Judul Hikayat Hang Tuah | Penyelenggara Kassim Ahmad | Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka
MANUSKRIP HIKAYAT HANG TUAH bertulisan Jawi milik Almarhum Tengku Ibrahim ibni
Almarhum Tengku Muhammad menjadi bahan sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah buat kali pertama oleh Dewan Bahasa
dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad. Naskhah yang berjaya menambat
hati para sarjana pelbagai negara ini bukanlah karya yang boleh dianggap
sebagai karya sejarah. Hal ini jelas dilihat pada perkataan “Hikayat” yang
menjadi pangkal judul karya agung ini. Namun demikian, teks ini diakui sebagai
pelopor bentuk novel Melayu moden yang ditampilkan oleh Syed Syeikh al-Hadi
menerusi Hikayat Faridah Hanum (1925).
Karya kreatif
yang memuatkan elemen sejarah dan sastera ini dimulakan dengan pengenalan dan
penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura sebelum ke Bentan
dan Melaka. Susur-galur hikayat ini dipenuhi pelbagai kisah mengenai
kepahlawanan Hang Tuah dan empat bersaudara iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi,
Hang Lekiu dan Hang Jebat. Naskhah ini menampilkan Hang Tuah sebagai
seorang legenda yang penuh keramat sama seperti watak Raja Melaka, Bendahara
dan Temenggung yang hidup dari tarikh pembukaan kota Melaka, namun tidak
disebut tentang kematiannya. Unsur realisme magis yang wujud dalam karya ini
mengukuhkan kewujudannya sebagai karya kreatif yang penuh kemewahan estetik
cerita dan bahasa. Hal ini sekali gus menolak usaha memperkecil karya ini
sebagai naskhah tidak logik dan melanggar hukum sejarah.
Epik Melayu Hikayat Hang Tuah mengisahkan kesetiaan dan ketaatan
seorang rakyat terhadap raja. Ketaatan tidak berbelah bahagi menyebabkan Hang
Tuah rela berkorban nyawa demi memenuhi segala kehendak raja termasuklah
menculik Tun Teja yang menjadi idaman raja. Pengkaji mendapati hikayat ini
boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian perlawanan dan bahagian
pengembaraan. Wira Hang Tuah yang berjaya memiliki keris Taming Sari menjadi
titik temu dalam naskhah ini.
Satu kisah yang
amat penting dalam hikayat ini ialah pertelingkahan antara Hang Tuah dengan
Hang Jebat akibat perbezaan pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat
bersahabat sejak kecil hingga dewasa, keengganan Hang Jebat menerima ketaatan
penuh Hang Tuah hingga mengorbankan nyawa menyebabkan Hang Jebat mengamuk di
istana. Rasa ingin menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman
mati terhadap Hang Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat mati
ditikam Hang Tuah.
Persahabatan,
kemanusiaan atau kesetiaan terhadap raja menjadi fokus persoalan Hang Tuah dan
Hang Jebat. Tingkah Hang Jebat ialah satu usaha baharu pengarang menampilkan
pandangan terkini pada era itu mengenai polemik ketaatan terhadap raja yang
tidak berperikemanusiaan.
Pengenalan
tambahan oleh sarjana sastera Noriah Mohamed dalam edisi ini membolehkan
khalayak pembaca mendapat satu gambaran yang lebih jelas dalam meneliti,
memahami dan menganalisis karya agung ini. Sekiranya terdapat segelintir
masyarakat sastera yang menanggap bahawa naratif penuh magis lahir dari dunia
Barat, maka pembacaan terhadap karya agung Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun
Melayu ini akan mendedahkan ilmu penulisan kreatif Melayu yang sudah lama
dimesrai realisme magis menerusi watak Hang Tuah berserta segala
keistimewaannya.
Rencana ini
dipetik daripada Dewan Sastera April
2012.
0 comments:
Post a Comment