CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday 16 May 2013

MAKNA LUARAN DAN MAKNA DALAMAN


Mengikut Webster, estetik ialah pembelajaran tentang falsafah kecantikan dan  ia juga merupakan pandangan luar sesuatu hasil seni (Weitz). Perkataan ini berasal daripada perkataan ‘aisthetikos’ yang bermaksud sensitif. Perkataan ini berkembang daripada perkataan ‘aisthannesthai’ yang bermaksud ‘to perceive’ (tanggapan). Estetika merupakan satu cabang falsafah keindahan, dari sinilah kriteria andaian rupa luar sesuatu seni dinilai (Beardley, 1966). Kamus Dewan (1979) turut memberi pengertian estetik sebagai kecantikan, keelokan atau perihal yang menerangkan sesuatu yang indah.

            Fry dalam artikelnya An Essay In Aesthetics dalam buku Morris Weitz (1959) yang berjudul Problems In Aesthetics menyatakan tentang konsep keindahan dalam seni. Mengikut beliau, sesuatu objek yang dicipta untuk menimbulkan kesan keindahan seharusnya mempunyai fungsi yang bukan sahaja boleh digunakan tetapi dapat melahirkan rasa menggembirakan atau menyenangkan hati. Sidi Gazalba (1977) pula, dalam bukunya Pandangan Islam Tentang Kesenian menyatakan bahawa teori tentang keindahan yang dikemukakan oleh ahli falsafah sejak dahulu lagi dapat dibahagikan kepada teori lama yang bersifat metal fizikal manakala teori moden yang bersifat psikologikal. Baginya, akal bukan sahaja memiliki deria fikiran dan kemahuan (nafsu), malah memiliki deria rasa yang boleh merangsangkan penghasilan dan penilaian seni yang halus.

            Sidi Gazalba (1977) dan Bearsley (1966) turut mengemukakan teori keindahan yang dikemukakan oleh ahli falsafah metafizikal dan psikologikal oleh Plato, Plotinus dan Hagel. Mengikut mereka, teori keindahan yang dikemukakan oleh ahli falsafah tentang keindahan mempunyai persamaan dan kebenaran , kebaikan dan mutlak  (‘Beauty=truth= the good=the absolute’). Perkara ini telah disokong oleh Othman Mohd. Yatim (1989), yang turut menyatakan keindahan selalunya dikaitkan dengan rasa yang menggembirakan, menyenangkan, memuaskan yang baik dan dihargai. Beliau menambah lagi, sesuatu yang menggembirakan dan menyenangkan biasanya rasa yang lahir daripada khalayak terhadap objek yang indah, yang dikatakan mempunyai seni dalam konteks kebudayaan dan keseniaan yang berfungsi memenuhi nilai estetik.

            Menurut Ku Zam Zam  (1984), dalam menghayati estetika atau keindahan, khalayak seni akan tertarik kepada sesuatu objek yang indah boleh menyebabkan timbulnya rasa persatuan yang sejati dengan objek itu sehinggakan melahirkan kebebasan dan kesempurnaan pada jiwa. Rasa yang menggembirakan atau menyenangkan itu akan wujud apabila individu itu ditemukan dengan objek-objek yang indah yang selalunya dikatakan mempunyai seni  (Ku Zam Zam). Dalam konteks kebudayaan , bidang yang berfungsi memenuhi nilai estetik manusia iaitu bidang keseniaan.

            Dari segi psikologi, keindahan merupakan sesuatu yang dapat dinilai oleh pancaindera atau deria rasa. Dalam perkara ini, akal memiliki deria rasa fikiran atau kemahuan (nafsu) dan juga deria rasa. Deria rasa pula mempunyai kepentingan yang berbeza dengan indera rasa yang lain seperti makanan dan juga undang-undang moral yang mempunyai kepentingan yang berbeza. Dari segi penilaian pula, keindahan adalah lebih bersifat ideal yang bukan berkaitan dengan fakta sahaja. Dalam konteks ini, sesuatu karya atau seni yang indah bukanlah hanya semata-mata terletak pada karya atau seni itu tetapi ia adalah satu perasaan yang dihayati oleh khalayak ketika meneliti. Hasilnya, sifat keindahan yang lahir daripada khalayak akan mewujudkan satu kepuasan dan kesenangan yang dapat disebut sebagai estetika (Ku Zam Zam, 1984 dan Othman Mohd Yatim, 1989).

            Read (1968) dalam bukunya, The Meaning of Art mendefinisikan seni sebagai usaha untuk mencipta bentuk yang boleh melahirkan rasa kesenangan hati. Mengikut beliau juga, seni yang menyenangkan boleh menyumbang kepada perasaan yang dialami oleh pemerhati. Jadi dalam menilai seni, khalayak yang lebih menghayati seni akan melahirkan satu perasaan suka dan senang pada jiwanya.

            Ku Zam Zam (1984), menjelaskan bahawa keseniaan berkait rapat dengan budaya kerana ia merupakan sebahagian daripada budaya. Antara unsur budaya yang melahirkan keseniaan ialah agama dan kepercayaan, adat istiadat dan juga bahasa. Mengikut beliau, biasanya masyarakat membentuk keseniaanya yang tersendiri berdasarkan pengalaman dan kehidupan yang dilalui. Keseniaan merupakan pendorong kepada seseorang untuk bertindak dan mengakibatkan berkembangnya ruang lingkup perasaan seseorang. Dalam menghayati seni, penghasilan seni yang dapat memberi kepuasan pada deria penglihatan terbahagi kepada dua, iaitu seni rupa dua dimensi yang terdapat pada seni tekstil, dan seni rupa tiga dimensi yang dikenali sebagai seni tampak yang terdapat pada seni ukir.

            Moore (1942), menyarankan bahawa nilai keindahan sesuatu bentuk itu dapat diukur melalui dua sudut, iaitu sudut objektif dan subjektif. Dari sudut objektif, ciri-ciri yang dinilai adalah seperti bentuk objek atau karya itu. Bentuk karya yang menumpukan kepada aspek-aspek yang nyata adalah berasaskan elemen rekabentuk seperti warna,bentuk luar (shape), garis, tekstur, nada dan sebagainya. Selain bentuk penilaian, keindahan secara objektif juga mengambil kira idea atau isi sesuatu karya itu. Idea yang dimaksudnya disini merupakan gabungan kebijaksanaan daya pemikiran, imaginasi dan emosi seseorang seniman dalam melahirkan karyanya. Untuk melahirkan sesuatu karya yang harmoni, pencipta haruslah dapat menyatukan eleman reka bentuk yang merangkumi warna, bentuk dan tekstur dalam bentuk kesatuan dan dalam masa yang sama boleh memberi rangsangan kepada emosi, idea dan imiganasi. Hal ini menggambarkan bahawa bentuk karya yang dilihat secara objektif merupakan struktur luaran yang berasaskan reka bentuk. Oleh itu, masyarakat dapat menilai nilai estetika menerusi pancaindera berdasarkan pandangan masing-masing.

            Keindahan secara subjektif atau berdasarkan struktur dalaman pula diukur dari sudut kegembiraan yang dirasai hasil daripada khalayak dan penilaian sesuatu karya itu. Untuk menilai keindahan secara keseluruhan, seseorang perlu melihat secara objektif karya itu dan juga merasakan keindahan itu secara subjektif. Penilaian secara subjektif merupakan penilaian yang lebih bergantung kepada objek seni dan penilaian itu sendiri. Dalam perkara ini, penilaian objek seni adalah berbeza antara individu dengan individu yang lain.

            Bagi masyarakat Islam, menilai keindahan adalah sesuatu yang digalakkan seperti tercatat dalam hadis Nabi yang membawa maksud ‘Allah Itu Maha Indah, Dia Sukakan Keindahan’. (Hadis Muslim). Ciri utama keseniaan Islam ialah keindahan, iaitu sesuatu yang cantik, bagus benar, elok dan molek. Jarang sekali keindahan yang dihasilkan oleh orang Islam melahirkan sesuatu bentuk lukisan manusia dan alam yang naturalistik. Antara seni yang dihasilkan seni Islam adalah jenis yang rumit dan dikenal sebagai ‘arabesque’ (tumbuh-tumbuhan yang digaya menurut sesuatu stail) yang terdiri daripada beraneka bentuk seperti geometrik, tumbuh-tumbuhan yang digaya dan juga kaligrafi (Othman Mohd. Yatim, 1989).

0 comments:

Post a Comment