Takrifan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 160:
Takrifan Melayu Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 160: Melayu ditakrifkan sebagai rakyat atau kelompok masyarakat yang beragama Islam, berbangsa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Kaum atau etnik lain yang tidak berada di dalam pendefinisian ketiga-tiga kategori tersebut secara mudahnya adalah bukan kaum atau etnik Melayu. Secara jelasnya kalau mengikut takrifan Perlembaan Persekutuan Melayu itu mestilah merangkumi tiga entiti utama – beragama Islam, berbangsa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu.
Takrifan berdasarkan tokoh:
(1)
(2)
Takrifan Melayu Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 160: Melayu ditakrifkan sebagai rakyat atau kelompok masyarakat yang beragama Islam, berbangsa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Kaum atau etnik lain yang tidak berada di dalam pendefinisian ketiga-tiga kategori tersebut secara mudahnya adalah bukan kaum atau etnik Melayu. Secara jelasnya kalau mengikut takrifan Perlembaan Persekutuan Melayu itu mestilah merangkumi tiga entiti utama – beragama Islam, berbangsa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu.
Takrifan berdasarkan tokoh:
(1)
“Orang Melayu
berbadan pendek, gempal dan tegap, rambutnya lurus dan hitam, warna kulitnya
gelap, hidung dan bibirnya agak tebal, dan matanya cerdas dan cerdik.”
Kata-kata
tersebut dinyatakan oleh salah seorang pegawai kolonial British yang bertugas
di Tanah Melayu, Frank Swettenham, dalam buku yang pada mulanya merupakan
catatan peribadi beliau, The Malay Sketches,
atau terjemahan bahasa Melayunya oleh Universiti Malaya, Perihal Orang Melayu, (Swettenham 2003: 2). Berdasarkan kata-kata
yang dipetik itu ternyata Swettenham cuba memberikan suatu gambaran fizikal mengenai
suatu bangsa yang dikenalnya dengan rapat, disebabkan tugas rasminya sebagai
pegawai kolonial, iaitu bangsa Melayu. Selain memberikan gambaran mengenai rupa
bentuk fizikal orang Melayu, beliau turut juga menyebut tentang psikologi dan
budayanya. Pada Swettenham, orang Melayu yang dikenalnya itu mempunyai semangat
berpuak-puak yang sangat tebal selain sangat taat kepada raja bahkan ketaatan
itu boleh sampai ke tahap ketaatan yang membuta tuli; namun, beliau
melanjutkan, bahawa orang Melayu sangat ramah tamah dan teguh dalam menganuti
agama Islam.
Tentunya,
pemerian Swettenham tentang orang Melayu terhasil daripada pemerhatian beliau
sendiri. Barangkalinya, pemerian itu dapat dikatakan sebagai objektif
disebabkan beliau secara tidak langsung telah menerapkan kaedah pemerhatian
turut serta kerana terlibat dalam pergaulan secara langsung dengan masyarakat
Melayu di Perak misalnya. Namun, kita harus sedar bahawa beliau juga adalah
pegawai kolonial, justeru sebarang pemerian mengenai bangsa dan negara
jajahannya tentunya bertujuan memastikan kelangsungan kolonialisme di Tanah
Melayu terus-menerus berlanjutan. Disebabkan hal tersebut, maka pemerian yang
dianggap objektif itu pastinya disaluti lumpur bias atau tanggapan stereotaip
penjajah. (2)
TIGA TERAS TAKRIF MELAYU
Berdasarkan
pendapat yang dikemukakan oleh Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud dalam salah satu
karya yang berupa kumpulan makalah beliau yang berjudul Masyarakat Islam Hadhari: Suatu Tinjauan Epistemologi dan Kependidikan
ke Arah Penyatuan Bangsa, bahawa yang dikatakan Melayu itu dari sudut
maknawinya bersifat ilmiah, dan dari sudut historisnya bergandingan secara
akrab dengan agama Islam, bahasa Melayu dan adat resam Melayu (Wan Mohd Nor
2007: 112). Pandangan Profesor Wan Mohd Nor itu sejajar dengan takrif Melayu
yang diberikan oleh undang-undang tertinggi negara ini, iaitu Perlembagaan
Persekutuan, iaitu yang terdapat dalam perkara 160 (2). Peruntukan dalam
perkara tersebut secara jelas menetapkan bahawa yang dikatakan orang Melayu itu
mestilah meliputi tiga unsur, iaitu beragama Islam, berbudaya dan berbahasa
Melayu.
Dalam takrif Melayu melalui
perlembagaan, dapat dilihat bahawa “agama” mendahului “budaya” dan “bahasa.”
Melihat kepada keadaan ini, kita harus melontarkan pertanyaan-pertanyaan berikut:
Mengapa susunan perkataannya sedemikian rupa? Adakah ianya hanya kebetulan, yakni
dibuat tanpa disedari oleh para perumusnya? atau susunannya memang sengaja
dibuat demikian?
Apabila
merenung hakikat ini, kita akan dapati bahawa susunan perkataan itu bukannya
suatu kebetulan. Susunan demikian dibuat atas kesedaran akan hakikat sejarah
bangsa Melayu sendiri. Dalam hal ini, agama menduduki tahap yang paling tinggi
dalam heiraki pengertian Melayu. Melalui agama, akan membekalkan jati diri dan
makna hidup kepada umat Melayu-Islam. Budaya dan bahasa menjadi yang kedua
selepas agama. Hal ini kerana budaya dan bahasa dibentuk mengikut acuan agama.
Dengan kata lain, agamalah yang memberikan sifat kepada bahasa, selain digunakan
sebagai medium penyampaian agama, adat resam, serta semua perkara lain.
Walau bagaimanapun, terdapat perkara
lain yang perlu dinyatakan di sini sebelum diteruskan perbincangan selanjutnya.
Hal ini berikutan tersembulnya sesuatu yang bersifat ironik di sini. Dalam
bahagian pengenalan telah dikatakan bahawa penelusuran takrif Melayu akan
dibuat berdasarkan karya Sulalatus
Salatin, tetapi huraian dalam dua perenggan di atas sebaliknya
berpedomankan Perlembagaan Persekutuan, bukannya dihuraikan berdasarkan karya
agung itu.
Mengapakah
munculnya sifat ironik di sini? Perkara ini harus jelas. Untuk menjelaskannya
perlu kembali kepada sejarah bangsa Melayu dan pembinaan negara Malaysia yang
sebelumnya dikenali sebagai Tanah Melayu.
Hakikatnya, sama ada Sulalatus Salatin atau Perlembagaan Persekutuan,
memiliki hubungan yang sangat erat darihal pentakrifan Melayu. Memang dalam
mana-mana karya agung, termasuklah Sulalatus
Salatin sendiri, tidak akan ditemui takrif Melayu secara tersurat, secara
nyata dan terang-terangnya, misalnya melalui pernyataan seperti “Orang/bangsa
Melayu ialah…” dan sebaginya. Yang ditemui di dalam karya-karya tersebut hanya
dimensi takrif Melayu secara tersirat. Ertinya, takrif Melayu dalam karya agung
harus dicari dan harus dijejaki secara berhati-hati di sebalik setiap kalimat
dan ayat yang dipakai pengarangnya.
Selain
daripada takrifnya yang tersirat, harus juga disedari bahawa takrif Melayu yang
diabadikan di dalam perlembagaan itu adalah konstruksi para nasionalis kita
pada zaman pra-kemerdekaan. Konstruksi sebegini penting bagi mencari suatu
dasar yang dapat memberikan acuan ke arah kemerdekaan dan pembinaan negara yang
merdeka dan bersatu (Milner 2010). Persoalannya, dari manakah para nasionalis
tersebut mendapat idea bagi memasakkan perkataan “agama,” “budaya” dan “bahasa”
ke dalam takrif Melayu? Tentunya kita boleh berandaian bahawa mereka mendapat
idea daripada pengertian mereka mengenai isi kandungan karya-karya agung
tamadun Melayu. Dengan pengertian yang begitu mendalam mengenai karya-karya
tersebut, baharulah takrif Melayu dapat dirumuskan dan diabadikan dengan kemas ke
dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang sampai kepada kita pada hari
ini.
Dengan huraian serba ringkas di
atas, dapat dilihat pewajaran mengapa bahagian ini bermula dengan mengambil
takrif Melayu daripada perlembagaan, sedangkan tumpuan kajian ini adalah takrif
Melayu di dalam Sulalatus Salatin,
kerana sumber pentakrifan Melayu perlembagaan adalah karya agung tersebut. Justeru,
kajian ini akan menjadikan takrif Melayu perlembagaan sebagai asas, dan
dipadankan dengan perincian takrif tersebut di dalam Sulalatus Salatin bersekali dengan sumber-sumber sejarah yang
lainnya sebagai pengukuhan.
1.0 AGAMA
ISLAM
Berdasarkan tiga
teras Melayu yang telah dinyatakan oleh perlembagaan dan diperturunkan semula
dalam bahagian di atas bahawa agama merupakan teras yang paling asas dan
terpenting dalam membentuk takrif Melayu. Hal ini kerana agama menjadi tali
yang mengikat takrif tersebut dengan kemas. Analogi agama sebagai teras dapat
dibandingkan dengan akar tunjang yang terdapat pada sebatang pokok yang
berperanan sebagai peneguh pokok tersebut. Demikianlah, agama Islam kapada umat
Melayu-Islam. Logik yang selalu dipakai, tanpa Islam, Melayu tidak ke
mana-mana. Untuk menunjukkan betapa eratnya hubungan Melayu dengan Islam,
pernah dilaporkan gerakan masuk Melayu beramai-ramai dalam kalangan masyarakat
Iban di Sarawak. Erti masuk Melayu bagi masyarakat Iban itu bukan menjadi
Melayu sepenuhnya melainkan masuk agama Islam. Malah, baru-baru ini kita juga
didendangkan dengan kisah yang sama apabila persatuan India Muslim atau
singkatannya KIMMA telah memohon kepada kerajaan Malaysia supaya mengiktiraf
mereka sebagai “Melayu” disebabkan mereka telah beragama Islam, bercakap dalam
bahasa Melayu serta mengamalkan budaya Melayu.
Maka
itu, tidak hairanlah jika terdapat banyak hikayat yang menceritakan sejarah
kemasukan Islam ke Alam Melayu. Corak penceritaannya berbagai-bagai. Contoh
yang paling terkenalnya ialah dengan unsur epistemologi, iaitu melalui mimpi
bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. Hikayat-hikayat yang mengemukakan kisah
begini antara lainnya ialah Sulalatus
Salatin, Hikayat Raja Pasai dan Hikayat Merong Mahawangsa (Wan Mohd Nor
2007: 116).
Penyebaran
Islam sangat berbeza dengan penyebaran agama Kristian di Alam Melayu. Islam
disebarkan dengan cara yang aman melalui kaedah pengislaman raja-raja, bahkan
secara terus oleh Nabi Muhammad S.A.W melalui mimpi bertemu Baginda sebagaimana
yang dikisahkan oleh hikayat-hikayat yang dinyatakan di atas. Penerimaan Islam
oleh raja-raja Melayu menyebabkan masyarakat Melayu secara tidak langsung
menganut agama yang sama seperti raja mereka. Hal ini tidak menghairankan
kerana telah menjadi sifat orang Melayu akan mengikut apa-apa yang dibuat dan
dititahkan oleh raja mereka. Pengislaman cara aman ada diungkapkan dalam Sulalatus Salatin, antaranya:
“Maka oleh Fakir Muhammad Merah Silu itu
diislamkannya, dan diajarkannya kalimah syahadat. Telah Merah Silu sudah Islam,
maka Merah Silu pun tidur, maka ia bermimpi dirinya berpandangan dengan
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Maka sabda Rasulullah pada Merah Silu,
‘Hai Merah Silu, ngangakan mulutmu…”
(Sulalatus
Salatin, hlm 42)
“Telah berapa lamanya Raja Kecil Besar di atas
kerajaan, maka baginda bermimpi pada suatu malam, berpandangan dengan keelokan
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Maka sabda Rasulullah pada Raja Kecil
Besar, ‘ucap olehmu kalimah syahadat’. Maka dituruti oleh Raja Kecil Besar
seperti sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam itu. Maka sabda Rasulullah,
‘adapun namamu Sultan Muhammad; esok hari waktu asar matahari, datang sebuah
kapal dari Judah, turun orangnya sembahyang di pantai Melaka ini; hendaklah
engkau ikut barang katanya’.
(Sulalatus
Salatin, hlm 55)
Petikan
di atas jelas menunjukkan bahawa wujudnya pertalian dengan Rasulullah S.A.W
berdasarkan dua mimpi yang telah dipetik dari hikayat tersebut. Mimpi yang
pertama dialami oleh Merah Silu/Silau yang dikatakan bertemu dengan Rasulullah
S.A.W dan baginda telah mengajarkan kepada beliau kalimat syahadat serta
meminta beliau menuruti segala ajaran Islam yang akan dibawa oleh seseorang
dengan menaiki kapal dari Mekah tidak lama kemudian. Orang yang dimaksudkan
benar-benar datang ke negerinya iaitu Syeikh Ismail selaku nakhoda kapal. Dalam
peristiwa tersebut, sekali lagi Merah Silu/Silau telah di Islamkan oleh Syeikh
Ismail dan nama asal Merah Silu/Silau telah ditukarkan kepada Sultan Malikul
Salih serta menjadi pemimpin Islam pertama kerajaan Samudera-Pasai di Sumatera;
untuk kisah yang lebih mendalam boleh dilihat dalam Hikayat Raja Pasai.
Bagi kisah mimpi yang kedua pula telah dialami oleh
Raja Kecil Besar. Kisahnya hampir serupa dengan kisah yang pertama, namun watak
orang alim digambarkan pula menerusi kehadiran Syed Abdul Aziz atau Syed
Makhdum dari Jeddah. Nama raja juga telah ditukar daripada Parameswara kepada
Sultan Muhammad iaitu Sultan Melaka pertama, dan merupakan sultan yang paling
berpengaruh.
Jika merujuk kepada dua kisah tersebut, malah
terdapat beberapa kisah lain yang berkaitan dengan Islam yang tercatat dalam
hikayat dan sejarah dalam Tamadun Melayu sangat jelas menggambarkan bahawa raja-raja
pada ketika itu telah menunjukkan rasa hormat dan patuh kepada Rasulullah S.A.W walaupun mereka mempunyai kuasa dalam
kerajaan masing-masing.
Kedudukan raja telah dimuliakan apabila Raja Melaka
memeluk Islam tanpa perantaraan orang tertentu. Baginda terus diislamkan oleh
Nabi Muhammad S.A.W. Kejadian ini membuktikan raja sangat istimewa dan memiliki
kebesaran serta darjat yang tinggi. Oleh kerana itulah, Islam yang sampai ke
Alam Melayu telah disampaikan terlebih dahulu kepada golongan pemerintah, iatu
raja dan kemudiannya barulah diikuti oleh rakyat jelata.
Setelah menerima Islam, Tamadun Melayu
memperlihatkan sinarnya yang terang-benderang di belahan dunia timur,
terutamanya melalui kerajaan Melaka dan Acheh. Menurut pendapat para sarjana
terutamanya Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pemasyuran
profesornya yang berpengaruh berjudul Islam
dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (al-Attas 1972) dan dalam karya beliau
yang terbaru berjudul Historical Fact and
Fiction (al-Attas 2010) bahawa penyatuan Alam Melayu dari segi keagamaan
dan politik hanya terjadi setelah Islam dianuti oleh bangsa Melayu sebagaimana
yang dikisahkan oleh Sulalatus Salatin
dan hikayat-hikayat yang lain.
2.0 BUDAYA
Teras kedua yang
membina takrif Melayu perlembagaan ialah budaya dan adat. Budaya ialah suatu
cara keseluruhan yang mendasari aspek psikologi dan kognitif sesebuah
masyarakat yang bentuk konkritnya tertuang dalam segala aspek material dan
bukan material yang membentuk ekologi masyarakat berkenaan (Shaharir 2011).
Dinyatakan oleh takrif Melayu bahawa bangsa Melayu mesti mengamalkan budaya
Melayu. Persoalannya, apakah budaya Melayu? Sulalatus
Salatin ada memaparkan banyak aspek budaya Melayu. Salah satu yang terpenting
dan menjadi tumpuan kajian ini ialah institusi beraja. Mengapakah institusi
diraja dianggap penting? Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya: i)
dikala banyak negara di dunia sudah hilang kepercayaan kepada sistem monarki
disebabkan bersemaraknya faham demokrasi-liberal, namun negara ini masih lagi
mempertahankannya; ii) institusi beraja di negara ini adalah suatu
kesinambungan sejarah sejak zaman-berzaman; dan, iii) asosiasinya yang sangat
rapat dengan agama dan bangsa. Bahagian berikut akan membincangkan perihal
institusi beraja di negara ini.
2.1 Institusi
Beraja
Dalam
pemerintahan beraja sememangnya raja merupakan orang yang terpenting dan
dianggap sangat mulia serta mempunyai berbagai-bagai kelebihan. Malah raja juga
dipercayai sebagai penghubung antara rakyat dengan roh nenek moyang. Dalam Sulalatus Salatin pengarang telah
memperihalkan jurai keturunan raja dengan tokoh agung, raja mempunyai sifat
mulia dan luar biasa, raja memiliki daulat dan penyebaran Islam ke Alam Melayu.
2.1.1 Keturunan
Dalam buku Sulalatus Salatin karya Tun Seri Lanang
1612 ada menceritakan asal usul raja Melayu pertama di Palembang yang berasal
dari keturunan puteri Hindia bernama Puteri Syahrul Bariyyah.
“Maka adapun akan Raja Hindi itu, ada beranak
seorang perempuan terlalu baik parasnya, tiada berbagai lagi dan tiada taranya
pada masa itu, cahaya mukanya gilang gemilang seperti cahaya matahari dan bulan
dan amat bijaksana budi pekertinya putri itu, namanya Syahrul Bariyah…”
(Sulalatus Salatin, hlm 4)
Berdasarkan
kepada petikan tersebut, jelas menunjukkan bahawa keturunan raja Melayu
digambarkan mempunyai keturunan yang hebat malah dikaitkan dengan keturunan
Iskandar Zulkarnain atau nama Inggerisnya Alexandre
the Great, Raja dari Mukaduniah yang sememangnya terkenal, berani dan
mempunyai sifat kepahlawanan yang tinggi.
“Ketahui olehmu, bahawa aku memanggil engkau ini,
aku hendak bertanyakan bicara kepadamu; bahawa anakku yang tiada ada taranya
seorang pun anak raja pada zaman ini, itulah hendakku persembahkan kepada Raja
Iskandar”.
(Sulalatus
Salatin, hlm 4)
Salasilah
ini terus berkait dengan generasi Raja Suran dan Puteri Mahtabu’l-Bahri. Putera
Raja Suran pula ialah Nila Pahlawan, Krisyna Pandita dan Nila Utama. Selain
itu, dikatakan bahawa raja Melayu mempunyai keluarbiasaan. Perbezaan inilah
yang membina jurang dengan rakyat biasa. Keturunan raja dikatakan memiliki
sifat ajaib dan sakti. Perkara ini boleh dilihat misalnya Raja Suran dikatakan
boleh hidup di dunia dan di bawah laut. Malah apabila ketiga-tiga putera Raja
Suran datang ke Bukit Si Guntang Mahamiru/Mahameru telah menyebabkan tanaman padi Wan Malini dan
Wan Empuk bertukar menjadi emas, batang padi menjadi suasa, dan daunnya bertukar
menjadi perak.
“Maka keduanya naik ke
atas Bukit Si Guntang itu. Maka dilihatnya padinya berbuahkan emas dan
berdaunkan perak dan batangnya tembaga suasa. Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun
hairan melihat hal yang demikian itu, maka katanya, ‘inilah yang kita lihat
semalam itu’.
(Sulalatus
Salatin, hlm 17)
“Maka dengan takdir
Allah taala lembu kenaikan baginda itu pun muntahkan buih, maka keluarlah
daripada buih itu seorang manusia laki-laki dinamai Bat dan destarnya terlalu
besar. Maka Bat berdiri memuji sang Sapurba, maka bunyi pujian itu serba jenis
kata yang mulia-mulia”.
(Sulalatus
Salatin, hlm 18)
2.1.2 Konsep Daulat dan Derhaka
Daulat
dikatakan berasal daripada perkataan Arab, “daulah” yang bermaksud negeri.
Namun dalam masyarakat di Alam Melayu, makna daulat ialah kesucian seorang raja
dan dengan adanya konsep daulat inilah mewujudkan perbezaan antara raja dengan
rakyat jelata. Konsep ini sebenarnya melambangkan kekuasaan dan keagungan
seseorang raja dan kerajaannya. Manakala, konsep derhaka pula terjadi apabila
seseorang itu melanggar konsep daulat dan didapati menderhaka kepada sultan dan
akhirnya akan ditimpa tulah. Kepercayaan berkenaan daulat dan derhaka ini
sebenarnya sudah diterapkan sejak turun temurun lagi dengan niat untuk
meninggikan darjat seseorang raja Melayu.
Konsep daulat dikatakan sangat
penting kepada sultan kerana dengan adanya daulat sultan mempunyai kuasa dan
wibawa untuk memerintah dengan berkesan. Sebagai ketua dalam negeri juga sultan
menjadi tunggak untuk menyatupadukan rakyat dan tugas rakyat ialah mengikut dan
menjalankan titah sultan dengan penuh taat setia. Oleh itu, sesiapa yang ingkar
akan digelar sebagai menderhaka kepada sultan. Sebenarnya, sultan
memperkukuhkan daulat dengan pelbagai cara diantaranya ialah melalui bahasa.
Jika kita lihat sultan tidak menggunakan bahasa yang sering digunakan oleh
rakyatnya malah bahasa yang digunakan oleh sultan digelar sebagai bahasa
istana. Diantara bahasa istana ialah santap, patik, beta, dan gering.
“Adapun Demang
Lebar Daunlah yang pertama punya bahasa ‘Yang Dipertuan’ dan ‘patik’.
(Sulalatus Salatin, hlm 19
Dalam Sulalatus Salatin, konsep daulat dan derhaka ini dapat dilihat
apabila berlakunya waadat antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba.
Pengakuan yang dibuat berkisar kepada pengakuan rakyat yang tidak boleh
menderhaka kepada raja walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Maka sembah
Demang Lebar Daun. ‘Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba
ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli
Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhilatkan,
dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun
jikalau berlaku pada hukum syarak”
“Maka titah Sang
Sapurba, ‘akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji
pada bapa hamba” maka sembah Demag Lebar Daun, ‘janji yang mana itu, Tuanku? “
“Maka titah Sang
sapurba, Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka
pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.”
(Sulalatus Salatin, hlm 19 dan 20)
Berdasarkan petikan syarat
perjanjian Demang Lebar Daun, apabila dikaitkan dengan hukum syarak ia
sebenarnya secara tidak langsung berkait dengan unsur agama kerana masyarakat
Melayu mempercayai bahawa sekiranya rakyat derhaka kepada raja maka mereka akan
mendapat balasan di akhirat kelak. Situasi ini bersamaan dengan amalan dalam
agama yang menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu melanggar hukum agama maka
mereka akan mendapat balasan diakhirat kelak.
2.1.3 Kehebatan Adat Istiadat
Kedudukan
raja diperkukuhkan lagi dengan alat-alat kebesaran, peraturan-peraturan dan
larangan-larangan yang dikenakan dalam hubungan sultan dan rakyatnya.
Sebenarnya adat istiadat terbahagi kepada dua iaitu istiadat yang meliputi
aturan negeri dan pelaksanaan upacara manakala adat pula meliputi undang-undang
dan larangan raja.
Dalam Sulalatus Salatin, pengarang menggambarkan pengamalan istiadat
berdasarkan perlantikan raja. Contohnya raja dilantik mengikut keturunan iaitu
anak sulung lelaki. Perlantikan yang dibuat juga melalui wasiat, pengganti raja
dilantik sebagai Raja Muda dan perlantikan sah melalui pertabalan dan penobatan
sebelum diterima secara rasmi sebagai raja kemudian selepas ditabalkan dan
barulah menjunjung duli.
“…dahulu kepala bentara
yang empat lima orang itu daripada sida-sida yang duduk di seri balai itu,
melainkan segala menteri yang besar-besar. Adapun nakhoda Cempa yang pilihan
duduk di seri balai; maka segala anak tuan-tuan yang bersahaja-sahaja duduk di
selasar balai. Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan
barang sebagainya di selang-selang duduknya; melainkan puan dan pedang
dikelek-kelekkan kiri dan kanan; pedang kerajaan itu Laksamana atau Seri Bija
Diraja memikul pedang itu”.
(Sulalatus Salatin, hlm 57)
Bagi aturan negeri berkaitan susunan
tempat duduk semasa menjunjung duli sebenarnya menggambarkan kedudukan raja
yang sedia berbeza dengan golongan pembesar dan rakyat jelata. Antara amalannya
ialah raja tidak boleh disamakan dengan sesiapapun, rakyat mestilah bersopan
ketika berhadapan dengan raja dan lebih tinggi kedudukan seseorang itu maka lebih
hanpir duduk dengan raja.
Manakala bagi adat pula melibatkan
hukuman. Larangan diraja biasanya dilakukan berdasarkan kesalahan menderhaka, ingkar
perintah raja, menyingung dan mencabar hak raja, memakai sesuatu hak raja dan
sebagainya. Undang-undang pula melibatkan larangan seperti mengenai perhiasan
pakaian peralatan raja. Rakyat akan dikenakan hukuman apabila memakai kain
kuning, membuat rumah mengikut bentuk tertentu, membuat perahu dengan
kelengkapan tertentu, memakai keris tertentu dan memakai payung putih dan
kuning.
Diantara peristiwa dalam Sulalatus Salatin yang melibatkan perlanggaran
undang-undang ialah hukuman bunuh terhadap Tuan/Tun Jana Khatib. Hukuman
dijatuhkan kerana tindakan menunjukan kelebihan di hadapan Raja Perempuan dan
telah dianggap sebagai derhaka kerana cuba menawan hati isteri raja dengan cara
menunjukkan kebijaksanaan.
Bagi
larangan diraja pula, pengarang Sulalatus
Salatin ada menyatakan bahawa:
“Syahadan, bagindalah
yang pertama-tama meletakkan kekuningan larangan; tiada dapat dipakai orang
keluaran dan diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir, dan
ulasan bantal besar dan tilam, dan bungkus barang apa-apa…”
(Sulalatus Salatin, hlm 56)
Secara ringkasnya, larangan diraja
yang dinyatakan ialah tidak dibenarkan warna kuning dipakai sama ada membuat
sapu tangan, tepi tabir, ulasan bantal dan tilam, membungkus barang, karang
karangan benda dan dijadikan sebarang perhiasan rumah. Kedua, larangan
perhiasan dan warna rumah serta perahu. Ketiga larangan tidak boleh memakai
emas sekiranya tidak dianugerahkan oleh sultan. Bahkan, dalam Sulalatus Salatin telah menyebut hukuman
yang dikenakan ke atas rakyat yang melanggar larangan diraja itu:
“Barangsiapa melalui
dia salah ke bawah duli hukumnya didenda pati, yakni seketi lima. Bermula payung
putih lebih daripada yang kuning, kerana payung putih itu nampak dari jauhh,
sebab itulah maka payung putih lebih daripada kuning; dan pakaian raja paying
putih, dan pakaian anak raja payung kuning”.
(Sulalatus Salatin, hlm 57)
Pengarang
menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu melanggar larangan diraja maka
hukuman mati boleh dikenakan namun hukuman tersebut boleh ditebus dengan seketi
lima atau sejumlah mata wang pada ketika itu.
2.1.4 Alat-Alat Kebesaran
Kedudukan sultan juga diperlihatkan dengan
kepelbagian alat-alat kebesaran diraja yang digunakan bagi tujuan tertentu.
Misalnya, cop mohor digunakan oleh raja untuk melambangkan kekuasaan dan
identiti bagi raja yang memerintah. Bagi istiadat menjunjung duli pula, peralatan
seperti alatan ketur, kipas, kendi dan tepak diperlukan serta diletakkan dengan
penuh tertib serta berprotokol.
“ Jika surat
dari Pasai atau dari Haru, dijemput dengan selengkapnya alat kerajaan, gendang,
serunai, nafiri, nagara, payung putih dua berapit; melainkan medali juga yang
tiada pergi menjemput itu”
(Sulalatus Salatin, hlm 57)
Berdasarkan
beberapa alat kebesaran yang dinyatakan jelas menunjukkan bahawa alat kebesaran
sangan sinonim dengan perihal diraja malah menjadikan sesuatu istiadat lebih
bermakna atau memudahkan perlakuan raja untuk melakukan sesuatu. Misalnya,
petikan tersebut menyatakan sekiranya surat tersebut dari Pasai atau dari Haru/Aru
maka segala peralatan kerajaan akan digunakan namun sekiranya surat tersebut
dari negeri lain, akan dikurangkan sambutannya atau hormatnya berbanding dua
negeri yang disebutkan tadi iaitu sekadar gendang serunai sahaja dan payung
kuning dan beberapa peralatan yang bersesuaian.
3.0 BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENYATUAN
SE-NUSANTARA
Lazimnya, kepercayaan dan kebudayaan merupakan
pentakrif kepada sesebuah bangsa. Misalnya, bangsa ‘Arab silam disinonimkan
dengan agama Islam dan budaya ‘Arab. Namun, terdapat suatu lagi yang tidak
boleh dikesampingkan apabila menyentuh mengenai takrif sesebuah bangsa, iatu
bahasa. Dalam hal ini, bangsa memang tersangat dekat dengan bahasa, malah
dikenali sebagai pentakrif bangsa; bangsa Jerman, diasosiasikan dengan bahasa
Jerman; bangsa Norman atau Perancis, diasosiasikan dengan bahasa Perancis; dan,
bangsa Melayu, diasosiasikan dengan bahasa Melayu. Begitu dinamika hubungan
bangsa dengan bahasa.
Takrif
Melayu memang tidak mengesampingkan bahasa Melayu seperti yang dinyatakan
sebelum ini. Namun, bagaimanakah peranan bahasa Melayu dalam membangkitkan
Tamadun Melayu sebagaimana yang diperikan oleh karya-karya agung terutamanya Sulalatus Salatin? Pertanyaan ini sangat
sukar dijawab memandangkan Tun Sri Lanang tidak pernah menyatakan peranan
tersebut secara terang-terangan. Oleh sebab itulah perbincangan mengenainya
tidak boleh hanya bertumpu pada Sulalatus
Salatin semata-mata, tetapi
dihubungkan dengan karya-karya lain serta keadaan politik, ekonomi, sosial
ketika itu serta pada masa sekarang. Pemerhatian dalam ruang yang lebih luas
begini sangat penting agar wawasan mengenai kebitaraan bahasa Melayu dalam
peranannya membangunkan Tamadun Melayu terungkap dengan lebih jelas.
Untuk
melihat peranan bahasa Melayu sebagaimana yang disebut di atas, maka sangat
relevan untuk dipaparkan pendapat Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas
terutamanya melalui Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu yang telah
pun dinyatakan sebelum ini. Dalam karya tersebut al-Attas berpendapat bahawa
hanya dengan kemasukan Islamlah yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
yang berupaya memainkan peranannya sebagai wahana dalam semua bidang justeru
membolehkan Tamadun Melayu meningkat dengan cemerlangnya. Menurut beliau lagi,
sebelum kemasukan Islam, walaupun juga dikatakan bahasa Melayu sebagai lingua franca, namun peranannya jelas
bersifat terpecah-pecah, yakni hanya dituturkan di pelabuhan-pelabuhan di Alam
Melayu, tanpa nyata peranannya sebagai penyatu manusia yang menghuni kawasan
ini. Namun, kehadiran Islam telah memecahkan tembok tersebut dengan menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa nasional dan bahasa ilmu serta bahasa segenap
bidang.
Dalam
Sulalatus Salatin turut terjelma
secara tersirat sifat bahasa Melayu selepas kemasukan Islam. Kita dapat
mengesannya dengan jelas tatkala memerhatikan hubungan diplomatik bukan sahaja
antara kerajaan Melaka dengan kerajaan-kerajaan lain di Alam Melayu yang
menggunakan bahasa Melayu sebagai wadahnya, malah termasuk juga hubungan
diplomatik dengan negara China juga berkemungkinannya dijalankan dalam bahasa
Melayu. Buktinya, ketika lawatan muhibah laksamana Cheng Ho ke Melaka telah ada
seorang tong shi atau juru catat yang menulis daftar kata bahasa Melayu yang
tertua setakat ini, iaitu daftar kata Melaka-China, atau Man La Jia Guo Yi You (Liji 2009). Kelahiran daftar kata ini
menjadi bukti yang sangat jelas bahawa bahasa Melayu memang tidak asing, bahkan
ke negara China sekalipun.
Bukti
bahawa bahasa Melayu telah dikenali di merata tempat ban sahaja bukti yang
dipaparkan oleh Tun Sri Lanang dalam Sulalatus
Salatin dan kemunculan daftar kata Melaka-China. Malah, lebih awal daripada
itu, seperti yang ditemui dalam rekod-rekod China, misalnya oleh I-Tsing, sami
Buddha yang begitu lama tinggal di Sumatera, ada mencatat mengenai bahasa
Kunlun yang dipakai oleh penghuni di laut selatan, yakni nama orang China untuk
Alam Melayu (Liji 2009).
Ternyata,
meletakkan bahasa sebaris dengan agama dan budaya dalam takrif Melayu oleh
perlembagaan persekutuan, dapat ditelusuri jejaknya dalam Sulalatus Salatin dan sumber-sumber sejarah lain. Apa yang
dinyatakan Tun Sri Lanang hanya berupa manifestasi kesedaran amalan orang
Melayu bahawa bahasa mereka adalah segala-galanya dalam membina tamadun dan
membentuk kejiwaan mereka.
0 comments:
Post a Comment