Secara umum, karya seni merupakan hasil daripada proses
imaginasi dan kreatif manusia dalam menggarap keindahan bagi mengerjakan
sesuatu. Ianya tidak terhad kepada hasil penulisan sahaja malah meliputi seni
bina, lukisan, muzik, bahasa dan sebagainya. Hal ini sangat bertepatan dengan
pendapat yang dikemukakan oleh Nor Azman Ab. Aziz (2013:1) yang menyatakan
bahawa estetika adalah cabang falsafah yang mengandungi pertalian dengan sifat
keindahan, seni, rasa, penciptaan dan tanggapan terhadap keindahan.
Berbalik kepada makna estetik, perkataan estetik
sebenarnya berasal dari bahasa Yunani kuno iaitu aesthesis yang bererti tanggapan. Jim Supangkat dan Rizki A Zaelani
(2006:6). Istilah estetik telah diberikan makna baru pada tahun 1735 oleh
Alexander Baumgarten yang membawa maksud estetika penghakiman yakni menilai dan
merasa serta menghayati sesuatu dengan mendalam. Nor Azman Ab. Aziz (2013:2). Dengan
kata lain, estetika sebenarnya merupakan bidang ilmu ilmu yang membahaskan
keindahan, bagaimana sesuatu seni itu terhasil dan bagaimana seseorang dapat
merasainya atau menghayatinya.
Menurut Rahman Shaari (2001:28) estetika bermaksud nilai
keindahan dalam sesebuah karya sastera. Nilai yang dimaksudkan berkaitan dengan
perasaan manusia dan subjektif sifatnya. Contohnya, mungkin pembaca pertama
menganggap karya itu bernilai estetika, namun pembaca kedua pula tidak
menganggapnya sedemikian. Jadi, menurut Rahman Shaari (2001) bagi sesebuah
karya, aspek teknik dan gaya itulah yang menjadi penentu hadirnya nilai
estetika. Bahkan kehadiran isi yang bagus tidak menjamin tingginya nilai
estetika melainkan keseimbangan kesemuanya dalam karya tersebut sangat
dituntut.
Konsep estetik ialah yang menilai teks sastera dengan
merujuk kepada aspek keindahan dan kekuatannya. Estetik ialah rasa keindahan,
keseronokan , kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat
serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat
menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Sebenarnya terdapat banyak lagi
pendapat yang membahaskan makna estetika
diantaranya ialah estetika adalah segala sesuatu dan kajian terhadap hal-hal
yang berkaitan dengan kegiatan seni (Kattsoff, Element of Philosophy, 1953), estetika merupakan suatu telaah yang
berkaitan dengan penciptaan, apreasiasi, dan kritikan terhadap karya seni dalam
konteks keterkaitan seni dengan kegiatan manusia dan peranan seni dalam
perubahan dunia (Van Mater Ames, Colliers
Encyclopedia, Vol. 1), ketiga, estetika adalah suatu ilmu yang mempelajari
segala sesuatu yang berkaitan dengan keindahan, mempelajari semua aspek yang
disebut keindahan (A. Djelantik, Estetika
Suatu Pengantar, 1999). Dan yang terakhir estetika dikatakan mempersoalkan
hakikat keindahan alam dan karya seni, sedangkan falsafah seni mempersoalkan
hanya karya seni atau benda seni atau artifak yang disebut seni (Jakob Sumarjo,
Filsafat Seni, 2000). (http://www.slideshare.net/312174/ makalah-estetika).a
0 comments:
Post a Comment