlak dan dibantu oleh pembesar yang bertindak sebagai penasihat. Selain itu, baginda juga berperanan sebagai pemimpin utama angkatan tentera di mana baginda akan mengepalai angkatan tentera bagi mempertahankan negeri dan meluaskan jajahan taklukan. Di samping itu, baginda juga merupakan ketua Agama Islam dan penggubal undang-undang.

Daripada aspek sosial pula, baginda bertindak sebagai penyelesai masalah rakyat dengan menjalankan pemerintahan dan hukuman yang adil kepada rakyat. Oleh sebab itu, Sultan menjadi tempat mengadu masalah dan dijadikan simbol perpaduan. Seterusnya, bagi aspek ekonomi pula. Sultan berperanan penting dalam mengawal kewangan kerajaan. Maka dengan itu, Sultan telah meminta rakyat agar memberikan hasil kegiatan ekonomi kepada kerajaan. Hasil ini dikutip melalui sistem cukai yang telah diperkenalkan.

Kerabat Diraja
Kedudukan dan status kedua tertinggi selepas Sultan ialah golongan anak raja dan kerabat diraja. Mereka merupakan golongan yang mempunyai jurai keturunan Sultan yang memerintah sesebuah kerajaan. Mereka ini diberi gelaran sebagai Raja atau Tengku. Anak raja sebenarnya tidak semestinya seorang putera kepada Sultan yang sedang memerintah. Anak raja atau putera puteri raja Sultan juga mempunyai keistimewaan yang sama dengan Sultan. Namun demikian, keistimewaan yang diberikan kepada anak raja tidak melebihi keistimewaan Sultan sebagai ketua kerajaan. Antara keistimewaan anak raja ialah mempunyai payung putih dan menggunakan ‘bahasa dalam’. Dalam kalangan golongan keluarga dan kerabat diraja ini, terdapat beberapa orang yang mempunyai kedudukan yang lebih istimewa hasil daripada hubungan yang rapat dengan Sultan. Antaranya ialah hak keistimewaan dalam politik negeri.

Pembesar

Anggota masyarakat yang paling hampir dengan pihak bangsawan ialah golongan pembesar. Secara umumnya, masyarakat melayu tradisional menggunakan sistem pembesar empat lipatan yang tediri daripada Bendahara, Penghulu Bandahari, Temenggung dan Laksamana.

Bendahara

Bendahara merupakan ketua eksekutif seluruh mekanisme pentadbiran melayu tradisional. Jika Sultan mempunyai kuasa spiritual dan divine. Bendahara pula mempunyai pemerintahan secara fizikal. Taraf Bendahara lebih tinggi berbanding pembesar yang lain apabila beliau merupakan golongan ketiga selepas kedudukan Sultan. Semasa ketiadaan Sultan, Bendahara mempunyai hak untuk memangku tugas dan peranan Sultan, dengan dibantu oleh Seri Nara Diraja(Penghulu Bendahari) dan Seri Bija Diraja. Beliau akan menjadi ketua turus tentera, ketua hakim dam ketua ‘di balai sendiri’ kedudukan Bendahara dibuktikan melalui kedudukan beliau semasa di balairung istana di mana beliau duduk di sebelah kanan Sultan. Selain itu, Bendahara juga turut dianugerahkan usungan untuk berjalan-jalan. Keistimewaan Bendahara telah disentuh dalam Sejarah Melayu yang menerangkan seperti berikut;

“…jikalau Tun Perpatih Permuka Berjajar (Bendahara) duduk di balai, jikalau anak-anak raja datang, tiada dituruninya, melainkan anak raja yang akan ganti kerajaan maka turuninya; dan jikalau Bendahara masuk mengadap, tempatnya duduk itu akan dibentangi permaidani; jikalau raja masuk maka Bendahara pulang, dan segala orang besar-besar dan orang kaya-kaya pergi menghantar Bendahara kembali ke rumahnya…”

Dalam jawatan Bendahara, tiada sistem yang tetap dalam perlantikan jawatan ini. Oleh sebab itu, Bendahara selalunya akan dilantik daripada pembesar kanan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Sultan. Kebiasaannya, Bendahara adalah merupakan bapa saudara Sultan sendiri.

Penghulu

Penghulu Bendahari menduduki tempat kedua selepas Bendahara dalam golongan pembesar dalam sistem sosial masyarakat Melayu tradisional. Penghulu Bendahari mempunyai peranan utama dalam memegang harta benda dan hasil mahsul kerajaan. Para pembesar yang berada di bawah bidang kuasanya ialah bendahari-bendahari, pemegang hasil negeri, syahbandar-syahbandar dan hamba-hamba raja. Penghulu sebenarnya merupakan ‘Menteri Kewangan’ dan beliau menjalankan tugas dengan menjadi wakil yang menerima ufti daripada kawasan taklukan kerajaan. Selain itu, penghulu Bendahari juga boleh dititahkan untuk menjadi ketua angkatan tentera perang untuk menyerang negeri asing seperti Melaka menentang Kampar.

Temenggung

Pembesar yang ketiga ialah Temenggung. Temenggung berperanan sebagai Ketua Keamanan Negeri. Temenggung juga menjadi ‘pengatur’ orang makan di balai istana. Menghakimkan perbicaraan yang besar sebagai Timbalan Ketua Hakim, menangkap orang yang melakukan kesalahan, membaiki keadaan pasar dan pekan, dan ketua perancang bandar dan jalan raya. Kecuaian yang dilakukan oleh Temenggung akan menjadikan sesebuah negeri huru-hara. Sebenarnya, tugas temenggung ada dibicarakan dalam Undang-undang Melaka seperti berikut;
“Adapun hukum yang diserahkan kepada Temenggung itu barang yang dihukumkan di dalam negeri seperti tahafus-mentafahus dan seperti tengkap-menangkap orang yang jahat di dalam negeri.”

Selalunya, Temenggung dilantik daripada kalangan keluarga pembesar-pembesar itu sendiri. Umpamanya, Tun Mutahir yang menjadi Temenggung Melaka adalah anak kepada Seri Nara Diraja Tun Ali dan anak saudara kepada Tun Perak.

Laksamana

Jawatan terakhir dalam sistem empat lipatan dalam herarki zaman tradisional Melayu ialah Laksamana. Sebelum jawatan ini wujud, jawatan sebagai ketua angkaatan tentera laut dipegang oleh Hulubalang Besar. Jawatan ini merupakan monopoli orang melayu dari Bentan yang bergelar Seri Bija Diraja. Tokoh yang terkenal ialah Tun Hamzah (Datuk Bongkok) dan Tun Ketuyup (yang dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah).

Apabila jawatan Laksamana diperkenalkan oleh Sultan Mansor Syah, jawatan ini mula dipegang oleh Laksaman Hang Tuah yang merupakan golongan kebanyakan. Pada awalnya, taraf Hulubalang dan Laksamana adalah sama tetapi lama-kelamaan ianya berbeza. Dalam acara pencercaan, Laksamana dan Temenggung ditugaskan untuk mengawal keselamatan Bendahara. Dalam hal ini dapat menunjukkan kedudukan kedua-dua pembesar ini hampir sama. Rakyat yang biadap menentang Bendahara akan dibunuh oleh Temenggung atau Laksamana.

Tugas-tugas utama Laksamana ialah ketua organisasi angkatan laut, pembawa utusan diraja dan pengawal peribadi Bendahara.

Bagi jawatan Laksamana, ia diganti mengikut lunas kekeluargaan. Contohnya, pengganti-pengganti kepada Laksaman Hang Tuah ialah Laksamana Khawaja Hassan, iaitu menantunya, dan kemudian Hang Nadim yang juga menantu beliau. Seperti Bendahara, Laksamana juga dikurniakan usungan.

Syahbandar

Syahbandar juga merupakan pembesar yang terpenting pada zaman Melayu tradisional walaupun tidak tergolong dalam pembesar empat lipatan. Syahbandar bererti ‘pemerintah pelabuhan’ yang diambil daripada perkataan Parsi. Syahbandar menjadi ketua organisasi pelabuhan dan wakil saudagar-saudagar asing. Syahbandar diletakkan di bawah bidang kuasa Penghulu Bendahari. Menurut Tome Pires, kehadiran empat orang Syahbandar di Melaka menandakan kehadiran ramai pedagang daripada berbagai-bagai kumpulan etnik.

Sebenarnya, jawatan Laksamana dan Syahbandar adalah kerana keperluan semasa. Hal ini kerana sumber ekonomi zaman tradisional Melayu pada ketika itu bergantung kepada kegiatan laut, terutama perdagangan dan perniagaan. Oleh itu, Laksamana diperlukan untuk mengawal keselamatan laut. Manakala, kelancaran dan kepimpinan diperlukan di kawasan pelabuhan untuk memudahkan urusniaga sehingga terciptanya jawatan Syahbandar. Keadaan ini sehinggakan menyifatkan Laksamana sebagai ‘raja di laut’ dan syahbandar sebagai ‘raja di pelabuhan’.

Ulama

Golongan yang dikatakan penting dalam masyarakat tradisional Melayu ialah golongan ulama. Golongan ini merupakan golongan intelek dan alim ulam yang pakar dalam hal ehwal agama Islam. Ekoran daripada kepentingannya dalam sistem sosial masyarakat Melayu, maka golongan ini telah diangkat darjatnya dalam susun lapis masyarakat Melayu tradisional. Biasanya, golongan ini terdiri daripada masyarakat yang mempunyai keturunan Arab-Melayu. Golongan ini digelar sebagai maulana, makhdum, kadi dan pendeta tasawuf. Lazimnya, mereka juga turut menggunakan gelaran kebesaran seperti Maharaja Kadi, Dato’ Mufti Seri Utama dan Imam Maharaja. Golongan ini sebenarnya hanya mula memainkan peranan yang penting dalam masyarakat Melayu selepas tersebarnya Islam ke Nusantara. Pada mulanya, mereka mengajar asas agama Islam. Namun, apabila Islam berkembang dengan pesat, mereka mula mengajar ilmu dalam bidang tasawwuf, tafsir, dan hadis.

Selain itu, golongan ini juga telah dilantik oleh Sultan untuk menjadi guru, ketua agama, kadi dan bertugas menasihati Sultan dalam bidang hukum syarak. Oleh itu, golongan ulama ini dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan Sultan.

Seterusnya, pendeta pula merupakan golongan yang pakar dalam bidang kesenian, kebudayaan, kesusasteraan, adat istiadat dan salasilah raja. Golongan ini mempunyai bilangan yang sedikit dalam masyarakat Melayu. Namun begitu, mereka menjadi rujukan Sultan dan golongan istana selain menjadi perawi Sultan.

GOLONGAN DIPERINTAH

Rakyat
Rakyat merupakan lapisan pertama dalam golongan yang diperintah dalam sistem sosial masyarakat Melayu. Rakyat merupakan golongan yang terbesar dalam masyarakat Melayu. Fungsi utama rakyat adalah dari aspek mental, fizikal, dan tradisi ialah menyokong dan patuh kepada institusi raja dan pembesar. Sebahagian besar daripada golongan rakyat adalah orang Melayu dan selebihnya adalah orang asing dan Orang Laut yang terlibat dalam kegiatan ekonomi sebagai pedagang, peniaga, pedagang-mubaligh dan senteri yang menyebarkan agama Islam.

Rakyat kebiasaannya menjadi pengikut atau pengiring pembesar-pembesar dan raja sebagai hulubalang. Mereka juga terlibat secara langsung dalam apa jua jenis perang yang melibatkan kerajaan. Sejarah Melayu ada menyebut bahawa orang asing juga terlibat dalam kumpulan ini seperti Khawaja Baba, Naina Isahak dan Sayyid Ahmad.

Selain itu, rakyat biasa juga terdiri daripada golongan peniaga dan saudagar. Mereka ini mempunyai taraf ekonomi yang lebih rendah daripada golongan buruh kasar dan tukang mahir.

Orang Asing

Selain daripada empat golongan yang terdapat dalam herarki masyarakat tradisional Melayu, terdapat lagi sebuah golongan yang turut terlibat dalam masyarakat sosial pada zaman tradisional Melayu iaitu golongan ‘orang asing’. ‘orang asing’ turut dikenali sebagai ‘orang dagang’ dan ‘orang perantau’ yang terdiri daripada dua jenis utama. Pertama, golongan yang terlibat dalam pelbagai jenis kegiatan sosial seperti tentera upahan yang kebanyakannya daripada Jawa dan Pasai selain sebagai mubaligh. Kedua, mereka yang terlibat dalam aspek ekonomi seperti peniaga kecil-kecilan sehingga menjadi pemborong dan peniaga besar. Golongan yang terlibat dalam kerja mahir juga dipelopori oleh golongan asing seperti dalam perlombongan bijih yang didominasi oleh golongan Cina.

Secara umumnya, ‘orang asing’ ini dikategorikan kepada dua kumpulan. Pertama mereka yang menetap terus di Tanah Melayu. Manakala, golongan kedua adalah mereka yang menjadi pengunjung sekali-sekala untuk tujuan perdagangan dan perniagaan. Antara golongan ‘orang asing’ pada zaman tradisional Melayu ialah orang Cina, Keling (Tamil), Gujerat, suku-suku dari Arab, Ghori, Parsi dan Siam.


Hamba

Institusi perhambaan di dalam masyarakat tradisional Melayu dikaitkan dengan tradisi perhambaan di Tanah Arab atau Islam dan wujudnya sistem kasta dalam kepercayaan Hindu. Sebenarnya, institusi perhambaan ini wujud akibat daripada dorongan keperluan dan kepentingan sosial serta ekonomi masyarakat melayu. Hamba berfungsi menyediakan tenaga manusia bagi menyokong dan menjalankan pelbagai jenis kerja yang wujud dalam masyarakat. Hamba dikatakan mampu meningkatkan taraf hidup pemiliknya kerana semakin ramai hamba yang dimiliki oleh seseorang, semakin tinggi taraf hidup dan kukuh ekonominya. Contoh yang paling ketara ialah Tun Mutahir yang mempunyai ratusan hamba dan dianggap sebagai orang terkaya pada ketika itu.

Hamba terbahagi kepada tiga golongan utama iaitu hamba biasa hamba berhutang dan hamba raja.

Hamba Raja

Pertama sekali adalah golongan hamba raja. Mereka terdiri daripada orang yang merdeka yang telah melakukan kesalahan jenayah, kemudian tertangkap lalu mendapat keampunan daripada sultan, dan berjanji akan menjadi hamba turun temurun.dengan cara ini mereka kan terlepas daripada menerima hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan. Selain itu, golongan ini juga terdiri daripada tawanan perang atau banduan. Haamba raja juga dikenali sebagai ‘biduanda’ yang melakukan hampir kesemua jenis pekerjaan. Hamba raja ini mendapat perlindungan daripada pihak pemerintah. Golongan hamba raja ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding dua kelompok hamba yang lain sehingga sesiapa yang membunuh hamba raja akan mendapat hukuman yang berat seperti yang dinyatakan dalam Hukum Kanun Melaka sebagai:

“Adapun jikalau hamba rajin dan segala hartanya (si pencuri) itu dirampas. Jikalau nakhoda sekalipun demikian juga hukumannya”.

Hamba Biasa

Hamba biasa terdiri daripada tiga kelompok kecil iaitu abdi, dengan dan hamba. Hamba daripada golongan ini biasa diperoleh melalui pembelian dan pertukaran tuan. Golongan ini menjadi hamba seumur hidup secara turun-temurun.

Hamba abdi terbahagi pula kepada beberapa jenis. Hamba abdi yang pertama ialah hamba tawanan yang menjadi hamba apabila tertawan dalam sesebuah peperangan. Kedua ialah hamba diranggah iaitu hamba yang bukan daripada orang Islam yang ditawan seperti Batak dan orang asli atau penduduk Islam lain di rantau ini yang diculik dan dijual oleh peniaga hamba abdi termasuk mereka yang ditawan oleh lanun dan menjadi hamba. Hamba abdi yang ketiga ialah kamba habsyi iaitu hamba yang diimport dari Afrika. Kebanyakan mereka merupakan orang kulit hitam yang dibeli oleh orang Melayu semasa menunaikan haji di Makkah. Terdapat juga hamba afrika yang dibawa oleh penjajah Eropah.

Selain itu, dalam hamba abdi juga terdapat hamba hulur. Hamba hulur merupakan mereka yang melakukan kesalahan jenayah dan mereka yang menyerah diri kepada pemerintah kerana tidak mampu untuk membayar semula hutang darah atau denda. Manakala, hamba serah pula mereka yang menghadapi kesukaran hidup dan menjadi hamba dengan menyerah diri kepada mereka yang sanggup memberikan makanan atau nafkah hidup. Akhir sekali ialah hamba keluarga atau anak hamba yang merupakan anak dan isteri kepada hamba abdi.

Hamba Berhutang

Hamba yang kedua iaitu hamba berhutang merupakan golongan yang tidak dapat membayar hutang kepada si pemiutang. Golongan hamba berhutang ini pada asalnya merupakan golongan orang yang merdeka. Oleh kerana tidak mampu membayar hutang, maka mereka terpaksa menjadi hamba berhutang untuk melunaskan hutan-hutang mereka. Lebih memeritkan lagi apabila bukan sahaja mereka yang menjadi hamba, tetapi turut dialami oleh anak-anak dan isteri sebagai hamba tebusan. Tempoh perkhidmatan hamba berhutang adalah sehingga hutang tersebut telah selesai dibayar seperti yang telah dijanjikan. Hamba berhutang melakukan pelbagai jenis kerja termasuklah bercucuk tanam, melombong, kerja-kerja domestik dan lain-lain.

Hamba berhutang sebenarnya terbahagi kepada empat bahagian yang kecil. Pertama ialah orang berhutang. Orang berhutang merupakan orang yang terikat dengan hutang dan akan dibebaskan selepas menjelaskan hutang tersebut. Kedua ialah anak emas yang merupakan orang yang menjadi hamba melalui perkahwinan iaitu hamba lelaki yang berkahwin dengan hamba wanita dan terikat kepada tuannya. Seterusnya merupakan hamba waris yang merupakan isteri dan anak-anak hamkba orang berhutang. Akhir sekali ialah hamba bayar yang merupakan abdi yang diserahkan oleh tuannya kepada orang lain untuk tujuan membayar hutang tuannya kepada pemiutang.

Sesuatu yang menarik dalam golongan hamba ialah mereka dilindungi oleh Hukum Kanun Melaka yang menyebut bahawa hamba terlindung daripada kezaliman. Hamba bebas untuk bergerak seperti mengambil upah daripada orang lain. Hasil pendapatan boleh disimpan sendiri atau diberikan kepada tuan mereka. Kedudukan sosial hamba ini dibicarakan secara panjang lebar dalam Hukum Kanun Melaka.

1 comments:

Unknown said...

interesting and very clear. thank you! =))

Post a Comment