FALSAFAH
BAHASA
Falsafah bahasa ialah usaha menganalisis
ciri-ciri umum bahasa seperti makna, rujukan, kebenaran, penyahihan, lakuan
pertuturan, dan keperluan logis. Falsafah bahasa dapat dibahagikan kepada dua
iaitu falsafah mengenai bahasa dan falsafah berdasarkan bahasa. Dalam
hubungannya dengan situasi pertama, lazimnya ahli falsafah mempunyai satu
sistem yang dipakai untuk mendekati bahasa sebagai satu objek khusus. Objek
daripada pengertian falsafah bahasa sebagai “falsafah mengenai bahasa”.
Falsafah dalam situasi kedua mengandung pengertian bahawa ahli falsafah itu
berfalsafah dan memberi satu sumber yang dapat dijadikan titik tolak dalam
menyediakan bahan-bahan yang diperlukan.
Sejarah
Falsafah Bahasa
Falsafah bahasa turut dikenali sebagai
falsafah analitis. Kemunculannya di tengah-tengah kancah falsafah mempunyai
kaitan erat dengan aliran-aliran falsafah sebelumnya. Antaranya empirisme,
rasionalisme, positifisme, idealisme, dan sebagainya. Setiap aliran falsafah
ini mempunyai ciri khas yang membolehkan kita untuk membezakan di antara satu
sama lain. Falsafah analitis didukung oleh beberapa tokoh falsafah termasyhur
sejak dahulu lagi seperti Socrates, Aristotle, Descartes, David Hume, Immanuel
Kant, dan G.E Moore. Keadaan ini menunjukkan bahawa falsafah ini telah muncul
pada abad ke-20 lagi. Namun, pembicaraan tentang konsep utama daripada
ahli-ahli falsafah analitis hanya menampilkan beberapa tokoh penting seperti
Bertrand Russel, Ludwig Wittgenstein, Alfred Jules Ayer, Gilbert Ryle, dan John
Langshaw Austin. Terdapat perbezaan pokok antara ahli ahli falsafah analitis
itu sendiri iaitu berkaitan dengan keupayaan ahli-ahli falsafah analitis untuk
menentukan prinsip-prinsip yang jelas dan kukuh bagi penerapan meteodologi
falsafah ini. Ketiga-tiga gerakan ini dikenali sebagai atomisme logik,
positifme logik, dan falsafah bahasa. Rajah di bawah menunjukkan carta alir
bagi sejarah falsafah analitis.
Falsafah Empirisme
(John Locke, David Hume dll. dengan
gagasan pengalaman penentu kebenaran)
Falsafah Rasionalisme
(Tokoh-tokohnya menggagaskan akal
penentu kebenaran)
Falsafah Positifisme
(A.
Comte antara tokoh yang masih dipengaruhi oleh aliran empirisme)
Falsafah Idealisme
(Bermula pertengahan abad ke-19 oleh
Hegel)
Falsafah Analitis (Falsafah Bahasa)
(Bermula
awal abad ke-20 oleh G.E. Moore, Bertrand Russel, dan Wittgenstein)
Rajah 1: Aliran
Perkembangan Metode Falsafah di Eropah
Berdasarkan liran di atas, falsafah
analitis bersifat kritikan terhadap bahasa dalam bidang falsafah. Ahli falsafah
yang berpegang dengan falsafah analitis ini bertujuan atau bermaksud
membersihkan dan menyembuhkan (therapy) pemakaian bahasa dalam falsafah. Hal
ini bermakna para ahli falsafah analitis menganggap bahasa falsafah itu
mengandungi banyak penyakit seperti kekaburan erti (vagueness), kepelbagaian
makna (ambiguity), ketidakterangan (inexplicitness), dan lain-lain. Oleh sebab
itu, perlu disusun suatu kriteria logis yang dapat menentukan sama ada sesuatu
istilah itu mengandungi makna (meaningfull) atau tidak (meaningless). Oleh itu,
kita tidak akan terjebak dalam perangkap falsafah itu.
Model
Falsafah Bahasa
Model Falsafah Bahasa merupakan gabungan
Teori Relatif dengan Teori Kenuranian Bahasa yang telah diperkenalkan oleh Mohd
Rashid Md Idris dalam tesis ph.D beliau pada tahun 2007. Dapatan daripada teori
ini ialah potensi berbahasa adalah kurniaan Allah. (Mohd Rashid Md Idris, 2010:
15). Model ini dapat dilihat seperti dalam rajah di bawah:
Berdasarkan rajah di atas, kita dapat melihat terdapat tiga pecahan utama iaitu bulatan, anak panah, dan garisan putus-putus. Bentuk bulatan menggambarkan perlunya kita berbahasa secara sempurna mengikut nahu, makna, dan tujuan. Ketiga-tiga aspek ini adalah selaras prinsip kesempurnaan berbahasa iaitu berbahasa mengikut nahu yang betul, berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang benar, dan berbahasa untuk tujuan ibadah. Segala ujaran itu mestilah dalam konteks yang mudah untuk difahami, disenangi oleh pendengar, dan bertujuan baik selaras dengan tuntutan syarak. Bentuk bulatan ini secara tidak langsung turut menggambarkan peranan bahasa yang menggambarkan keseluruhan kehidupan orang Melayu termasuklah dalam mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan mereka sepenuhnya. Kitaran budaya dan usia juga diibaratkan seperti roda yang adakalanya di atas dan adakalanya di bawah.
Rajah
anak panah dua hala menggambarkan hubungan langsung (tersurat) antara antara
penutur dengan pendengar. Dalam konteks ini, akan berlakunya satu keadaan
saling menghantar maklumat dan maklum balas supaya kegiatan berbahasa itu aktif
dan memenuhi keperluan bersama. Keadaan ini selaras dengan prinsip kesempurnaan
berbahasa yang kedua iaitu berbahasa untuk menyampaikan maklumat. Lumrahnya,
seorang manusia perlu berkomunikasi antara satu sama lain untuk berhubung bagi
mendapatkan maklumat. Pelbagai cara manusia berkomunikasi. Ada yang secara
verbal dan ada yang secara non-verbal.
Pada zaman yang serba moden ini, pelbagai teknologi canggih dapat digunakan
untuk berkomunikasi walaupun berada dalam satu jarak yang jauh. Berbeza dengan
komunikasi pasa zaman dahulu, pengaranglah yang banyak berperanan dalam
menyampaikan satu-satu maklumat. Contohnya, Tuhfat al-Nafis dihasilkan bagi
menceritakan mengenai raja-raja Melayu serta Bugis daripada anak cucu raja
Melayu keturunan daripada Marhum Abdul Jalil yang mangkat di Kuala Pahang serta
Marhum Raja Kecik negeri Siak adalah ditulis bagi generasi akan datang supaya
mereka dapat menyedari latar belakang mereka dan memahami asal-usul keadaan
yang ada pada zaman tersebut. jika kita lihat, di sini juga telah wujud
komunikasi antara pengarang zaman dahulu dengan generasi sekarang bagi
menyampaikan satu maklumat yang sahih tentang asal-usul keturunan mereka.
Garisan
putus-putus dalam rajah menerangkan wujudnya hubungan secara abstrak (tersirat)
antara manusia dengan Allah selaku
Pencipta. Dalam hubungan ini, Allah telah menganugerahkan banyak perkara kepada
makhluk-Nya. Keadaan ini termasuklah kejadian asal diri manusia itu sendiri.
Dalam konteks ini, Allah turut menganugerahkan akal kepada manusia untuk
berfikir dalam menentukan sama ada mereka memilih untuk menjadi manusia yang
baik ataupun sebaliknya. Alat-alat pertuturan yang diberikan kepada manusia
merupakan satu pinjaman yang amat berharga untuk mereka berkomunikasi antara
satu sama lain. Manusia berkomunikasi bukan sahaja sesama mereka tetapi juga
dengan Yang Maha Pencipta iaitu melalui amalan ibadah yang dilakukan. Keadaan
ini selaras dengan prinsip kesempurnaan berbahasa yang ketiga iaitu berbahasa
untuk beribadah atau mentauhidkan Allah. Dalam Tuhfat al-Nafis, pengarang turut
menyampaikan banyak perihal tentang keagamaan bagi memperlihatkan tentang
kepentingan beragama walaupun daripada golongan atasan dan pemerintah.
Secara
keseluruhannya, Model Falsafah Bahasa cuba mengetengahkan satu situasi yang
lebih jelas tentang keperluan berkomunikasi sama ada secara tersurat mahupun
tersirat. Ketiga-tiga prinsip kesempurnaan berbahasa yang dihimpunkan dalam
model ini sememangnya banyak menyedarkan kita akan kepentingan berbahasa dalam
kehidupan sehari-harian. Manusia yang tidak gemar bercampur dengan masyarakat
lain dianggap rugi kerana mereka akan ketandusan maklumat. Model ini sangat
penting diaplikasikan pada zaman moden ini memandangkan masyarakat terutamanya
golongan muda lebih gemar hidup dalam dunia sendiri dengan gajet-gajet terkini
sehingga mengabaikan perintah agama.
Semua bahasa yang terdapat di dunia mempunyai nahu atau tatabahasa yang tersendiri, terutamanya bahasa Melayu. Nahu atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Penggunaan nahu yang sempurna bermaksud penggunaan kata atau perkataan dan ayat yang betul dalam proses berbahasa.
Nyanyian dalam karya sulalatus salatin memperlihatkan penggunaan bahasa yang sangat halus untuk menggambar sesuatu perkaran. Perkara ini dapat dilihat melalui nyanyian Kapitan Melaka.
Dihela-hela diretak sehasta
Kandis dipenggalkan
Alangkah gila Raja Kecil
Menggusta manis ditinggalkan
Melihat buah hartal masuk.
(Muhammad Haji Salleh, 1997: 217)
Nilai berbudi dan berbahasa dianggap sebagai suatu nilai yang tinggi dalam masyarakat Melayu dan disanjung tinggi sebagai ukuran ketinggian keperibadiannya. Dalam karya Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Muhammad Haji Salleh menunjukkan ketinggian ilmu orang Melayu dalam berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang indah seperti pantun dan syair.
0 comments:
Post a Comment