CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, 10 May 2013

ADAT ISTIADAT MELAYU


ADAT ISTIADAT MELAYU

Adat istiadat Melayu banyak memperlihatkan campuran unsur lokal dan unsur luar seiring dengan kedatangan pengaruh Hindu, Islam, dan Barat ke Alam Melayu. Dalam pemerintahan Malaysia, unsur-unsur adat yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dibenarkan. Melalui principle of co-existence ini orang Melayu dapat menyesuaikan adat dan agama secara harmonis, walaupun ada aspek-aspek tertentu yang bertentangan tapi terus diamalkan.

Aspek Adat Dalam Masyarakat Malaysia dan Kepentingannya

Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ianya mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu difahami khalayak berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama.

Adat seperti yang didefinisikan tadi ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu.

Kerana dua entiti ini terlalu berkait sifatnya, kita pada hari ini selesa menjadikan adat dan budaya itu sebagai satu benda yang sama. Yang berbeza cuma cara sebutannya. Budaya yang difahami dan dilihat, hakikatnya ialah adat. Budaya bersifat tidak tetap iaitu boleh berubah, Justeru wujud pengkelasan budaya tradisional dan budaya moden, ini menunjukkan budaya lama dan budaya hari ini tidak sama, maka ia jelaslah boleh berubah. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak boleh berubah, oleh itu bolehlah kita katakan adat sebagai budaya yang asal.

Justeru dalam membicarakan kepentingan adat dalam membentuk budaya Malaysia pada hari ini, kita akan membicarakan tentang kepentingan budaya asal yang diubah untuk dijadikan budaya bersama rakyat Malaysia bagi mewujudkan identiti dan peribadi rakyat majmuk yang bersifat seragam.
Masyarakat Malaysia ialah suatu masyarakat yang bersifat majmuk dan pelbagai. Ia juga disebut sebagai masyarakat Jawi iaitu masyarakat yang bercampur dari pelbagai latar belakang. Kerana masyarakat Malaysia itu masyarakat Jawi, iaitu yang pelbagai latar belakangnya, maka setiap bangsa atau ras didalam sistem sosial Malaysia pastinya berbeza satu sama lain dari segi latar belakangnya. Tidak terkecuali berbeza dari segi adat dan budaya.

Adat bagi setiap kaum di Malaysia pastinya dilihat dari sistem nilai yang berbeza. Martabat adat itu sendiri berbeza kedudukanya bagi masyarakat Malaysia pada hari ini. Bagi masyarakat Minangkabau sebagai contoh, adat dianggap sebagai sebuah tradisi lisan yang tinggi sekali martabatnya dalam kehidupan mereka. Adat dalam konteks Minangkabau bukan sekadar cara bersanding, cara menyantap hidangan makanan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi adat ialah suatu peraturan hidup yang perlu dipegang kuat oleh generasi mereka sehingga ke hari ini. Justeru tidak hairanlah jika didalam masyarakat mereka wujud istilah-istilah seperti “undang-undang adat”, “mahkamah adat”, “ketua adat” dan sebagainya. Begitu juga dengan lain-lain kaum di Malaysia, aspek adat masih lagi dianggap sebagai suatu pengungkap identiti bangsa dan terus dipertahankan walaupun ia sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan perlaksanaanya suatu ketika dahulu.

Dalam membicarakan fokus esei ini iaitu kepentingan aspek adat yang menjadi penyatu bagi mewujudkan peribadi dan identiti kebangsaan, kita seharusnya mengetahui dahulu berkenaan aspek adat yang menjadi identiti masyarakat yang pelbagai di Malaysia. Bagi maksud itu, didalam bahagian ini kita akan melihat aspek adat yang mencerminkan identiti tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.
Masyarakat Melayu ialah masyarakat asal di Tanah Melayu. Walaupun ada sesetengah sejarawan khususnya sejarawan Barat era kolonial mendakwa masyarakat Melayu juga masyarakat pendatang, namun ianya dapat dinafikan dengan mengetengahkan konsep merantau yang menjadi amalan masyarakat Melayu di Nusantara ketika itu.

Bercakap berkenaan adat didalam masyarakat Melayu, ramai sarjana mengatakan bahawa adat Melayu merupakan adat jawi iaitu adat yang bercampur. Ini sesuai dengan pemahaman kita berkenaan proses pembentukan Melayu itu sendiri yang merupakan cantuman ras-ras kecil yang beragama Islam, maka wujudlah apa yang dipanggil Melayu itu. Ini menunjukkan pelbagai percampuran dalam pembinaan adat Melayu. Dalam soal pembinaan adat Melayu, kita dapat melihat tiga bentuk pengaruh yang besar dalam proses pembinaan adat Melayu. Pertamanya ialah adat yang dipengaruhi adat Hindu dan Buddha, yang kedua ialah adat yang dipengaruhi zaman Hindu/Buddha dan Islam, yang ketiga ialah adat yang berteraskan Islam.

Adat Melayu yang awal dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu dan Buddha yang diperolehi melalui kitab-kitab lama seperti Rayamana dan Mahabrata. Ketika adat ini diamalkan, Islam masih belum sampai ke Nusantara. Ada diantara adat-adat dalam period Hindu dan Buddha ini masih diamalkan sehingga ke hari ini. Pastinya kita pernah melihat upacara persandingan didalam majlis-majlis perkahwinan masyarakat Melayu. Ini merupakan salah satu contoh adat-adat Hindu yang ditiru oleh masyarakat Melayu dahulu.

Pemujaan Raja secara melebih-lebih dalam masyarakat Melayu suatu ketika dahulu juga merupakan cerminan kepada pengaruh Hindu Dan Buddha dalam masyarakat Melayu bahkan perkataan “Raja” itu sendiri pun sudah memperlihatkan pengaruh Hindu yang tebal. Begitu juga dari aspek pertabalan dan adat istiadat Istana Melayu, terlihat lagi kekuatan unsur Hindu dan Buddha dalam mencorakkan adat Melayu itu.
Period atau peringkat yang kedua ialah pengaruh unsur campuran Hindu/Buddha dan Islam. Pada zaman ini Islam sudah datang ke Nusantara dan majoriti orang Melayu pun sudah beragama Islam. Namun pengaruh adat lama yang berteraskan Hindu dan Buddha masih diamalkan. Justeru zaman ini digelar zaman campuran adat Hindu/Buddha dan Islam dalam masyarakat Melayu. Pada zaman ini, walaupun masyarakat Melayu sudah Islam, namun mereka mengamalkan adat-adat yang dianggap menyimpang dari ajaran Islam. Sebagai contoh masyarakat Melayu mengamalkan adat mandi Safar yang dianggap sebagai suatu usaha untuk membuang sial bulan Safar dalam kehidupan mereka. Ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menganggap perbuatan itu sebagai khurafat. Begitu juga adat puja kampung, puja pantai dan sebagainya. Ia jelas bertentangan dengan Islam, tetapi tetap diamalkan dengan meluas didalam masyarakat Melayu yang masih tebal dengan pengaruh Hindu dan Buddha ketika itu.

Pengaruh unsur luar yang ketiga didalam masyarakat Melayu ialah pengaruh Islam iaitu pengaruh yang paling kuat sekali dalam kebudayaan dan adat Melayu. Bagi masyarakat Melayu, adat ialah kepatuhan yang kedua selepas agama mereka iaitu Islam. Kepatuhan kuat orang Melayu kepada agama Islam diakui oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas yang mengatakan Islam telah mentamadunkan masyarakat Melayu. Perlembagaan Malaysia sendiri telah mendefinisikan Melayu sebagai mereka yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Ini menunjukkan betapa kuatnya Islam didalam hidup orang Melayu.

Apa yang ingin dijelaskan disini ialah betapa pentingnya agama Islam kepada orang Melayu. Kerana kepentingan itu, pada zaman pengaruh Islam yang kuat ini, masyarakat Melayu menjadikan Islam sebagai teras kepada pembentukan adatnya. Adat-adat yang bertentangan dengan ajaran Islam semakin tidak popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan semakin dikurangkan penggunaanya. Namun pada zaman Islam ini, adat-adat lampau yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam tetap diteruskan pengamalanya.
Adat-adat Melayu yang bercirikan Islam merangkumi adat ketika seseorang dilahirkan, seseorang meningkat remaja, dewasa, adat dalam kehidupan sehari-hari dan adat ketika seseorang itu meninggal dunia. Adat-adat yang diamalkan ini sebenarnya merupakan apa yang disebut sebagai perkara sunat didalam ajaran Islam.

Sebagai petunjuk kepada pengaruh Islam didalam adat Melayu ialah adat ketika seseorang itu baru dilahirkan. Antaranya ialah adat bercukur, melaungkan azan dan iqamat ke telinga bayi dan adat membelah mulut. Bercukur ialah perbuatan mencukur rambut asal bayi sehingga botak, ianya biasa diadakan pada hari-hari ganjil seperti hari ketiga, ketujuh, kesembilan dan seterusnya. Bercukur bertujuan membuang rambut asal bayi yang dianggap kotor dan tidak akan tumbuh dengan baik. Ia sesuai dengan ajaran Islam yang mementingkan aspek kebersihan dan kesihatan.

Azan dan Iqamat pula merupakan tuntutan Islam untuk memulakan pendengaran seseorang yang baru dilahirkan itu dengan kalimat-kalimat yang mulia. Ada juga golongan tua Melayu mengatakan ianya merupakan simbolik kepada singkatnya hidup didunia ini iaitu sesingkat masa yang diambil antara iqamat dan solat yang akan didirikan. Ketika dilahirkan kita diazan dan diiqamatkan, dan apabila kita meninggal dunia, kita disolatkan dengan solat jenazah.

Adat membelah mulut pula menjadi tradisi masyarakat Melayu dengan melalukan manisan ke bibir bayi yang baru dilahirkan. Adakalanya juga digunakan emas bagi maksud itu. Adat membelah mulut ini biasanya dilaksanakan oleh orang-orang yang dianggap alim oleh masyarakat. Ada masa-masanya, ia juga dilakukan oleh bidan yang menyambut kelahiran bayi itu. Ia bertujuan supaya bayi yang dibelah mulutnya akan mengikut perangai orang yang membelah mulutnya apabila sudah dewasa nanti.





1 comments:

Anonymous said...

Saya ada mengambil maklumat dari blog encik, harap dihalalkan. Thank youu

Post a Comment